Sakit dan Ketidaksuburan: Anda Mungkin Mengalami Endometriosis

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Ramai orang yang malu atau tidak gemar membuat temu janji dengan doktor. Tetapi, apabila ia melibatkan rasa sakit dan kesuburan, ramai yang terpaksa mengalah dan berjumpa dengan doktor. Jika anda seorang wanita dan mengalami dua simptom ini, iaitu sakit semasa haid dan gagal mendapatkan anak, anda mungkin menghidap penyakit endometriosis.

30% hingga 50% daripada penghidap endometriosis mengalami masalah kesuburan

Sehingga separuh daripadanya mempunyai masalah kesuburan. Ini menunjukkan bahawa ia bukanlah angka yang kecil. Dalam kalangan mereka yang mengadu masalah kesuburan pula, sekitar 25% hingga 50% daripadanya menghidap endometriosis. Peratusannya adalah tidak jauh beza.

Selain ketidaksuburan, simptom utama endometriosis adalah sakit semasa haid atau juga dikenali sebagai dysmenorrhea. Ia berlaku 60% hingga 80% dalam kalangan penghidap penyakit ini. Oleh sebab itu, mereka yang mengalami dua simptom ini perlu mendapatkan nasihat profesional bagi menjalani rawatan yang sepatutnya.

Rawatan daripada pakar boleh membantu masalah anda

Perubatan moden telah banyak membantu mencari penyelesaian bagi banyak penyakit. Ini termasuk endometriosis. Meskipun rawatan yang tersedia mungkin tidak sepenuhnya menyelesaikan punca, ia membantu mengawal simptom yang ada.

Endometriosis adalah penyakit kronik. Ia memerlukan pelan rawatan yang panjang dan sesuai mengikut setiap individu bergantung kepada umur, simptom dan tahap kesuburan.

Pilihan rawatan yang ada termasuk:

  • Ubat-ubatan.
  • Terapi hormon.
  • Pembedahan.

Salah satu atau gabungan daripada mana-mana pilihan di atas mungkin diberikan bergantung kepada keadaan individu terbabit. Anda juga mungkin dirujuk kepada doktor khusus dalam mengendalikan kes masalah kesuburan.

Antara rawatan yang dilihat berkesan adalah pembedahan menggunakan kamera kecil. Kaedah ini disebut sebagai laparoskopi. Dengan berpandukan kamera, doktor dapat melihat bahagian dalam pelvis tanpa perlu melakukan bukaan besar pada kulit. Seterusnya, tisu endometriosis akan dibuang. Dalam kes tertentu, ovari yang terjejas mungkin dibuang.

Keadaan kesihatan ini bukanlah sesuatu yang jarang berlaku dalam kalangan wanita. Sekitar 6% hingga 10% wanita mengalaminya dan ramai juga berjaya menangani simptom yang dihadapi termasuk mampu mengandung dan mendapatkan anak.

Jangan bimbang kerana masih terdapat banyak alternatif bagi anda di luar sana.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.