Primary Biliary Cholangitis: Penyakit Autoimun Saluran Hempedu

Oleh

Dalam sebuah peperangan, musuh paling sukar dilawan dan dijangka apabila datang dari dalam. Itulah yang berlaku dalam satu penyakit autoimun yang disebut sebagai primary biliary cholangitis (PBC). Untuk memudahkan ia difahami, mari kita lihat maksud setiap perkataan tersebut.

Primary bermaksud primer iaitu ia berlaku disebabkan punca yang tidak dapat dikenal pasti secara jelas.

Biliary merujuk kepada bile atau hempedu.

Cholangitis bermaksud radang saluran hempedu.

Secara ringkasnya, primary biliary cirrhosis (PBC) ialah radang pada saluran hempedu disebabkan punca yang tidak dapat dikenal pasti secara jelas. Namun, kaitan dengan ahli keluarga mungkin ada dan perkara dari luar seperti merokok, bahan kimia tertentu, dan jangkitan boleh merangsang penyakit ini.

Pakar mengatakan bahawa radang tersebut disebabkan oleh keadaan autoimun, iaitu apabila sel darah putih yang sepatutnya menyerang jangkitan dan kuman sebaliknya menyerang saluran hempedu di dalam hati. Sel darah putih jenis limfosit T ditemui tinggi di dalam hati pesakit.

Apakah kesan radang saluran hempedu?

Saluran hempedu ialah jaringan saluran yang terdapat di dalam dan luar hati. Ia berfungsi menyalurkan hempedu (yang dihasilkan oleh hati) keluar dari hati ke dalam usus kecil (duodenum), sebahagiannya disimpan di dalam pundi hempedu. Hempedu memainkan peranan utama dalam proses penghadaman lemak, kolesterol, dan sesetengah vitamin (A, D, E, dan K). Ia juga membantu membuang sel darah merah yang telah rosak dan bahan lain yang tidak diperlukan oleh badan.

Saluran hempedu menyalurkan hempedu dari hati ke duodenum

Apabila saluran hempedu terganggu, hempedu akan terkumpul di dalam hati menyebabkan sel dan tisu hati mengalami radang dan mati. Kemudian, sel mati tersebut membentuk parut dan lama-kelamaan menjadi sirosis (parut pada hati) yang mengganggu hati berfungsi secara normal.

Antara simptom yang akan berlaku ialah:

  • Cepat letih, kulit gatal, mulut dan mata kering (simptom awal).
  • Sakit pada bahagian kanan atas abdomen.
  • Limpa (di bawah kiri abdomen) bengkak.
  • Mata dan kulit berwarna kuning (jaundis).
  • Cecair terkumpul di dalam abdomen (asitis).
  • Lapisan lemak (xanthoma) di sekitar mata, kelopak mata atau di tapak tangan, tapak kaki, siku, dan kaki.
  • Kolesterol tinggi.
  • Cirit-birit dan ketidakhadaman.
  • Hilang berat badan.

Antara komplikasi yang boleh berlaku ialah kanser hati, osteoporosis, kekurangan vitamin, hipertensi portal, gangguan fungsi mental, dan batu karang hempedu.

Rawatan membantu melambatkan perkembangan penyakit

Seperti penyakit autoimun lain, primary biliary cholangitis tidak mempunyai rawatan yang boleh menyembuhkan penyakit ini. Apa yang boleh dilakukan hanya melambatkan perkembangan penyakit. Antara pilihan yang ada termasuk:

  • Ursodeoxycholic acid (UDCA). Sejenis ubat yang membantu membuang hempedu dari hati dan melambatkan kerosakan hati.
  • Antihistamin dan cholestyramine untuk mengurangkan gatal-gatal.
  • Pemindahan organ hati mungkin menjadi pilihan jika rawatan lain gagal membuahkan hasil. Namun, risiko penyakit ini berulang kembali masih ada selepas pemindahan organ.

Gaya hidup juga perlu diubah dengan berhenti mengambil alkohol, mengambil makanan rendah sodium, dan senaman berkala. Semua ini boleh membantu mengurangkan simptom.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut