Bilik Tidur: Peralihan Tempat Tidur Anak

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Menjadi satu kebiasaan bagi ibu bapa di Asia ini untuk tidur bersama dengan anak terutama bagi yang masih bayi. Situasi ini berbeza dengan ibu bapa di Barat yang sudah membiasakan anak mereka, walaupun masih bayi, untuk mempunyai bilik tidur sendiri. Bersesuaian dengan situasi di Asia ini, kebanyakan doktor menyarankan ibu bapa untuk menidurkan bayi mereka di katil bayi itu sendiri. Namun begitu, kebanyakan ibu bapa lebih gemar untuk tidur bersama bayi kerana ia lebih selesa dan mudah untuk menyusukan bayi pada waktu malam. Sebenarnya, terdapat banyak kelebihan tidur bersama bayi namun terdapat juga kekurangannya.

Pro tidur bersama bayi

  • Penyusuan susu badan merupakan punca utama ibu memilih untuk tidur bersama bayi. Apabila bayi anda tidur bersama anda, mereka akan lebih kerap menyusu badan berbanding bayi yang tidur di katil mereka sendiri.
  • Jika bayi anda menangis pada tengah malam, anda boleh terus memujuk mereka tanpa perlu bangun dari katil. Ini dapat menjadikan waktu tidur anda dan pasangan tidak terganggu.
  • Sebenarnya, tidur bersama bayi adalah lebih selamat berbanding tertidur bersama bayi di sofa atau kerusi malas. Ini boleh mengakibatkan sudden infant death syndrome (SIDS).
  • Tidur bersama bayi juga dapat memanjangkan masa anda luangkan bersama bayi. Ini akan membantu menguatkan jalinan antara ibu bapa dengan bayi.
  • Berbaring di sebalah bayi akan memudahkan anda untuk memeriksa dan menyentuh badan bayi anda lebih kerap. Ini dapat membuat anda lebih cepat perasan jika terdapat apa-apa yang aneh pada bayi anda.

Bilik Tidur Masa yang Sesuai untuk Berpindah - tidur bersama anak

Kontra tidur bersama bayi

Tidak dapat dinafikan tidur bersama bayi mendatangkan banyak manfaat, namun ia juga boleh bertukar menjadi mudarat sekiranya:

  • Ibu bapa minum alkohol
  • Ibu bapa merokok atau menghisap rokok elektrik
  • Ibu bapa menyalahgunakan ubat atau dadah yang mengkhayalkan
  • Bayi berumur bawah 3 bulan
  • Bayi lahir lebih awal daripada 37 minggu
  • Berat badan bayi kurang daripada 2.5 kg

Dalam pada itu lagi, tidur bersama bayi sebenarnya boleh mendatangkan pelbagai implikasi yang lain seperti:

  • Kemungkinan berlakunya SIDS akan meningkat jika anda tertidur di sofa atau kerusi malas bersama bayi.
  • Anda dan pasangan mungkin tidak dapat untuk tidur nyenyak dan perlukan masa untuk membiasakan diri jika bayi anda tidur secara lasak.
  • Jika bayi anda sudah terbiasa tidur di katil bersama ibu bapa mereka, akan menjadi satu kejanggalan bagi mereka untuk tidur bersama individu lain (contohnya saudara-mara atau penjaga) atau ketika sampai waktu mereka tidur di katil mereka sendiri.
  • Tidur bersama bayi akan menjejaskan kehidupan seks anda. Melakukan seks ketika bayi anda sedang tidur di sebelah anda dan pasangan bukanlah satu idea yang baik.

Masa terbaik untuk memindahkan anak daripada bilik kelamin ibu bapa?

Ibu bapa selalu tertanya-tanya, pada usia berapakah mereka perlu mengasingkan kanak-kanak untuk tidur di bilik sendiri, dan bagaimana untuk melakukannya? Sebenarnya, tiada sebarang masa spesifik untuk kanak-kanak berpindah tempat tidur ke bilik mereka sendiri.

Namun, jika anda mahukan lebih privasi, atau bercadang untuk menambah bilangan ahli keluarga, anda perlu memindahkan anak ke bilik mereka. Walau bagaimanapun, berhati-hati jika anda ingin membuat pertukaran jika anak sedang berlatih untuk ke tandas, bayi bercerai puting, mula bersekolah atau mencapai satu tahap pencapaian lain, maka hal ini akan menjadi sedikit sukar. Memandangkan kanak-kanak akan memberikan kerjasama yang baik jika hanya satu perubahan berlaku pada satu-satu masa, jadi pemilihan masa yang betul adalah amat penting.

Bagaimana Ingin Mengajar Anak Tidur Sendiri

Normal untuk kanak-kanak kecil berasa takut apabila disuruh tidur di biliknya sendiri. Apatah lagi jika ini adalah pertama kali si kecil berpisah tidur dengan anda. Kanak-kanak yang baru diajar tidur sendiri di dalam bilik mereka pasti akan timbul rasa kekok, takut dan sukar untuk tidur tanpa ditemani penjaga.

Secara hakikinya, kanak-kanak tidak memerlukan ibu bapa pada waktu malam. Yang mereka perlukan adalah rehat. Jadi, tidur sendirian di waktu malam adalah yang terbaik untuk setiap kanak-kanak. Tambahan pula, belajar untuk tidur sendiri adalah kemahiran penting yang perlu dicapai oleh kanak-kanak. Dengan tidur sendirian dapat membantu kanak-kanak berasa dia boleh berseorangan dan selamat. Apatah lagi, dia tahu ibu bapanya ada di sebelah biliknya jika berlaku sebarang perkara.

Apa punca kanak-kanak takut tidur sendiri?

Punca utama yang menyebabkan anak kecil tidak mahu berpisah tidur dengan ibu bapa mereka adalah kerana takut. Kanak-kanak berusia di bawah lima tahun mempunyai tahap imaginasi yang tinggi. Akibat terdedah dengan pelbagai cerita yang ada di televisyen membuatkan mereka banyak berimaginasi. Ada yang mungkin terbayangkan hantu, binatang, penjahat dan bermacam-macam lagi yang bermain di minda mereka.

Selain itu, kanak-kanak juga biasanya memang takut akan kegelapan. Mereka tidak biasa tidur di dalam gelap seorang diri kerana penglihatan mereka terbatas. Ketika inilah, minda mereka mula membayangkan perkara yang pelik-pelik. Walaupun jika bilik mereka berdekatan dengan ibu bapa, namun mereka masih merasakan jauh kerana tidak dapat melihat ibu bapa mereka.

Bagaimana saya perlu mulakan proses peralihan tempat tidur?

Mulakan perbualan dengan anak anda jika mereka sudah cukup besar untuk memahami tentang keperluan mereka tidur di bilik sendiri, dan sentiasa ingatkan mereka perkara tersebut. Juga, pastikan sesi perbualan tersebut dibuat secara halus supaya anak anda tidak akan rasa terbeban.

Jika anda kerap mengingatkan anak tentang ini, mereka akan semakin menganggap bahawa keperluan untuk mereka tidur berasingan adalah penting dan mereka lebih bersedia. Ibu bapa disarankan untuk memberikan anak sekurang-kurangnya tiga hingga lima hari masa untuk tidur berasingan sebelum mereka berpindah keluar dari bilik anda.

Langkah mengajar anak tidur sendirian

Anda boleh bantu anak anda untuk tidur sendirian di biliknya dengan mengikuti langkah di bawah:

  1. Persiapkan bilik tidur

Sebelum berpisah tidur dengan anak, hiasi bilik mereka dengan dekorasi yang mereka minati. Contohnya, jika anak anda menggemari kartun atau mempunyai warna kegemaran, anda boleh menghias bilik tersebut dengan citarasa mereka. Semasa hendak menghias bilik, anda boleh bertanyakan pendapat anak anda dan memberitahunya bahawa anda akan menghias bilik tidurnya. Dengan cara ini, anak bukan sahaja berminat untuk tidur di bilik sendiri, malah mereka juga bersedia apabila diberitahu lebih awal supaya tidur bersendirian dalam bilik khas mereka.

