Kusta: Penyakit Kulit Kronik

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kusta atau leprosy adalah penyakit kulit yang telah wujud sejak zaman dahulu. Antara rekod terawal adalah sejak zaman kerajaan Mesir Purba. Pada zaman dahulu, penyakit ini menjadi sesuatu yang sangat ditakuti dan penghidapnya sering menghadapi stigma buruk daripada masyarakat.

Apakah punca penyakit kusta?

Kusta disebabkan oleh sejenis bakteria bernama Mycobacterium lepare (M. leprae). Bakteria ini menjejaskan kulit serta urat saraf. Ia merupakan sejenis bakteria yang lambat berkembang biak dan mengambil masa bertahun-tahun lamanya sebelum menghasilkan simptom ke atas pesakit.

Adakah kusta boleh berjangkit?

Antara punca ramai orang takut untuk mendekati pesakit kusta adalah bimbang akan dijangkiti penyakit tersebut. Ia sememangnya penyakit berjangkit. Namun, jangkitan daripada pesakit kepada orang yang sihat tidaklah berlaku seperti jangkitan bakteria lain.

Cara bagaimana ia boleh tersebar adalah tidak diketahui secara pasti. Apa yang pasti adalah seseorang itu perlu bersentuhan dengan cecair daripada mulut atau hidung pesakit berulang kali sebelum boleh dijangkiti bakteria M. leprae. Itu pun hanya akan berlaku jika pesakit tersebut tidak mengambil apa-apa rawatan.

Oleh itu, jangan takut untuk menyantuni pesakit kusta. Mereka juga memerlukan sokongan daripada masyarakat.

Apakah tanda dan simptom kusta?

Penyakit ini menjejaskan kulit dan urat saraf periferi. Mata dan hidung juga mungkin boleh terjejas sama.

Simptom utamanya adalah kecacatan pada kulit dalam bentuk luka atau ketulan yang tidak hilang dalam tempoh beberapa minggu atau bulan. Kecacatan tersebut berwarna pudar berbanding kulit.

Kesan pada urat saraf periferi pula menyebabkan hilang deria rasa pada tangan dan kaki serta otot menjadi lemah.

Disebabkan bakteria M. leprae berkembang biak dalam tempoh yang lambat, ia kebiasaannya mengambil masa antara 3 hingga 5 tahun sebelum simptom dan tanda tersebut dapat dilihat. Malah, ada juga mereka yang tidak mengalami sebarang simptom sehingga 20 tahun. Tempoh yang berbeza ini membuatkan doktor susah untuk menjangkakan tempoh jangkitan pesakit.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut