Memahami Perubahan Payudara: Panduan Kesihatan untuk Wanita

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Dengan pertambahan usia, anda mungkin mendapati bahawa payudara anda hilang kepejalan, berubah bentuk,  mengecil atau mengecut dan lebih berkemungkinan mengalami benjolan yang tidak normal. Pada usia 40 tahun, payudara akan mula berubah saiz dan bentuk. Perubahan ini mungkin tanda-tanda pertumbuhan yang tidak normal pada payudara. Tetapi jangan risau, benjolan payudara tidak semestinya tanda masalah kesihatan yang serius dan boleh jadi tidak berbahaya.

Perubahan payudara

Jika anda menyedari perubahan pada payudara, hubungi doktor anda dengan segera. Selepas memaklumkan kepada doktor, anda mungkin disarankan untuk mendapatkan mamogram untuk pemeriksaan tisu payudara.

Ketulan atau rasa pepejal

  • Ketulan dalam atau berhampiran payudara
  • Ketulan di bawah lengan
  • Tisu tebal atau pejal dalam atau berhampiran payudara atau di bawah lengan
  • Perubahan saiz atau bentuk payudara

Jika anda sedar terdapat ketulan/benjolan pada payudara, jangan terlalu risau. Kebanyakan ketulan payudara bukan kanser. Payudara yang normal kadang-kadang boleh berasa pejal. Sesetengah wanita sentiasa melakukan pemeriksaan payudara sendiri. Melakukan pemeriksaan payudara sendiri boleh membantu anda belajar bagaimana rasa payudara yang normal dan memudahkan anda mengesan sebarang perubahan.

Lelehan atau perubahan puting

  • Lelehan puting (cairan yang bukan susu ibu) yang keluar dengan sendirinya
  • Cecair yang berdarah
  • Perubahan payudara (seperti puting yang masuk ke dalam payudara)

Lelehan puting boleh berlaku disebabkan oleh pil pencegah kehamilan, ubat-ubatan atau jangkitan. Ia mungkin berbeza warna atau tekstur. Lelehan puting selalunya bukan tanda kanser.

Perubahan kulit

  • Kulit pada payudara anda gatal, merah, berkeruping, berlekuk, atau berkedut

Perubahan payudara sepanjang usia adalah normal

Tidak semua perubahan payudara adalah tanda-tanda masalah kesihatan. Kadang-kadang, perubahan payudara boleh berlaku disebabkan oleh hormon atau sebagai sebahagian daripada proses penuaan.

  • Wanita muda yang tidak melalui menopaus selalunya mempunyai tisu payudara yang lebih padat. Tisu padat mempunyai lebih banyak tisu kelenjar dan tisu penghubung dan kurang tisu lemak. Tisu jenis ini menjadikan mamogram lebih sukar untuk ditafsir kerana kedua-dua tisu padat dan tumor muncul sebagai kawasan putih padat pada imej x-ray. Tisu payudara semakin kurang padat apabila wanita semakin tua.
  • Sebelum atau semasa haid, payudara anda mungkin berasa bengkak, sakit bila disentuh, atau menyakitkan. Anda juga mungkin merasa satu atau lebih benjolan ketika ini kerana cecair tambahan pada payudara anda. Perubahan ini biasanya hilang pada akhir kitaran haid anda. Ini kerana sesetengah benjolan disebabkan oleh perubahan hormon biasa.
  • Semasa kehamilan, payudara anda mungkin merasa berketul. Ini biasanya kerana kelenjar yang menghasilkan susu semakin bertambah dan membesar.

  • Semasa menyusu, anda mungkin menghadapi keadaan yang dipanggil mastitis. Ini berlaku apabila saluran susu tersekat. Mastitis menyebabkan payudara kelihatan merah dan berasa berketul, panas dan sakit bila disentuh. Ia mungkin berlaku disebabkan oleh jangkitan dan biasanya dirawat dengan antibiotik. Kadang-kadang saluran susu tersebut perlu dikosongkan. Jika kemerahan atau mastitis tidak hilang dengan rawatan, hubungi doktor anda.

  • Apabila anda hampir menopaus, tempoh haid anda mungkin akan berkurangan. Tahap hormon juga berubah. Ini boleh menjadikan payudara anda terasa sakit bila disentuh, walaupun anda tidak mengalami haid. Payudara anda juga mungkin berasa lebih berketul berbanding sebelum ini.

  • Jika anda mengambil hormon (seperti terapi hormon menopaus, pil pencegah kehamilan, atau suntikan), payudara anda akan menjadi lebih tumpat. Ini boleh menyebabkan mamogram lebih sukar untuk ditafsir. Pastikan doktor anda tahu jika anda mengambil hormon.

  • Apabila haid anda berakhir (menopaus), paras hormon anda jatuh, dan tisu payudara anda menjadi kurang padat dan lebih berlemak. Anda mungkin berhenti mengalami sebarang ketulan, kesakitan, atau lelehan puting yang pernah anda miliki. Dan oleh kerana tisu payudara anda kurang padat, mamogram mungkin lebih mudah ditafsirkan.

5 Langkah pemeriksaan sendiri payudara

Langkah 1: Mulakan dengan melihat payudara anda di cermin dengan bahu yang lurus dan lengan di pinggul anda.

Inilah yang patut anda cari:

  • Saiz, bentuk dan warna biasa payudara
  • Payudara yang berbentuk sama rata tanpa herotan atau pembengkakan

Jika anda melihat mana-mana perubahan berikut, jumpa doktor anda:

  • Kulit berlekuk, berkedut atau membonjol
  • Puting yang telah berubah kedudukan atau terbalik (masuk ke dalam dan bukannya keluar)
  • Kemerahan, kesakitan, ruam, atau pembengkakan

Langkah 2: Angkat tangan dan cari perubahan yang sama.

Langkah 3: Semasa di hadapan cermin, lihat sebarang tanda cecair yang keluar daripada payudara (sama ada berair, bersusu atau cecair kurung atau berdarah).

Langkah 4: Seterusnya rasa payudara semasa berbaring. Gunakan tangan kanan untuk merasakan payudara kiri dan sebaliknya. Gunakan sentuhan pejal dan lembut dengan jari, pastikan jari rata dan tidak terpisah. Gunakan gerakan membulat, periksa suku payudara satu persatu.

Pastikan anda memeriksa kesemuanya, daripada atas ke bawah, tepi ke tepi iaitu daripada tulang selangka ke bahagian atas abdomen dan daripada ketiak kepada belahan dada. 

Langkah 5: 

Akhirnya, rasa payudara anda semasa anda berdiri atau duduk. Ramai wanita mendapati bahawa cara paling mudah untuk merasakan payudara adalah apabila kulit mereka basah dan licin, jadi mereka suka melakukan langkah ini di bilik mandi. Periksa keseluruhan payudara anda, dengan menggunakan pergerakan tangan yang sama yang diterangkan pada langkah 4.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 7, 2018 | Kali terakhir kemaskini: November 27, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut