Resdung: Apa yang Anda Tahu?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Anda mungkin mempunyai kenalan atau ahli keluarga yang selalu mengalami selesema dan bersin. Mereka sentiasa membawa kain atau tisu di dalam beg. Jika ada, mungkin itu adalah resdung.

Resdung adalah keadaan di mana lapisan membran pada rongga udara di dalam tengkorak mengalami keradangan. Rongga ini dinamakan sebagai sinus. Sebab itu, nama lain bagi resdung adalah sinusitis.

Apa itu sinus?

Seperti yang disebutkan di atas, sinus adalah rongga berisi udara di dalam tengkorak manusia. Kepala anda tidak semuanya padat dengan tulang. Ada beberapa rongga di bahagian tertentu.

Ia berfungsi menjadikan tengkorak lebih ringan dan membantu menghasilkan suara yang lebih lunak. Membran pada sinus tersebut menghasilkan mukus untuk melindungi hidung daripada habuk dan bakteria.

Bagaimana resdung boleh berlaku?

Secara normal, sinus sentiasa terbuka dan cecair akan mengalir dengan lancar. Jika tersumbat, cecair akan terkumpul seterusnya organisme seperti bakteria, virus dan kulat akan lebih mudah untuk membiak sehingga menyebabkan radang berlaku.

Antara keadaan yang boleh membuatkan sinus tersumbat ialah:

  • Demam biasa.
  • Alahan.
  • Ketumbuhan di dalam hidung yang disebut sebagai polip.
  • Dinding antara dua lubang hidung tidak lurus.

Apa yang akan dialami?

Resdung boleh menjadi akut atau kronik. Radang akut biasanya berlaku selama 2-4 minggu, manakala kronik lebih daripada 12 minggu.

Simptom-simptomya adalah:

  • Hidung tersumbat.
  • Batuk.
  • Sakit kepala atau muka.
  • Jerawat pada muka.
  • Selesema berpanjangan.
  • Demam.
  • Letih dan lesu.
  • Hilang deria rasa dan bau.

Bagaimana ia boleh dirawat?

Selain mendapatkan rehat yang cukup, anda boleh mengurangkan hidung tersumbat dengan mengambil ubat selesema atau menyedut wap daripada air panas. Elakkan mengambil ubat selesema yang dibeli sendiri di farmasi lebih daripada 3 hari, ia akan sebaliknya membuatkan hidung anda lebih tersumbat.

Panadol mungkin membantu mengurangkan sakit kepala dan muka. Jika bakteria adalah puncanya, antibiotik boleh diambil tetapi hanya dengan preskripsi daripada doktor.

Bagi resdung kronik, penyembur hidung steroid dan ubat antihistamin mungkin diperlukan. Dalam sesetengah kes, pembedahan endoskopik dilakukan untuk mencuci dan melebarkan sinus.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut