Mengenai Penyakit Kelamin: Apa Perlu Diketahui

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Penyakit kelamin atau STD merupakan antara jangkitan yang mungkin tidak mempunyai sebarang simptom atau tanda yang boleh diperhatikan sebagai amaran. Jika anda aktif secara seksual, anda perlu mendapatkan maklumat tentang penyakit kelamin dan mengetahui cara terbaik yang dapat melindungi anda daripada jangkitan. Mungkin beberapa fakta mengenai penyakit kelamin ini harus anda ketahui.

Perkara yang perlu diketahui mengenai penyakit kelamin

Mitos 1: Wujud simptom pada pasangan anda

Antara isu utama mengenai penyakit kelamin, kebanyakan penyakit kelamin atau STD ini tidak mempunyai sebarang simptom atau hanya simptom ringan, terutamanya kepada individu wanita. Sesetengah simptom STD boleh pergi dan kembali selepas beberapa tempoh. Jangkitan kelamin ini boleh menjejaskan fungsi badan anda, dan ia boleh tersebar kepada pasangan anda, walaupun anda tidak mempunyai sebarang simptom.

Mitos 2: STD boleh menjangkiti dari sebarang objek yang digunakan pesakit

STD hanya merebak melalui faraj, dubur, atau seks oral. Sesetengah jangkitan ini mungkin tersebar kepada bayi ketika proses kehamilan, kelahiran atau menyusu badan. Herpes boleh tersebar melalui ciuman, jika lepuh (blister) herpes berada dalam mulut atau sekitar bibir. Hepatitis B, sifilis, dan HIV – virus AIDS, boleh merebak melalui perkongsian jarum atau sebarang objek yang tercemar melalui darah, dan juga hubungan seksual. STD tidak akan merebak melalui bersalaman, pelukan, tempat duduk mangkuk tandas, tuala, hidangan makanan, telefon atau gigitan serangga.

Mitos 3: Simptom STD mungkin menyebabkan gangguan tetapi tiada kesan serius

Penyakit kelamin yang tidak dirawat boleh menyebabkan masalah yang lebih kronik. Ia boleh menyebabkan kemandulan, masalah pada saluran kencing, kanser vulva, serviks, faraj, zakar dan dubur. Sesetengah penyakit kelamin, termasuk sifilis dan AIDS boleh mengakibatkan kematian. Tiada penyakit kelamin yang tidak berbahaya.

Mitos 4: Tunggu sehingga muncul simptom

Menunggu sehingga munculnya simptom adalah satu perbuatan sia-sia yang mungkin mendatangkan bahaya memandangkan penyakit kelamin mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom. Sebaiknya, jika anda mengesyaki atau merasakan anda mungkin berisiko kepada jangkitan ini, sila berjumpa doktor secepat mungkin dan pemeriksaan makmal boleh menentukan sama ada anda dijangkiti atau tidak. Pasangan anda juga berisiko untuk dijangkiti, maka pemeriksaan juga perlu dilakukan. Setiap penyakit kelamin memerlukan rawatan perubatan profesional.

Mitos 5: Hanya sekali jangkitan

Apa yang perlu anda ketahui mengenai penyakit kelamin ini, badan anda tidak membina sebarang imunisasi kepada sebarang penyakit kelamin. Jika pasangan anda dijangkiti, anda berdua mungkin akan menyebarkan jangkitan ini sesama sendiri, melainkan anda dan pasangan mendapatkan rawatan dan merawat segala masalah kesihatan sebelum kembali melakukan seks. Malah, jika anda pernah terkena jangkitan STD, anda berkemungkinan besar akan dijangkiti sekali lagi.

Apakah simptom penyakit kelamin?

Seperti yang dijelaskan awal tadi, kadangkala tidak wujud sebarang simptom kepada jangkitan ini. Jika muncul simptom mengenai penyakit kelamin ini, ia mungkin seperti:

  • Benjolan, luka atau ketuat berhampiran mulut, dubur, zakar atau faraj.
  • Bengkak atau kemerahan berhampiran zakar atau faraj.
  • Ruam.
  • Kesakitan ketika kencing.
  • Kehilangan berat, kurang membuang air besar, berpeluh pada waktu malam.
  • Sakit badan, demam dan menggigil.
  • Penyakit kuning (jaundice).
  • Keluar cecair dari faraj atau zakar. Cecair dari faraj mungkin mengeluarkan bau.
  • Pendarahan pada faraj, selain dari tempoh haid.
  • Kesakitan ketika hubungan seksual.
  • Kegatalan yang kronik pada bahagian zakar atau faraj.

Merawat penyakit kelamin

Kebanyakan penyakit kelamin boleh dirawat dengan antibiotik. Jika anda diberikan antibiotik, penting untuk anda mengambilnya sehingga habis walaupun simptom anda sudah tiada. Dan, jangan pernah mengambil ubatan kepunyaan individu lain untuk merawat penyakit anda. Ini kerana ia menyebabkan kesukaran untuk didiagnosis dan merawat jangkitan.

Mengelakkan penyebaran penyakit kelamin

  • Jika anda mempunyai jangkitan STD, berhenti melakukan sebarang perhubungan seksual sehingga anda berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan.
  • Ikuti arahan doktor untuk rawatan.
  • Gunakan kondom apabila ingin melakukan hubungan seks, terutama dengan pasangan baru.
  • Jangan melakukan hubungan seks melainkan doktor mengatakan anda boleh melakukannya.
  • Kembali mendapatkan pemeriksaan doktor untuk pemeriksaan semula.
  • Pastikan pasangan anda turut mendapatkan rawatan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Tarikh Reviu: April 18, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut