Kanser Testis: Penyakit Berbahaya Buat Lelaki Muda

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Mungkin ramai orang fikir bahawa kanser ialah penyakit orang tua. Sebenarnya, terdapat kanser yang kerap berlaku dalam kalangan orang muda. Contohnya ialah kanser testis. Sekitar separuh daripada kanser testis berlaku dalam kalangan lelaki berumur antara 20 dan 34 tahun. Meskipun secara relatifnya, kanser ini jarang berlaku (hanya 0.8% daripada keseluruhan kanser dalam kalangan lelaki), ia merupakan kanser paling kerap menjejaskan lelaki muda.

Bahaya Kanser Testis

Testis atau buah zakar

Jika perempuan ada ovari, lelaki pula ada testis atau buah zakar. Organ reproduktif ini terletak di dalam skrotum (kantung zakar) dan berfungsi merembeskan hormon testosteron serta terlibat dalam proses penghasilan sperma. Ciri-ciri lelaki dan kesuburan banyak bergantung kepada fungsi organ ini.

Kanser testis berlaku apabila sel di dalam organ ini mengalami mutasi dan berkembang biak di luar kawalan. Kanser ini terdiri daripada beberapa jenis bergantung kepada sel yang terlibat:

  • Kanser germ cell. Jenis ini merangkumi 95% daripada kanser testis. Ini ialah sel yang bertanggungjawab menghasilkan sperma. Ia dibahagikan lagi kepada dua – seminoma atau bukan seminoma.
  • Kanser leydig.
  • Kanser sertoli.
  • Limfoma.

Perbezaan antara semua jenis di atas hanya boleh dilakukan melalui biopsi dan pemeriksaan patologi menggunakan mikroskop.

Jangan malu berjumpa doktor jika mengalami sebarang perubatan pada buah zakar

Sama ada anda merasakan buah zakar anda membesar, rasa sakit, berat, atau ada cecair yang terkumpul di dalam skrotum, jangan malu untuk mendapatkan pemeriksaan doktor. Kanser ini ialah antara kanser yang mudah dirawat. Oleh itu, sila dapatkan pemeriksaan dan rawatan awal.

Tiada punca yang jelas tetapi ada faktor risiko

Doktor dan saintis tahu bahawa penyakit ini berlaku apabila ada mutasi pada sel tetapi belum dapat mengenal pasti punca kepada mutasi tersebut. Beberapa faktor risiko dipercayai meningkatkan kebarangkalian seseorang mendapat kanser testis. Namun, kebanyakan lelaki yang mengalami kanser ini tidak mempunyai faktor risiko yang dapat dikenal pasti. Faktor risiko ini termasuk:

  • Testis tidak turun. Dalam sekitar 3% bayi lelaki lahir dalam keadaan testis tidak turun ke dalam kantung zakar. Kebiasaannya, testis tersebut akan turun dengan sendiri dalam tempoh setahun. Jika tidak, pembedahan harus dilakukan.
  • Sejarah kanser testis dalam keluarga.
  • Pernah mengalami kanser yang sama sebelum ini.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut