Penyakit aritmia adalah salah satu daripada jenis penyakit jantung. Gejala penyakit jantung ini berlaku apabila impuls elektrik yang menyelaras atau mengawal degupan jantung tidak berfungsi dengan baik.
Hal ini akan menyebabkan jantung anda berdegup sama ada terlalu cepat atau terlalu lambat bahkan tidak seperti biasa.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Penyakit Jantung, anda boleh klik di sini.
Bagaimana gejala penyakit jantung aritmia ini?
Ada ketikanya, anda mungkin berasakan bahawa jantung anda berdegup sedikit perlahan daripada biasa. Adakalanya, ia akan berdegup sedikit laju daripada degupan kebiasaan.
Dalam masa yang sama, anda juga mungkin tidak sedar sedang mengalami aritmia, disebabkan kadangkala ia tidak menunjukkan sebarang tanda yang jelas seperti contoh di atas.
Kebanyakan individu pernah mengalami aritmia ini dan ia boleh terjadi dalam 2 keadaan sama ada tidak membahayakan sama sekali atau boleh jadi kecemasan.
Ini jenis penyakit aritmia yang boleh berlaku!
Terdapat beberapa jenis keadaan aritmia yang boleh berlaku kepada seseorang individu tersebut, bergantung kepada keadaan degupan jantung yang dialaminya.
Secara ringkasnya, berikut adalah jenis-jenis aritmia yang patut anda tahu:
#1. Tachycardia
Rentak atau irama jantung anda yang berlaku pada kadar lebih daripada 100 degupan dalam tempoh 1 minit.
#2. Bradycardia
Rentak jantung anda yang berlaku dalam keadaan yang perlahan dengan kadar sebanyak 60 degupan ke bawah dalam tempoh 1 minit.
#3. Supraventricular arrhythmias
Aritmia yang bermula pada bahagian atria, iaitu ruang atas jantung.
#4. Ventricular arrhythmias
Aritmia yang bermula pada bahagian ventrikel, iaitu ruang bawah jantung.
#5. Bradyarrhythmias
Rentak atau irama jantung perlahan yang mungkin disebabkan oleh penyakit pada sistem pengaliran jantung, seperti nod sinoatrial (SA), nod atrioventricular (AV) atau rangkaian HIS-Purkinje.
Apa punca berlaku penyakit jantung aritmia?
Anda mungkin akan mengalami gejala penyakit jantung ini walaupun jantung anda berada dalam keadaan yang sihat.
Namun, terdapat juga beberapa punca yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami aritmia. Antara punca-punca tersebut ialah:
- Penyakit jantung
- Kandungan elektrolit yang tidak seimbang dalam darah seperti kalium dan juga garam
- Perubahan dalam otot jantung
- Kecederaan daripada serangan jantung
- Proses penyembuhan selepas menjalani pembedahan jantung
- Penyakit arteri koronari
- Tekanan darah tinggi
- Penyakit injap jantung
Apa gejala penyakit jantung penyakit aritmia?
Terdapat beberapa tanda atau simptom yang boleh menunjukkan anda mengalami gejala penyakit jantung ini. Tanda yang paling kerap berlaku adalah seperti berikut:
- Rasa seperti jantung anda ‘skip’ degupan yang sepatutnya berlaku
- Degupan jantung yang berdegup terlalu laju
- Degupan jantung yang berdegup terlalu perlahan
- Degupan jantung yang tidak normal seperti kebiasaannya
- Berlakunya hentian seketika atau ‘pause’ antara degupan jantung
Selain daripada simptom-simptom tersebut, terdapat juga beberapa simptom lain yang menunjukkan anda mungkin mengalami penyakit aritmia yang lebih serius.
Antara tanda, simptom atau ciri-ciri sakit jantung usia muda ini ialah:
- Sakit pada bahagian dada
- Rasa sesak nafas
- Pening-pening
- Rasa seperti kepala anda sedang melayang-layang
- Pengsan atau rasa seperti hendak pengsan
- Keresahan
- Badan anda berpeluh
- Jantung yang berdebar-debar dengan teruk
Memandangkan penyakit jantung ini boleh terjadi sama ada dalam keadaan berbahaya atau tidak, namun simptom-simptom yang berlaku juga adalah berbeza.
Simptom yang berlaku boleh menunjukkan bahawa penyakit aritmia yang berlaku itu dalam keadaan serius atau tidak.
Cara yang paling selamat untuk menentukannya adalah dengan berjumpa doktor bagi melakukan pemeriksaan lanjut.
[embed-health-tool-heart-rate]