Bilik Tidur Masa yang Sesuai untuk Berpindah - persiapkan bilik

  1. Pilih katil yang sesuai

Bagi membantu anak anda rasa selesa dan biasa dengan katil dan tilam barunya, biarkannya untuk memilih warna selimut, cadar, bantal, atau rekaan biliknya. Anda boleh menimbangkan untuk menyediakan tilam berkembar atau katil bayi jika anak anda berusia kurang daripada tiga tahun. Kebanyakan ibu bapa selalu membuat peralihan tempat tidur untuk bayi mereka semasa usia tiga tahun, tetapi anda boleh bermula lebih awal jika mahu. Walau bagaimanapun, umur minimum untuk peralihan tempat tidur perlulah 2 tahun setengah bagi menjadikan proses lebih mudah.

  1. Jelaskan kepada anak tentang keperluan untuk berpisah tidur

Anda perlu berterus-terang kepada anak supaya mereka tidak rasa diabaikan dan mereka akan lebih bekerjasama. Beritahu mereka bahawa penting untuk setiap kanak-kanak belajar tidur sendiri di bilik dan katil mereka. Kanak-kanak yang tidur di bilik sendiri bukan sahaja boleh berehat, malah dapat membantu mereka membesar dengan sihat dan kuat.

  1. Aktiviti sebelum tidur

Lakukan aktiviti biasa anda dengan anak sebelum tidur seperti berborak dengannya ataupun membacakan buku cerita kepada anak. Berterus-terang kepada anak jika sudah sampai masa untuk mereka tidur dan anda harus kembali semula tidur di bilik anda.

  1. Buat anak anda rasa selamat

Kanak-kanak selalunya mempunyai imaginasi luar kawalan. Perkara yang paling mereka takutkan semasa tidur sendiri adalah adanya raksasa di bawah katil mereka, di luar tingkap atau dalam almari. Berikan anak anda penyembur khas raksasa untuk menghilangkan ketakutan mereka, sekali gus membuatkan anak anda rasa selamat jika anda tiada di samping mereka.

  1. Tiada skrin sebelum tidur

Elakkan semua peranti digital sekurang-kurangnya satu hingga dua jam sebelum waktu tidur anak anda. Gangguan-gangguan seperti ini hanya akan membuatkan anak susah untuk tidur dan membuatkan mereka bertambah takut jika lambat tidur, kerana lampu sudah ditutup.

  1. Beritahu anak anda sentiasa ada dengan mereka

Beritahu kanak-kanak, anda sentiasa mengetahui perkara yang berlaku di bilik mereka. Contohnya, jika anak anda terjaga dan menangis, anda akan pergi menjenguk di bilik anak bagi menenangkan mereka. Anda boleh letakkan alat pengawasan bayi di bilik anak-anak bagi mengetahui aktiviti mereka dan memastikan keselamatan mereka tidak kira siang atau malam.

  1. Pencahayaan bilik

Bagi mengelakkan anak takut pada kegelapan, anda boleh nyalakan lampu tidur di bilik anak semasa mereka tidur. Lebih elok jika lampu tidur yang dipasang mempunyai kuasa laras supaya anda boleh memalapkan lampu semasa mereka sedang lena.

  1. Patuhi rutin

Ajar anak anda rutin tidur seperti anak perlu tidur pada jam 9 setiap malam. Kanak-kanak yang telah diajar tentang rutin lazimnya akan mudah mematuhi rutin tersebut. Jika anda sudah biasakan anak untuk mengikut rutin tidur, dia biasanya akan mudah mengantuk dan cepat terlena pada jam yang ditetapkan.

