backup og meta

Penyakit Kusta: Endemik di Malaysia Dan Mungkinkah Kembali Menjadi Igauan Ngeri?

Fakta Disemak oleh Dr. Shelby


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/01/2023

    Penyakit Kusta: Endemik di Malaysia Dan Mungkinkah Kembali Menjadi Igauan Ngeri?

    Jika anda adalah penggemar bunga-bungaan, pasti Sungai Buloh merupakan satu destinasi persinggahan yang tidak mungkin anda boleh ketepikan. Pelbagai jenis bunga ditawarkan di sana, antaranya seperti mawar, kekwa, daisy, orkid dan pelbagai lagi. Malahan, anak pokok buah-buahan juga boleh dibeli di sana.

    Terkenal dengan jolokan sebagai industri bunga yang kini menjadi identitinya – walaupun ada yang mengatakan ia diceroboh oleh warga asing dan pengusaha untuk dijadikan nurseri, Sungai Buloh menyimpan sejarah yang tersendiri. Lembah Harapan, merupakan penempatan yang dibangunkan khusus buat pesakit kusta, juga terletak di sana.

    Kini dikenali sebagai Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), pusat berkeluasan 227 hektar ini, telah mula beroperasi sejak 1929, pernah menjadi antara tempat paling ditakuti untuk dikunjungi kerana ia menempatkan pusat pengasingan pesakit kusta – sejenis penyakit yang masih menerima stigma negatif dan diskriminasi daripada masyarakat, sehingga ke hari ini.

    Ramai yang menganggap penyakit ini sudah lupus, tetapi kenyataan pahit yang perlu diterima adalah ia masih wujud di lebih 100 negara di seluruh dunia, termasuklah Malaysia.

    Merujuk kepada laporan berita yang diterbitkan oleh Berita Harian, 10 Februari 2019, bertajuk “Pendatang asing punca kusta merebak semula”, menyatakan anggaran 206 kes baru berkaitan kusta dilaporkan di negara ini tahun lalu yang kesemuanya melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI).

    Menjadi persoalan sekarang, benarkah kusta merupakan satu penyakit yang berbahaya? Adakah ia satu penyakit yang berjangkit? Bolehkah ia diwarisi? Bagaimana ia menular? Dan benarkah PATI menjadi dalang kepada kemunculan semula penyakit ini?

    Kusta,  dikenali sebagai Leprosy, atau penyakit Hansen, bersempena dengan nama saintis yang menemui bakteria berjangkit yang dipanggil sebagai Mycobacterium leprae (M.leprae), punca kepada penyakit kusta ini pada tahun 1873.

    Bakteria ini akan berjangkit secara perlahan-lahan – mungkin 2 hingga 5 tahun untuk menampakkan simptomnya dan menyerang bahagian kulit, saraf kaki dan tangan, serta organ lain seperti mata dan hidung. Dan sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kecacatan anggota tubuh, lumpuh dan buta.

    Walaupun kadar jangkitannya adalah rendah, namun, penyakit kusta adalah satu endemik di Malaysia. Mungkin sehingga ke hari ini cara jangkitannya tidak dapat diketahui secara tepat, tetapi difahamkan ia penyakit bawaan udara, merebak dari individu ke individu lain melalui titisan pernafasan sama ada melalui hidung atau mulut.

    Tetapi, jangan tersalah tafsir, kusta tidak merebak melalui sentuhan pada luka yang ada anggota atau tubuh pesakit kusta, dan ia tidak boleh diwarisi, misalnya dari ibu yang hamil kepada anak dalam kandungannya.

    Tempoh jangkitan bagi penyakit ini adalah antara tempoh 1 hingga 40 tahun dan ia sebenarnya merupakan satu tempoh ‘azab’ bagi penghidapnya kesan dari rasa sakit yang terpaksa ditanggung. Ia lebih kerap dan mudah menjangkiti individu lelaki berbanding wanita serta golongan muda berusia antara 10 hingga 20 tahun.

    Dahulu penyakit kusta dianggap sebagai satu penyakit bahaya yang sukar untuk dirawat mahupun diubati. Malah, selain dari dimasukkan ke Lembah Harapan, terdapat penceritaan bahawa penghidap penyakit kusta ini diasingkan di satu penempatan khas di Pulau Pangkor, Perak yang bertujuan untuk menghindari jangkitan penyakit ini kepada mereka yang lain.

    Malahan, sebenarnya satu ketika dahulu, terdapat beberapa tempat lain yang turut dijadikan pusat pengasingan pesakit kusta yang dianggarkan lebih 5,000 individu dari seluruh negara, seperti di Setapak, Kuala Lumpur; Tumpat, Kelantan; Pulau Jerejak, Pulau Pinang dan Tampoi yang terletak di Johor.

    Namun, selaras dengan kemajuan teknologi, kusta sama seperti penyakit lain, ia boleh disembuhkan, jika penghidapnya mendapatkan rawatan rapi dan berterusan. Ia dirawat dengan kombinasi antibiotik sistematik, yang dirujuk sebagai multidrug therapy (MDT), seperti rifampin, dapsone dan clofazimine selama 6 hingga 12 bulan. Ubatan seperti ofloxacin atau minocycline akan digunakan seandainya berlaku rintangan ubat (drug resistance).

    Jadi boleh kita simpulkan di sini bahawa penyakit kusta boleh disembuhkan dengan rawatan MDT dan pesakit yang menerima rawatan ini tidak akan menjangkiti individu lain, atau menyebabkan berlakunya jangkitan secara oral.

    Ini bermakna, pesakit kusta tidak perlu diasingkan daripada keluarga mahupun komuniti. Cuma, mereka perlu mematuhi nasihat doktor dan menerima rawatan mengikut jadual yang ditetapkan.

    Namun, persoalan yang masih belum terjawab adakah benar PATI menjadi ‘dalang’ kepada kemunculan semula penyakit ini di Malaysia?

    Dan persoalan ini mungkin ada kebenarannya, kerana tahap kesihatan PATI yang masuk ke Malaysia tidak dapat kita pastikan kerana mereka tidak menjalani prosedur pemeriksaan kesihatan seperti mana warga asing yang lain.

     Malah faktor persekitaran yang tidak bersih dan keadaan tempat tinggal sesak boleh menjadi penyumbang kepada merebaknya penyakit ini di samping kekurangan zat makanan dan daya tahan tubuh yang lemah.

    Jadi, bagaimana untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sifar kusta jika kedatangan PATI merupakan satu masalah yang masih sukar untuk dibendung? Bagaimana ‘kelestarian’ tentang keadaan ini boleh kita ubah? Terlalu banyak ‘laluan tikus’ yang wujud, malah mereka seolah-olah ‘kebal’ dengan undang-undang Malaysia. Persoalan yang akan terus kekal sebagai persoalan.

    Apa yang boleh dilakukan untuk mengelakkan diri dari dijangkiti penyakit ini adalah dengan memberikan perhatian dalam penjagaan kesihatan diri dan persekitaran.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Dr. Shelby


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan