Rawatan Alternatif Bekam Yang Perlu Anda Tahu

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Bekam merupakan satu amalan tradisional yang diamalkan dalam pelbagai budaya seluruh dunia. Amalan ini melibatkan penggunaan cawan khas yang telah dikeluarkan udaranya untuk menghasilkan ruang udara bertekanan rendah seperti menghasilkan sedutan atau ruang separa vakum dan diletakkan atas permukaan kulit.

Definisi Bekam

Berbekam ialah mengeluarkan darah kotor daripada tubuh seseorang dengan cara membedah/menoreh sedikit pada tubuh seseorang dan mengeluarkan darah kotor dengan menggunakan tanduk atau cawan yang ditelungkupkan pada tempat yang telah dibedah/ditoreh itu.

Peringkat Umur Dibenarkan Berbekam

Individu yang ingin melakukan rawatan alternatif bekam ini mesti berumur antara 10 hingga 65 tahun. Manakala bagi individu berumur melebihi 65 tahun, bekam boleh dilakukan sekiranya mempunyai tahap kesihatan yang baik.

Jenis-jenis Bekam

  • Bekam kering/bekam angin

Peralatan bekam hanya diletakkan di atas permukaan kulit tanpa torehan kulit dan tidak berlaku pendarahan. Bekam ini biasanya digunakan untuk mengatasi rasa sakit yang disebabkan oleh reumatik dan rasa sakit di bahagian punggung. Bekam jenis ini akan meninggalkan bekas seperti lebam berwarna merah kehitaman dan akan hilang beberapa hari kemudian.

  • Bekam basah

Kaedah ini melibatkan peralatan bekam yang diletakkan di atas permukaan kulit yang telah ditoreh dan cawan khas digunakan untuk mengeluarkan darah kotor melalui torehan itu. Biasanya ia dilakukan selama 3 hingga 5 minit dan tidak melebihi 9 minit.

Penyedutan darah hanya boleh dilakukan sehingga 7 kali sahaja dan tidak boleh melebihi jumlah maksima itu. Kebiasaannya jenis bekam ini akan mengeluarkan darah berwarna merah kehitaman dan berbuih.

  • Bekam api

Ia juga dikenali sebagai Fire Cupping iaitu menggunakan medium api sebagai bahan untuk membuat ruangan pada alat penyedut. Bekam jenis ini dilakukan dengan gelas yang direkabentuk khas untuk membuat ruang hampagas pada kawasan bekam. Udara di dalam gelas dibakar dengan menggunakan kertas atau kapas, kemudiannya gelas diletakkan atas permukaan kulit.

Manfaat Bekam

Bekam dilakukan sebagai rawatan untuk beberapa masalah kesihatan berikut:

  • Gangguan darah, seperti anemia dan hemofilia
  • Penyakit rematik, seperti arthritis dan fibromyalgia
  • Kesuburan dan gangguan berkait dengan ginekologi
  • Masalah kulit, seperti ekzema dan jerawat
  • Tekanan darah tinggi (hipertensi)
  • Migrain
  • Keresahan dan depresi
  • Ketegangan urat leher, belikat, pinggang dan sendi kaki
  • Memecahkan lemak

Kesan Sampingan Bekam

Dalam setiap rawatan, penjagaan kebersihan peralatan sangat penting bagi mengelakkan berlakunya kesan sampingan. Kaedah bekam yang tidak betul boleh menyebabkan jangkitan dan penularan penyakit bawaan darah seperti HIV/AIDS, Hepatitis B dan Hepatitis C akibat penggunaan peralatan yang tidak disteril.

Antara kesan sampingan lain yang dialami adalah:

  • Rasa tidak selesa di tempat bekam
  • Pening atau pitam
  • Pendarahan berlebihan
  • Kulit melecur (jika menggunakan bekam api)

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Julai 25, 2018 | Kali terakhir kemaskini: September 13, 2019

Rujukan