Ada orang kata, dengan kanak-kanak ini tidak boleh garang-garang dan perlu berlembut dalam mendidik. Adakah ia betul cara mendidik anak jadi yang terbaik?
Cara mendidik anak
Anda pasti pernah melihat situasi seorang ibu memarahi anaknya dan ketika itu pasti terdetik di hati anda, “Saya takkan garang dengan anak saya,” betul tak?
Penulis juga pernah mengatakan begitu. Namun, situasinya berbeza sekarang, apatah lagi apabila perlu memikul tanggungjawab sebagai ayah dan ibu dalam masa yang sama.
Adalah normal untuk anak-anak melakukan perkara yang mungkin akan mengundang kemarahan anda. Mungkin itu adalah lumrah proses tumbesaran anak.
Namun setiap individu yang bergelar ibu dan bapa sudah tentu mahukan yang terbaik buat cahaya mata mereka.
Cara mendidik anak kena jadi garang?
Biasanya anak yang membesar di bawah didikan ibu yang garang dipercayai dapat membesar menjadi individu yang lebih baik.
Ibu adalah individu penting yang banyak mempengaruhi cara anak membesar. Malahan, tidak boleh dinafikan, kebanyakan anak akan lebih rapat dengan ibu berbanding ayah.
Disebabkan ini, ibu perlu mempunyai sisi ‘garang’ yang tersendiri. Ini tidak bermaksud anda tak boleh langsung manjakan si comel, tetapi segalanya perlu mempunyai had agar tidak naik lemak dan memijak kepala ibu. Dalam erti kata lain, ketegasan yang masih terkawal.
Berikut adalah beberapa perkara yang perlu anda terapkan di dalam diri anak-anak untuk menjadikan mereka sebagai individu yang lebih bertanggungjawab.
Cara mendidik anak #1. Maaf dan terima kasih
Sejujurnya bagi penulis, mengajar anak mengucapkan maaf dan terima kasih adalah perkara yang paling penting. Ia adalah perkara paling asas dalam mendidik anak-anak.
Ajarkan anak untuk memohon maaf apabila mereka melakukan sesuatu kesalahan tidak kira kepada sesiapa. Ini dapat membantu anak untuk menyedari tentang kesilapan mereka dan elak daripada berulang.
Sebagai permulaan, didiklah si manja untuk mengucapkan terima kasih apabila menerima sesuatu. Ia boleh menjadikan mereka sebagai individu yang tahu menghargai pemberian yang diterima.
2. Lakukan secara sukarela
Tidak dinafikan, ada yang menggunakan cara memberi upah untuk menggalakkan anak-anak membantu melakukan sesuatu pekerjaan.
Tetapi dalam masa yang sama, tindakan ini boleh membina satu kebiasaan iaitu mengharapkan balasan apabila melakukan sesuatu pekerjaan atau perkara.
Sebaiknya, cuba cara mendidik anak melakukan sesuatu secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang balasan. Ajarkan mereka untuk membantu anda mengemas dapur atau membersihkan rumah.
Ini dapat melahirkan rasa belas kasihan dalam diri anak-anak dan dalam masa yang sama mengajar mereka untuk membantu individu lain dengan seikhlasnya. Mungkin pada permulaan, anak-anak sukar untuk melakukannya, tetapi jangan berputus asa.
-
Mengawal penggunaan media dan gajet
Antara kesilapan paling biasa dilakukan dalam aspek pendidikan anak-anak adalah memberikan kebebasan dalam penggunaan media, gajet mahupun internet.
Malahan terdapat juga ibu bapa yang memberikan gajet untuk mendiamkan anak. Hakikatnya tindakan ini adalah salah.
Sebaiknya penggunaan media haruslah dikawal dan tidak membiarkan anak-anak menjadi terlalu obses dengan gajet.
Amat disarankan untuk si manja di bawah usia 6 tahun, elakkan daripada mendedahkan mereka kepada penggunaan gajet dan media tanpa kawalan.
-
Rasai kegagalan
Penulis sendiri sebagai seorang ibu, sentiasa ingin mencuba membantu anak. Apabila si manja berdepan dengan situasi seperti sukar untuk melakukan sesuatu, naluri seorang ibu pastinya ingin menolong. Tetapi hakikatnya tindakan itu adalah cara mendidik anak yang sangat tidak baik untuk proses keyakinan diri anak.
Jika si comel anda tidak dapat membuat sesuatu, jangan terus menolong. Sebaliknya cuba untuk memberikan sokongan kepada anak untuk mencuba dan tidak berputus asa. Masih gagal, bantu mereka dengan memberikan arahan atau menunjukkan cara yang betul.
Sekiranya, si manja anda membuat kesilapan, jangan terus memarahi mereka. Sebaliknya berikan sokongan untuk mereka melakukan yang lebih baik di masa hadapan.
Ini kerana jika anda memarahi mereka, ia hanya menjadikan mereka takut untuk mencuba. Ingat, menjadi tegas tidak bermakna anda perlu sentiasa memarahi anak.
Garang bukan tidak sayang
Menjadi ibu yang garang tidak bermakna anda tidak menyayangi anak-anak. Tetapi kerana rasa sayanglah anda harus bertegas untuk membentuk mereka menjadi ‘orang’ di masa hadapan.
Tidak salah untuk memanjakan anak, tetapi segalanya mempunyai had dan batasan. Jika ada yang mengatakan anda seorang ibu garang macam singa, tak perlu nak marah atau naik angin. Ini kerana anda lebih mengetahui apa yang terbaik untuk permata hati kalian.
[embed-health-tool-ovulation]