Pil Perancang: Bagaimana Ia Berfungsi Mencegah Kehamilan

Fakta Perubatan Disemak oleh | Ditulis oleh

Update Date 29/11/2019

Pil perancang berfungsi untuk mencegah kehamilan. Terdapat pelbagai jenama pil yang berlainan. Pil perancang adalah selamat, berpatutan, dan berkesan jika anda mengambilnya tepat pada waktunya. Selain mencegah kehamilan, pil ini mempunyai banyak manfaat kesihatan lain juga.

Bagaimana pil perancang berfungsi?

Hormon dalam pil perancang berfungsi menghalang ovulasi. Dengan cara ini, tiada ovum yang boleh disenyawakan sperma dan kehamilan dapat dicegah. Pil perancang juga menyebabkan lendiran atau mukus pada serviks menebal. Mukus yang tebal menyebabkan sperma sukar melepasi untuk menyebabkan persenyawaan.

Bagaimana pil perancang diambil?

Kebanyakan pil kombinasi sama ada dalam bentuk pek 21 hari atau pek 28 hari. Satu pil hormon diambil pada masa yang sama setiap hari selama 21 hari. Bergantung kepada pek anda, sama ada anda berhenti mengambil pil pencegah kehamilan selama 7 hari (seperti dalam pek 21 hari) atau anda akan mengambil pil yang tidak mengandungi hormon selama 7 hari (pek 28 hari). Anda akan mengalami haid apabila anda berhenti mengambil pil yang mengandungi hormon. Sesetengah wanita lebih suka pek 28-hari kerana ia membantu mereka membiasakan rutin mengambil pil setiap hari.

Terdapat juga sejenis pil kombinasi yang mengurangkan kekerapan haid wanita dengan membekalkan pil hormon selama 12 minggu dan kemudian pil tidak aktif selama 7 hari. Ini mengurangkan kekerapan haid kepada sekali dalam 3 bulan dan bukannya setiap bulan.

Satu lagi jenis pil yang boleh mengubah bilangan haid bulanan adalah pil progesteron dos rendah, kadangkala dipanggil pil mini. Pil pencegah kehamilan jenis ini berbeza daripada pil lain kerana ia hanya mengandungi satu jenis hormon – progesteron – bukan gabungan estrogen dan progesteron. Ia berfungsi dengan menukar lendiran serviks dan lapisan rahim, dan kadangkala menjejaskan ovulasi juga. Pil mini mungkin sedikit kurang berkesan untuk mencegah kehamilan berbanding pil kombinasi.

Pil mini diambil setiap hari tanpa rehat. Seorang perempuan yang mengambilnya mungkin tidak mengalami haid sama sekali atau mungkin mengalami haid yang tidak teratur. Untuk pil mini berkesan, ia mesti diambil pada masa yang sama setiap hari, tanpa melangkau dos.

Mana-mana jenis pil pencegah kehamilan berkesan apabila diambil setiap hari pada masa yang sama, tidak kira sama ada seorang perempuan akan melakukan hubungan kelamin atau tidak. Ini lebih  penting lagi dengan pil progesteron.

Untuk 7 hari pertama mengambil pil perancang, anda perlu menggunakan pencegah kehamilan lain seperti kondom, untuk mengelakkan kehamilan. Selepas 7 hari, pil tersebut akan berkesan sendiri untuk mencegah kehamilan. Waktu mula keberkesanan pil ini mungkin berbeza-beza berdasarkan jenis pil dan bila anda mula mengambilnya – jadi pastikan anda membincangkannya dengan doktor anda.

Jika anda terlupa atau terlangkau pil, anda tidak dilindungi daripada kehamilan dan memerlukan bentuk pencegahan tambahan seperti kondom. Atau anda perlu mengelakkan hubungan kelamin untuk seketika. Jangan ambil pil individu lain tanpa saranan doktor anda.

Bagaimana memanfaatkan pengambilan pil perancang?

Terlupa ambil, hilang pek, tidak mengisi semula preskripsi anda pada masanya – ini adalah sebab utama mengapa orang yang mengambil pil ini hamil. Adalah baik untuk memikirkan perkara-perkara ini lebih awal daripada masa. Berikut adalah beberapa cara untuk membantu anda ingat untuk mengambil pil anda setiap hari:

pil perancang

  • Gunakan aplikasi peringatan mengambil pil pencegah kehamilan atau tetapkan penggera pada telefon anda.
  • Pastikan pek pil anda bersebelahan dengan sesuatu yang anda gunakan setiap hari (seperti berus gigi atau pengecas telefon anda).
  • Simpan pil anda dalam beg supaya sentiasa bersama anda.
  • Kawan atau ahli keluarga yang mengambil ubat setiap hari boleh menjadi kawan pengingat dan saling membantu.
  • Pasangan anda boleh membantu mengingatkan anda.

Selain itu juga, mungkin ada pasangan suami isteri yang takut untuk mengambil pil perancang ini kerana risau akan risiko yang dibawa bersama. Antara risiko yang paling terkenal adalah risiko glaukoma. Lakukan apa sahaja untuk membantu anda mengambil pil anda tepat pada waktunya, setiap hari.

Kesan sampingan pengambilan pil perancang

Pil kontraseptif oral, atau lebih dikenali sebagai pil perancang, merupakan kaedah merancang keluarga yang efektif. Kaedah ini telah diamalkan oleh ramai wanita sejak dahulu lagi. Di samping keberkesanannya dalam mengawal kehamilan, amalan pengambilan pil ini juga mengandungi kesan sampingan tertentu, yang ada kalanya mengganggu kehidupan seseorang wanita.

  • Pendarahan kecil intermenstrual

Kira-kira separuh wanita yang mengambil pil ini mengalami masalah pendarahan faraj – juga dipanggil pendarahan kecil intermenstrual – yang berlaku antara tempoh jangkaan haid. Keadaan ini selalunya terjadi dalam tempoh 3 bulan terawal selepas anda mula mengambil pil perancang. Bagaimanapun, jika anda mengalami pendarahan banyak lebih daripada 3 hari, segera berjumpa dengan doktor.

  • Loya

Pil perancang juga boleh menyebabkan loya jika anda mengambilnya buat pertama kali. Anda perlu mengambilnya dengan makanan atau sebelum tidur bagi mengurangkan ketidakselesaan akibat loya. Kesan sampingan ini selalunya akan mengganggu anda dalam jangka masa pendek. Bagaimanapun, jika keadaan anda teruk dan berterusan, jangan ragu-ragu untuk mendapatkan nasihat pakar.

  • Sakit pada bahagian payudara

Satu lagi kesan sampingan lazim akibat pengambilan pil perancang adalah sakit pada payudara. Selalunya, gejala ini akan reda selepas beberapa minggu. Bagi mengurangkan ketidakselesaan pada payudara, anda perlu mengehadkan pengambilan kafein dan garam. Selain itu, anda juga disarankan untuk memakai coli sokongan. Jika kesakitan anda bertambah teruk atau anda mendapati ketulan pada payudara anda, sebaik-baiknya berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan.

  • Sakit kepala

Hormon seks dalam pil perancang adalah punca utama yang membuatkan anda sakit kepala dan migrain. Bergantung kepada jenis dan dos hormon, anda mungkin akan mengalami simptom sakit kepala yang berbeza.

  • Kenaikan berat badan

Walaupun tiada bukti kukuh yang menunjukkan pil perancang boleh meningkatkan berat badan anda, namun ramai wanita yang mengadu tentang retensi bendalir dalam payudara dan pinggul mereka selepas pengambilan kontraseptif jenis ini.

  • Perubahan angin

Wanita yang mengambil pil kontraseptif berkemungkinan mengalami kemurungan atau perubahan emosi. Jadi, jika anda pernah mengalami kemurungan, anda perlu berbincang dengan doktor anda sebelum mula mengambil pil ini.

  • Terlepas haid

Walaupun anda makan pil dengan betul, namun anda mungkin akan terlepas atau tidak datang haid. Ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti stres, sakit, melancong, dan ketidaknormalan hormon atau tiroid. Jika anda tidak datang haid walaupun masih mengambil pil perancang, doktor mungkin akan menyuruh anda melakukan ujian kehamilan sebelum anda meneruskan pengambilan pil.

  • Libido menurun

Dalam sesetengah kes, hormon pada pil perancang boleh menurunkan kemahuan seks anda. Jika simptom ini berterusan, dapatkan nasihat daripada doktor.

Pil perancang dan risiko glaukoma

pil perancang

Glaukoma, berlaku disebabkan tekanan tinggi pada mata, yang mendatangkan gangguan pada saraf optik dan akhirnya boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan atau buta. Punca kepada penyakit ini masih tidak diketahui secara tepat. Tetapi, mungkinkah pil perancang boleh menjadi antara punca glaukoma?

Pil perancang atau pil kontraseptif merupakan antara kaedah untuk mengawal kehamilan daripada berlaku. Walau bagaimanapun, terdapat kajian yang mengatakan bahawa pengambilan pil perancangan melebihi 3 tahun akan meningkatkan risiko bagi individu wanita tersebut untuk mendapat penyakit glaukoma.

Menurut Ketua Penyelidikan, Dr Shan Lin, pakar mata di klinik ophthalmologi di Universiti California, San Francisco, “Individu wanita yang mengambil pil kontraseptif selama tiga tahun atau lebih perlu mendapatkan pemeriksaan untuk glaukoma dan juga pemeriksaan oleh pakar mata, terutama jika mereka faktor risiko tinggi.”

Kajian yang melibatkan 3400 individu wanita berusia 40 tahun ke atas ini menunjukkan individu terlibat ini berisiko dua kali ganda untuk didiagnosis dengan glaukoma.

Faktor risiko glaukoma

Kandungan estrogen bersama progestin, atau progestin sahaja di dalam pil menjadi antara punca utama perkembangan glaukoma. Menurut Lin, walaupun kajian ini tidak membuktikan hubungan secara langsung sebab-akibat menggunaan pil perancangan kehamilan dan glaukoma, namun ia sekurang-kurangnya membantu merangsang penyelidikan masa hadapan.

Terdapat kajian lain yang menunjukkan kekurangan estrogen di dalam boleh menjadi punca kepada glaukoma. Tetapi bukankah pil perancangan mengandungi estrogen?

Menurut ahli epidemiologi dan pembantu profesor perubatan, Brigham and Women’s Hospital, Boston, Dr Jae Hee Kang, “Kandungan estrogen di dalam pil perancangan adalah untuk mengawal hormon mencegah kehamilan, mengawal tahap estrogen dari meningkat ketika kitaran haid. Pil yang mengandungi estrogen hanya cukup untuk menyingkirkan proses ovulasi.”

Ini bermakna wanita yang mengambil pil perancangan berkemungkingan terdedah kepada kekurangan perlindungan estrogen. Penurunan tahap estrogen akan mengurangkan aliran darah ke saraf optik.

Antara faktor risiko lain yang adalah seperti mempunyai sejarah keluarga yang pernah menghidap glaukoma, mempunyai masalah penglihatan serta pernah mengalami kecederaan yang menyebabkan kecacatan pada mata.

Jalani pemeriksaan

Sekiranya anda mungkin antara individu wanita yang mengamalkan pengambilan pil perancangan kehamilan ini untuk lebih dari 3 tahun, anda dinasihatkan untuk membuat pemeriksaan mata.

Ini kerana glaukoma merupakan satu masalah kesihatan yang tidak boleh dirawat, ia cuma boleh dilambatkan proses perkembangannya sahaja. Maka pengesanan dan rawatan awal adalah sangat penting, kerana penglihatan yang hilang tidak mungkin dapat dipulihkan.

Adakah saya akan mempunyai risiko kemandulan melalui penggunaan pil perancang dalam tempoh waktu yang berpanjangan?

pil perancang

Selepas percubaan untuk mengelakkan kehamilan, dan kemudian didiagnosis dengan kemandulan, wanita sering menyesal tentang bilangan pil perancang keluarga yang telah mereka ambil. Adakah pil perancang keluarga adalah penyebab kemandulan? Pil perancang keluarga diambil untuk menghalang ovulasi, bagi mengelakkan wanita daripada hamil. Ia mengandungi dua hormon bernama estrogen dan progestin, di mana bertindak menghantar isyarat kepada otak untuk berhenti mengeluarkan hormon perangsang folikel dan hormon peluteinan. Tanpa LH dan SH, tiada telur yang dilepaskan untuk bertemu dengan sperma. Selain itu, estrogen dan progestin sintetik di dalam pil perancang keluarga akan menyebabkan lapisan rahim kekal nipis, membuatkan telur yang telah disenyawakan susah untuk melekat dan membesar. Hormon ini juga membuat lendir servik menjadi lebih tebal yang dapat memperlahankan pergerakan sperma.

Selepas berhenti menggunakan pil perancang keluarga sepenuhnya, ramai wanita akan dapat kembali kitaran haid mereka yang normal dalam masa satu hingga tiga bulan. Walau bagaimanapun, ia boleh mengambil masa sehingga enam bulan hingga satu tahun bagi wanita yang sihat untuk berjaya hamil dengan bantuan hubungan kelamin pada waktu yang baik. Lebih daripada 80% pasangan telah berjaya hamil selepas 12 bulan melakukan hubungan kelamin tanpa perlindungan.

Sebaliknya, jika wanita berumur 35 tahun yang gagal untuk hamil selepas setahun berhenti menggunakan pil perancang keluarga, berjumpalah dengan doktor pakar. Begitu juga dengan wanita yang berumur lebih daripada 35 tahun yang mempunyai masalah untuk hamil selepas setahun mencuba, disarankan untuk berjumpa pakar sakit puan.

Namun begitu, masih tiada bukti saintifik yang mengesahkan bahawa penggunakan pil perancang keluarga boleh mengakibatkan kemandulan. Malah, kemandulan berkaitan dengan pelbagai faktor kesihatan. Oleh itu, sekiranya anda mengalami kesukaran untuk mengandung, rujuk doktor bagi mendapatkan nasihat perubatan, diagnosis dan rawatan yang lebih lanjut.

Alternatif pencegahan kehamilan lain selain pil perancang

pil perancang

Dengan kemajuan teknologi, sebilangan besar pencegahan kehamilan telah disediakan untuk wanita dan lelaki yang tidak ingin mempunyai anak. Walau bagaimanapun, banyak lagi ciptaan yang akan datang, dan berbeza dengan produk kontrasepsi biasa yang mana dibuat khusus untuk wanita, kaedah pencegahan kehamilan baru ini didedikasikan untuk populasi lelaki.

  • Kondom wanita

Kondom wanita adalah pencegahan yang telah wujud selama beberapa waktu. Walau bagaimanapun, ia masih kurang digunakan berbanding kondom lelaki. Kondom wanita adalah kantung plastik yang tipis dan fleksibel. Sebelum melakukan hubungan seks dengan pasangan lelaki, sebahagian kondom akan dimasukkan ke dalam vagina wanita untuk mencegah sperma memasuki rahim. Daripada mencegah kebarangkalian mendapat bayi, kondom wanita berfungsi dengan cara yang sama seperti kondom lelaki, yang bermakna ia dapat membantu mengurangkan risiko mendapat STD atau HIV. Kondom wanita boleh ditanggalkan dan ia bertujuan untuk dilupuskan selepas sekali penggunaannya.

  • Vasalgel

Vasalgel adalah kontraseptif bukan hormon lelaki yang kini telah dikaji dan dibangunkan oleh sebuah organisasi yang dinamakan Yayasan Parsemus. Ia dikenali sebagai FDA pertama (panel Pentadbiran Makanan dan Ubat) yang meluluskan kontraseptif lelaki sejak penciptaan kondom. Vasalgel pada dasarnya adalah polimer yang akan disuntik di bawah kulit bahagian tertentu tubuh, seperti tiub yang membawa sperma lelaki melalui skrotum, bukan di zakar atau buah zakar seperti yang dikhabarkan oleh sesetengah orang. Walaupun selepas disuntik, Vasalgel sememangnya akan menghalang sperma sementara masih membenarkan bendalir lain melaluinya. Selepas memasuki tubuh, Vasalgel akan menyekat sperma, dan jika seseorang ingin mempunyai anak selepas suntikan, maka suntikan kedua akan dapat membubarkan polimer.

  • Gendarussa

Gendarussa adalah alternatif kepada Vagalsel. Ini adalah kontraseptif bukan hormon yang telah melalui ujian manusia fasa II di Indonesia. Gendarussa adalah bahan aktif yang terpencil dan disintesis secara kimia, kemudian dibuat ke dalam bentuk kapsul. Gendarussa mempunyai keupayaan untuk mengganggu enzim pertama di kepala sperma, sehingga sukar untuk sperma menembus ovum. Dengan kata lain, kaedah ini berfungsi secara hipotesis dengan melumpuhkan keupayaan untuk menyuburkan telur sperma.

  • Clean Sheets Pill

Walaupun kontraseptif yang disenaraikan di atas adalah yang utama kerana ia mempunyai sokongan daripada ujian klinik, terdapat banyak lagi yang boleh anda pilih, termasuk Clean Sheets Pill, yang direka untuk membenarkan orgasme ketika menghalang ejakulasi. Clean Sheets Pill dibangunkan di London, UK. Oleh kerana ia melibatkan bioteknologi, para penyelidik masih membangunnya.

Jika produk boleh dimuktamadkan dan didapati selamat pada tubuh manusia tanpa apa-apa kesan sampingan, ia akan membebaskan lelaki dan wanita daripada ketakutan untuk mempunyai anak yang tidak diingini.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Baca juga:

    1
    Adakah artikel ini membantu anda?
    happy unhappy"
    Rujukan

    Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

    5 Cara Pemakaian Kondom Yang Salah Dan Patut Dielak, Atau Buruk Padahnya!

    Kondom adalah kaedah kontraseptif fizikal yang digunakan untuk mencegah kehamilan atau sebarang penyakit kelamin berjangkit. Walaupun digunakan secara meluas kerana keberkesanan dan harganya yang murah, kajian menunjukkan ...

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Helma Hassan

    Pil Perancang Tingkatkan Risiko Glaukoma?

    Glaukoma, berlaku disebabkan tekanan tinggi pada mata, yang mendatangkan gangguan pada saraf optik dan akhirnya boleh mengakibatkan kehilangan penglihatan atau buta. Punca kepada penyakit ini masih tidak diketahui ...

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Asyikin Md Isa

    Bila Anak Bertanya tentang Seks

    Menjelang usia 3-4 tahun, kanak-kanak sudah mula mengenal bahagian tubuhnya serta menyedari terdapat perbezaan antara anatomi tubuhnya dengan orang lain yang berlainan jantina. Ini bererti anda patut mempersiapkan ...

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Helma Hassan

    Apa yang Patut Anda Tahu tentang Suntikan Kontraseptif

    Pada masa ini, anda mungkin merancang untuk tidak hamil. Tetapi anda dan pasangan anda tidak menyukai kondom, pembedahan, atau alat kontraseptif yang diletakkan dalam badan. Dalam keadaan ini, anda berdua boleh ...

    Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
    Ditulis oleh Helma Hassan

    Artikel lain untuk anda

    apa itu vasektomi

    5 Selebriti Popular Yang Menjalani Pembedahan Vasektomi – #5 Paling Dekat Dengan Kita!

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Diterbitkan pada 29/04/2020

    Asyik Isteri Saja ‘Cegah’ Kehamilan, Kini Kontrasepsi Lelaki Pertama Bakal Dilancar! Suami, Sanggup Tak?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Ahmad Farid
    Diterbitkan pada 21/11/2019
    pil perancang

    Betul Ke Guna Pil Perancang Sudah Ketinggalan Dan Satu Kaedah Lama?

    Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
    Diterbitkan pada 03/11/2019
    4-new-contraceptions-know

    4 Pencegahan Kehamilan Baru yang Anda Perlu Tahu

    Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
    Ditulis oleh Farah Aziz
    Diterbitkan pada 11/03/2019