Fakta Dan Mitos Tentang Insomnia

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Insomnia adalah masalah berkaitan tidur malam yang boleh berlaku kepada sesiapa tanpa mengira usia mahupun jantina. Jom ambil tahu mengenai fakta dan mitos tentangnya.

Fakta dan mitos insomnia

Jika anda membuat carian di Google, pastinya terdapat pelbagai maklumat dan informasi yang akan anda perolehi. Tetapi adakah ia merupakan maklumat yang boleh dianggap sebagai fakta atau sekadar mitos? 

Berikut adalah beberapa fakta dan mitos mengenai insomnia yang harus anda ketahui:

Insomnia adalah isu berkaitan mental

Ini adalah mitos. Sememangnya masalah berkaitan psikologi boleh menyebabkan anda sukar tidur. Malahan tekanan merupakan punca utama individu sukar untuk tidur. Walau bagaimanapun, ia bukanlah pencetus masalah ini. 

Terdapat banyak perkara lain yang boleh mengakibatkan anda sukar tidur. Ia adalah termasuk tahap kebersihan tidur yang kronik, kesakitan, kesan sampingan dadah, penyakit kronik atau masalah  apnea tidur.

Minum beralkohol akan membantu anda untuk tidur

Ia adalah mitos. Insomnia merupakan satu masalah sukar untuk tidur atau kekal tidur dan akan membuatkan anda tidak mendapat berehat pada waktu malam dengan baik. Anda berasa pengambilan minuman beralkohol akan membantu anda tidur?

Fikirkan kembali. Ia mungkin boleh membuatkan anda tidur. Namun apabila ia mula mengalir ke dalam badan anda, ia cenderung untuk membuatkan tidur anda terganggu, tidak mendapat tidur berkualiti dan mungkin membuatkan anda bangun lebih awal.

Senaman membantu anda tidur

Ia adalah fakta. Sesungguhnya bersenam secara teratur merupakan satu cara terbaik yang dapat merangsang anda untuk tidur dengan lebih baik. Jika anda mengalami masalah tidur, elakkan daripada melakukan kerja sehingga lewat malam.

Walau bagaimanapun, melakukan senaman intensiti tinggi boleh menyebabkan anda berdepan kesukaran untuk tidur. Ia juga boleh meningkatkan suhu badan anda untuk tempoh lebih enam jam. Sebaiknya lakukan senaman dua atau tiga jam sebelum waktu tidur anda.

Menonton televisyen boleh membuatkan anda mengantuk

Sudah pasti ini adalah satu mitos. Membaca menerusi gajet seperti telefon pintar atau laptop mahupun menonton televisyen tidak akan membuat anda mengantuk. Sebaliknya aktiviti seperti ini akan lebih membuatkan anda terjaga. 

Cahaya dan bunyi daripada gajet mahupun televisyen boleh menurunkan tahap melatonin otak. Sedangkan untuk tidur, anda memerlukan tahap melatonin yang tinggi. Jadi mungkin pilihan yang lebih baik, dengarkan lagu berentak perlahan.

Bantuan tidur tiada risiko

Ini merupakan satu mitos. Memang betul ubat tidur merupakan satu pilihan yang selamat dan lebih efektif. Tetapi setiap ubatan mempunyai risiko tersendiri, termasuklah kecenderungan untuk terlalu bergantung kepada ubat tersebut.

Sebaiknya dapatkan nasihat dan rundingan daripada doktor sebelum memutuskan penggunaan pil tidur. Sesetengah bantuan tidur ini dapat membantu mengatasi masalah sukar tidur, tetapi hanyalah untuk sementara. Ia tidak dapat menyembuhkan masalah yang dihadapi ini.

Ganti tidur

Atasi masalah kurang tidur dengan mengganti tidur? Mitos semata-mata. Ia bukanlah mudah untuk menggantikan waktu tidur yang sudah anda terlepas. Tidur untuk tempoh yang lama boleh mengganggu jam semula jadi badan anda. 

Gangguan ini berkemungkinan akan menyebabkan anda lagi sukar untuk tidur pada waktu tidur seterusnya. Cara terbaik adalah dengan mendapatkan kembali waktu tidur biasa anda. 

Tidur siang dapat mengimbangi sukar tidur

Ini juga adalah mitos. Tidur siang memberikan kesan yang berbeza kepada setiap individu. Bagi sesetengah individu, tidur siang untuk tempoh 10 hingga 20 minit pada waktu tengah hari boleh memberikan kesegaran. 

Sebaliknya, individu dengan masalah ini yang tidur siang boleh mengurangkan pemacu tidur otak. Keadaan ini sekali gus lebih mendatangkan kesukaran untuk tidur pada waktu malam.

Belajar untuk tidur kurang

Boleh ke belajar untuk tidur kurang? Sudah tentu ia adalah satu mitos dan mempercayainya hanya akan menyebabkan kesan yang lebih serius. Setiap individu dilahirkan dengan keperluan tidur yang telah ditetapkan. Umumnya, individu dewasa memerlukan tidur antara 7 hingga 8 jam.

Jika anda kurang tidur, ia akan membuatkan anda sukar untuk menumpukan perhatian dan sukar untuk mengingati sesuatu perkara. Lebih kronik, ia boleh menyebabkan penurunan prestasi kerja, peningkatan risiko terlibat dengan kemalangan serta masalah kesihatan secara menyeluruh.

Sukar tidur? Bangun dari katil

Ia adalah fakta. Daripada anda terus bergolek di atas katil untuk tempoh lebih daripada setengah jam, mungkin adalah lebih baik untuk anda bangun. Dapatkan bahan bacaan ringan atau dengarkan muzik yang santai. 

Melakukan aktiviti yang tenang boleh membantu anda untuk berehat dan berasa mengantuk. Terus berada di atas katil hanya akan membuatkan anda resah.

Latih diri untuk tidur

Adakah ia fakta atau mitos? Sudah tentu ia fakta. Anda boleh melatih badan untuk berhubungan dengan tingkah laku tertentu yang berkaitan dengan tidur. Kuncinya sudah tentu konsisten. Membaca buku untuk tempoh sejam atau mendapatkan mandian panas sebelum tidur mungkin cara yang dapat membantu. 

Carilah aktiviti yang boleh dan berkesan untuk membantu anda tidur. Seterusnya jadikan ia sebagai satu perkara yang perlu dilakukan setiap kali tiba waktu tidur.

Masalah tidur akan berlalu

Semestinya ia adalah mitos. Selagi anda tidak dapat mengenal pasti punca anda mengalami kesukaran untuk tidur, sama ada disebabkan tekanan, ubatan, penyakit atau sebarang isu yang mendasari, usah berharap masalah ini akan berakhir. 

Dapatkan bantuan

Jika anda mempunyai masalah untuk mendapatkan tidur atau sukar untuk kekal tidur, atau anda mungkin secara konsisten berasa kelesuan walaupun selepas tidur malam, ia mungkin petanda bahawa anda mengalami masalah gangguan tidur. 

Cara yang terbaik, berbincang dengan doktor untuk mendapatkan rawatan yang bersesuaian. Jangan abaikan masalah ini kerana ia mungkin akan menjadi lebih kronik.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel: