Jari Kaki Tukul (Hammertoe): Apa Yang Anda Harus Tahu?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Jari kaki tukul (hammertoe) adalah sejenis kecacatan kaki yang berlaku satu atau dua sendi jari kaki kedua, ketiga, keempat atau kelima. Ia terbentuk akibat ketidakseimbangan dalam otot, tendon atau ligamen yang biasanya membuatkan jari kaki lurus. Jari kaki tukul kebanyakannya berlaku disebabkan oleh kasut yang tidak sesuai, yang mendorong jari kaki kecil kepada kedudukan yang bengkok. Jika jari kaki tersebut bengkok dan dikekalkan dalam satu kedudukan terlalu lama, otot yang membantu meluruskan jari kaki tidak dapat meregang dengan baik. Kasut tumit tinggi pula akan meningkatkan tekanan dan bengkak di jari kaki apabila ia ditekan ke bawah. Akhirnya, otot-otot jari kaki tidak dapat meluruskan jari kaki walaupun ketika tidak berkasut.

Simptom bagi jari kaki tukul

Aduan yang paling biasa dengan jari kaki tukul adalah kerengsaan pada kulit atas jari kaki yang bengkok. Mereka yang mempunyai jari kaki tukul mungkin mengalami kesukaran atau kesakitan apabila cuba menggerakkan jari kaki yang terjejas . Kematu dan ketuat boleh terbentuk apabila jari kaki kerap bergeser dengan bahagian dalam kasut.

Wanita lebih cenderung mempunyai jari kaki tukul berbanding lelaki kerana bentuk kasut. Sekiranya seseorang mengalami sakit kaki berterusan yang memberi kesan kepada keupayaan berjalan dengan lancar, terutama bagi pesakit diabetes atau peredaran darah, mereka harus mendapatkan bantuan perubatan.

Jenis jari kaki tukul

Terdapat dua jenis jari kaki tukul iaitu jenis fleksibel dan jenis yang tegar. Sekiranya seseorang boleh menggerakkan sendi jari kaki, ia adalah jari kaki tukul yang fleksibel. Ini adalah peringkat yang awal dan ringan, dengan beberapa pilihan rawatan. Sebaliknya, untuk jari kaki tukul yang tegar, tendon di kaki menjadi kaku, maka ia akan menekan sendi keluar dari penjajaran dan membuatkan jari kaki tidak dapat bergerak. Pada peringkat ini, pembedahan biasanya disyorkan oleh doktor untuk pembetulan.

Komplikasi akibat jari kaki tukul

Pada mulanya, keadaan jari kaki tukul mungkin masih fleksibel. Tetapi jika jari kaki tetap berada di kedudukan sebegitu untuk tempoh yang lama, tendon jari kaki boleh mengecut dan mengetat kerana ia tidak meregang dengan baik. Akhirnya, jari kaki menjadi bengkok secara kekal. Sekiranya tidak dirawat, kes jari kaki tukul yang ringan boleh menjadi kecacatan jari kaki kekal, lalu menyebabkan kematu atau ketuat yang tumbuh dengan berulang dan menyakitkan, atau bahkan mungkin luka terbuka akibat geseran kasut bahagian jari kaki yang bengkok.

Pembedahan adalah penyelesaian yang disyorkan untuk membetulkan semula kedudukan jari kaki, tetapi ia juga mempunyai banyak komplikasi. Pembedahan untuk jari kaki tukul boleh menyebabkan peningkatan kekakuan, bengkak dan menjadikan jari-jari kaki menjadi lebih panjang atau pendek daripada sebelumnya. Jari kaki tukul mungkin boleh berlaku semula walaupun selepas pembedahan. Seorang doktor akan membantu anda untuk memutuskan sama ada anda memerlukan pembedahan untuk keadaan ini atau tidak.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.