Jika anda mengasingkan anak dalam bilik mereka sendiri, jangan mengabaikan mereka atau terlupa sebarang rutin waktu tidur yang sering anda lakukan bersamanya semasa tidur di bilik anda. Ini akan membantu anak anda rasa cukup selesa untuk tidur sendiri. Jika mereka berkeras menyuruh anda menemani mereka, ikutilah permintaan anak anda. Ini hanya sementara sahaja, dan biasanya akan berlaku hanya beberapa hari sahaja.

  1. Tip lain

Jika anak anda lebih ke arah muzik atau perlu mendengar cerita sebelum tidur, anda boleh membelikannya pita perakam ataupun, anda rakam suara anda sudah anak boleh mendengar suara anda pada bila-bila masa yang mereka mahukan. Kebanyakan kanak-kanak akan rasa lebih selamat apabila mereka mempunyai mainan haiwan, atau anak patung untuk bermain kerana mereka percaya mainan tersebut boleh menemani dan melindungi mereka daripada raksasa.

Tip dekorasi bilik tidur anak

Bilik Tidur Masa yang Sesuai untuk Berpindah - tip dekorasi bilik

Berikut adalah beberapa tip dekorasi bilik yang mudah untuk anda ikuti:

  1. Hiasan dinding

Selain pemilihan warna bilik mengikut kesukaan anak, anda juga boleh memberikan anak anda peluang untuk menjadi kreatif dalam soal hiasan dinding bilik tidur mereka (tetapi dengan bantuan anda). Anda mungkin boleh memberikan anak pilihan pelekat dinding kesukaannya.

  1. Rak terbuka

Penggunaan rak terbuka adalah amat bersesuaian untuk diletakkan dalam bilik tidur anak anda jika anak anda masih lagi belum menempuhi alam sekolah. Ini kerana mereka akan lebih banyak bermain dan dengan penyediaan rak terbuka, ini membolehkan mereka untuk dengan mudah menyimpan kembali mainan setelah selesai bermain.

  1. Maksimumkan penggunaan ruang bilik tidur

Untuk bilik tidur yang bersaiz kecil, maksimumkan penggunaannya dengan sebaik mungkin. Elakkan menggunakan perabut seperti katil ataupun almari baju yang bersaiz terlalu besar, kerana ia akan menyebabkan bilik tampak serabut dan sesak. Pastikan ruang pencahayaan dari tingkap (jika terdapat tingkap) dapat memasuki bilik.

  1. Identiti sendiri

Jika anak anda akan berkongsi bilik dengan adik-beradik yang lain, pastikan mereka mempunyai pilihan untuk memilih katil yang mereka ingini. Berkongsi bilik tidak bermakna segalanya harus sama dari aspek pemilihan perabut atau barangan lain yang ingin diletak di dalam bilik tidur mereka. Benarkan mereka untuk menghidupkan identiti dan personaliti mereka.

Tangani anak kerap terjaga malam

Bilik Tidur Masa yang Sesuai untuk Berpindah - kerap terjaga malam

Kebiasaannya, pada permulaan berubah bilik tidur, anak anda berkemungkinan besar akan kerap terjaga malam dan mereka mencari anda di bilik. Anda mungkin akan bertanyakan mengapa mereka tidak lena tidur sepanjang malam.

Mengapa anak anda kerap terjaga malam?

Menurut pakar, terjaga malam adalah sebahagian daripada kitaran tidur yang biasanya dialami kanak-kanak dan juga orang dewasa. Akan tetapi, penidur yang baik tahu bagaimana untuk kembali tidur tanpa bantuan. Malangnya, kanak-kanak sulit untuk menanganinya. Jika anak anda memanjat ke katil anda di tengah malam, itu tandanya mereka memerlukan bantuan anda untuk kembali lelap. Selain itu, ketakutan kanak-kanak seperti takut dengan raksasa, hantu, atau benda lain boleh membuatkan anak anda sukar untuk tidur kembali. Pada usia 3 hingga 6 tahun, kenak-kanak cenderung untuk berlari keluar dari bilik tidur mereka apabila mendapat mimpi buruk.

Bagaimana untuk membantu kanak-kanak menangani perkara ini?

Berikut ada beberapa tip untuk anda cuba bagi membantu anak anda menanganinya.

  1. Bantuan tidur.

Sesetengah kanak-kanak mempunyai masalah dengan tidur. Mereka rasa tidak selesa atau tidak relaks apabila terjaga malam dan tiada bantuan tidur di tangan. Bantuan tidur boleh jadi seperti patung haiwan, puting bayi, atau barangan istimewa bagi kanak-kanak.

Oleh itu, bagi menangani perkara ini, anda boleh memperkenalkan bantuan tidur secara beransur-ansur kepada anak anda. Anda boleh ajar mereka tidur sambil dipeluk dengan anak patung kegemaran mereka ataupun memainkan muzik lembut bagi merangsang tidur mereka. Juga, ingatlah untuk pergi meninggalkan mereka dari bilik sebelum mereka tertidur. Ini mungkin sukar buat permulaan, tetapi bersabarlah dan jadikannya sebagai rutin tidur.

  1. Konsisten dengan rancangan anda.

Jika anda merancang untuk membantu anak anda kembali tidur, kekal konsisten dengan perancangan ini. Contohnya, rancangan anda adalah menetapkan sempadan, jadi cuba kekalkannya. Kekal kuat dan pastikan mereka kembali di katil mereka, berikan ciuman, dan kemudian tinggalkan mereka di bilik tidur.

  1. Bantu anak anda menghadapi ketakutan mereka.

Normal apabila kanak-kanak takutkan gelap. Anda boleh bantu anak anda menghadapi ketakutan mereka dengan cara memasang lampu malam di bilik tidur mereka, jadi mereka masih boleh melihat di dalam bilik. Selain itu, cuba bacakan buku kepada anak anda sebelum tidur supaya kanak-kanak boleh melupakan ketakutan mereka.

  1. Biarkan anak anda membuat pilihan katil sendiri.

Anda boleh membantu anak anda berminat untuk tidur dengan cara membiarkan mereka untuk memilih katil mereka sendiri. Antaranya seperti memilih cadar, bantal, ataupun bentuk katil yang mereka inginkan. Selain itu, anda juga boleh meluangkan masa untuk mendekorasi katil bersama anak-anak anda. Kemudian, barulah anak anda akan rasa selesa dengan bilik dan katil mereka.

  1. Tawarkan ganjaran.

Kadangkala, anda boleh berikan ganjaran pada anak anda atas usaha mereka. Ia boleh jadi mainan patung yang baru. Ini boleh menggalakkan kanak-kanak untuk tidur sendiri di dalam bilik mereka.

  1. Kompromi.

Anda boleh berkongsi bilik tidur dengan anak anda pada masa-masa tertentu. Letakkan mereka di atas tilam lembut di bilik tidur anda juga boleh membantu.

Terdapat kebaikan untuk anda tidur bersama anak anda terutama pada waktu anak anda masih bayi. Namun, apabila anak anda semakin berginjak usianya, anda mungkin perlu untuk membuat pengasingan bilik tidur. Seperti yang dikatakan tadi, tiada had usia yang spesifik untuk menentukan masa yang sesuai untuk memberikan anak anda bilik tidur sendiri. Ia bergantung kepada tahap kesediaan anak anda untuk tidur tanpa anda di sisi. Anda mungkin boleh mencuba untuk memindahkan bilik tidurnya secara perlahan-lahan, mungkin sekali seminggu pada permulaannya. Cukup sekadar memberikan anak anda pengalaman tidur sendiri dan tingkatkan kekerapan dari minggu ke minggu, sebelum anda terus mengubah tempat tidurnya secara tetap.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan