backup og meta

Ada Asbestos Dalam Bedak Bayi?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 05/07/2022

    Ada Asbestos Dalam Bedak Bayi?

    Eh, betul ke ni? Bukan asbestos tu bahaya ke? Ikuti artikel ini untuk penerangan selanjutnya.

    33,000 botol bedak bayi ditarik balik

    Pada hari Jumaat yang lalu (18 Oktober 2019), syarikat Johnson & Johnson mengalami kejatuhan saham sebanyak 6 peratus berikutan pemeriksaan oleh United States Health Regulators yang menjumpai sejumlah kecil asbestos di dalam kandungan bedak bayi yang dibeli secara atas talian. Ini merupakan kali pertama syarikat gergasi antarabangsa tersebut terpaksa menarik balik produk yang menjadi lambang kepada syarikat mereka disebabkan oleh pencemaran bahan tersebut.

    Syarikat Johnson & Johnson telah beroperasi lebih daripada 130 tahun dan ia pernah terbabit dalam pelbagai jenis tuntutan mahkamah yang melibatkan peralatan perubatan, ubat anti psikotik dan kini, bedak bayi. Walaupun produk mereka telah didapati tercemar dengan bahan kimia tersebut, siasatan lanjut perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca kepada pencemaran terbabit. Setakat ini tiada kesan asbestos yang dapat dikenal pasti pada lombong sumber talkum yang digunakan oleh syarikat berkenaan.

    Asbestos dan kesannya kepada tahap kesihatan individu

    Asbestos adalah gelaran yang diberikan kepada 6 jenis mineral semula jadi yang sering dijumpai dalam bentuk seberkas serat yang boleh diasingkan menjadi bebenang yang kuat. Ia sering digunakan sebagai bahan mentah untuk produk industri dan komersial kerana ia mempunyai kerintangan haba, api, bahan kimia yang tinggi. Aplikasinya meluas merangkumi pembuatan bangunan, industri kapal dan industri automotif.

    Sekatan terhadap penggunaan asbestos dalam pembuatan produk industri dilakukan secara berperingkat. Ini berikutan pada tahun 1970 apabila United State Consumer Product Safety Commission (CPSC) telah mendapati bahawa penggunaanmya boleh menyebabkan ia  tersebar di kawasan persekitaran. Ia juga telah dikenal pasti sebagai bahan karsinogen (bahan yang boleh menyebabkan kanser) oleh United State Department of Health and Human Services (HHS), U.S. Environmental Protection Agency (EPA) dan International Agency for Research on Cancer (IARC). Antara kanser yang berkait dengan penggunaan asbestos adalah:

  • Mesothelioma (kanser pada membran yang menyelaputi dinding dada dan abdomen).
  • Kanser paru-paru.
  • Kanser tekak.
  • Kanser ovari
  • Selain daripada kanser, ia juga boleh menyebabkan keradangan paru-paru. Individu yang terdedah kepada bahan tersebut akan mengalami simptom asbestosis seperti kerosakan paru-paru kekal, simptom batuk dan sesak nafas.  

    Faktor yang mempengaruhi terjadinya penyakit berkaitan asbestos

    Tiada individu yang tidak pernah terdedah kepada asbestos. Ia terdapat di dalam air, tanah dan udara namun tahap kepekatannya tidak menyebabkan sebarang kesan sampingan terhadap aspek kesihatan populasi umum. Namun, bagi mereka yang bekerja secara langsung dengan bahan tersebut atau dikelilingi oleh bahan yang diperbuat daripadanya, risiko mereka untuk mendapat masalah kesihatan adalah tinggi.  

    Terdapat beberapa faktor yang perlu dikenal pasti untuk menganggar risiko individu terhadap penyakit berkaitan asbestos:

  • Dos pendedahan
  • Durasi pendedahan
  • Saiz, bentuk dan komponen kimia serat bahan tersebut
  • Sumber pendedahan
  • Faktor risiko individu seperti merokok dan penyakit paru-paru sedia ada
  • Faktor genetik
  • Walaupun semua bentuk asbestos adalah berbahaya untuk kesihatan individu, jenisnya boleh mempengaruhi kecenderungan untuk mendapat penyakit. Sebagai contoh, asbestos jenis amphibole adalah lebih bahaya berbanding dengan jenis chrysotile memandangkan ia menetap lama di dalam paru-paru. Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengiktiraf bahawa tiada tahap kepekatan yang selamat dalam konteks pendedahan terhadap bahan tersebut. Sebahagian individu mungkin tidak mendapat kanser jika terdedah kepadanya, namun sebahagian lagi mungkin boleh mendapat kanser sekiranya terdedah kepada asbestos berkuantiti kecil.

    Konklusi

    Risiko individu untuk mendapat komplikasi kesan daripada pendedahan terhadap asbestos mempunyai variasi berdasarkan faktor risiko individu tersebut. Pihak berkuasa perlu bekerjasama dengan organisasi dan syarikat yang terlibat bagi memastikan produk penjualan bebas daripada bahan tersebut dalam menjamin tahap kesihatan yang lebih baik dalam kalangan populasi umum.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 05/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan