Ada Apa Dengan Bekam

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Bekam ialah sejenis rawatan alternatif kuno yang telah digunakan sejak zaman Mesir Purba dan China. Di dalam sebuah buku perubatan kuno iaitu Ebers Papyrus, terdapat penjelasan tentang bagaimana orang Mesir menggunakan kaedah bekam pada tahun 1550 sebelum Masihi.

Bekam dilakukan dalam dua kaedah – kering dan basah.

Dalam kedua-dua kaedah, sejenis cawan akan dilekapkan ke atas kulit dan tekanan negatif di dalam cawan akan diwujudkan sama ada menggunakan teknik pembakaran (lama) atau penyedut (moden). Cawan tersebut kebiasaannya dibiarkan selama 3 minit.

Dalam kaedah basah, cawan akan diangkat dan bahagian kulit yang terbabit akan dicucuk atau dipotong dengan potongan kecil menggunakan jarum atau pisau. Kemudian, cawan diletakkan semula untuk menyedut sejumlah kecil darah di kawasan berkenaan.

Beberapa cawan mungkin digunakan dalam satu masa. Selepas bekam selesai, anda mungkin diberikan krim antibiotik dan pembalut untuk mengelakkan jangkitan. Kulit akan kembali kelihatan seperti asal dalam 10 hari.

Kajian saintifik terhadap bekam

Tidak banyak kajian santifik yang dijalankan ke atas bekam.

Satu laporan dalam Journal of Traditional and Complementary Medicine mengatakan bahawa ia mungkin membantu merawat masalah jerawat, kayap, dan mengurangkan rasa sakit.

Pengkaji di Australia dan China pula melihat 135 kajian ke atas bekam dan membuat kesimpulan bahawa ia mungkin berkesan apabila diambil bersama-sama dengan rawatan lain seperti akupuntur atau ubat-ubatan untuk merawat pelbagai keadaan kesihatan termasuk kayap, jerawat, dan lumpuh pada otot muka. Walau bagaimanapun, mereka juga menyatakan bahawa banyak kajian bersifat berat sebelah dan kajian yang lebih baik diperlukan.

Adakah terdapat kesan sampingan?

Bekam secara amnya adalah selamat selagi mana ia dilakukan oleh ahli profesional terlatih. Namun, terdapat beberapa kesan sampingan yang mungkin berlaku seperti:

  • Ketidakselesaan.
  • Kulit terbakar.
  • Lebam.
  • Jangkitan kulit.

Warga emas, bayi, dan pesakit kronik perlu berhati-hati

Golongan ini perlu lebih berhati-hati kerana mereka mempunyai sistem imun yang lemah berbanding orang biasa. Mungkin keadaan kesihatan mereka boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan seperti jangkitan dan pendarahan. Oleh itu, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum melakukannya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Oktober 29, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Ogos 9, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut