Semasa berpuasa di bulan Ramadan, tubuh anda menyesuaikan diri dengan pola makan yang baru. Keadaan ini mungkin akan menyebabkan datangnya beberapa gangguan. Antara gangguan yang sering muncul ketika puasa adalah sakit kepala dan mual. Jangan sampai sakit kepala ini menghalang aktiviti harian anda. Sebelum perkara ini terjadi, lihat tip di bawah.
Penyebab sakit kepala semasa berpuasa
Sakit kepala semasa berpuasa pada umumnya disebabkan oleh beberapa faktor. Stres dan tertekan ketika menjalankan puasa, kurang waktu tidur dan rehat atau perubahan pada pola tidur merupakan beberapa punca yang menyebabkan anda sakit kepala. Sakit kepala biasanya datang pada waktu siang, lebih-lebih lagi jika cuaca ketika itu sangat terik.
Jika anda mengalami pening kepala atau mual ketika berpuasa, ia bukanlah bererti anda harus batalkan puasa. Ada beberapa tip yang boleh anda lakukan agar anda tidak mengalami sakit kepala semasa berpuasa.
Mencegah sakit kepala semasa berpuasa
Berikut adalah tip agar anda tidak sakit kepala saat berpuasa.
1. Hentikan tabiat minum kafein di bulan Ramadan
Bagi anda yang terbiasa minum minuman berkafein mungkin, anda akan merasa pening ketika menjalankan puasa. Hal ini biasanya kerana pengambilan kafein dihentikan. Untuk mengatasinya, lebih baik jika anda mengelakkan atau berhenti minum minuman berkafein. Hal ini juga bagus untuk kesihatan anda.
Namun, jika anda sudah ketagih, maka anda boleh mengatasinya dengan minum air putih. Minumlah air putih yang cukup, kerana selain mencegah sakit kepala, minum air putih yang mencukupi akan membuat tubuh tetap terhidrasi saat berpuasa.
Besar kemungkinan, sakit kepala yang anda alami adalah disebabkan kekurangan air. Anda boleh mencukupkan keperluan cecair badan anda ketika berbuka puasa dan sahur. Anda boleh menggunakan pola 2-4-2, dua gelas semasa berbuka puasa, empat gelas di malam hari, dan dua gelas ketika sahur.
2. Jaga gula darah agar tetap stabil
Hipoglisemia atau kadar gula darah rendah merupakan salah satu penyebab pening atau sakit kepala ketika berpuasa. Untuk mencegahnya, anda perlu menjaga kadar gula darah agar tetap stabil.
Untuk menstabilkan kadar gula dalam darah, anda perlu mengurangkan pengambilan makanan manis ketika berbuka berpuasa atau sahur. Selain itu, anda juga harus mengawal diri anda. Hidangan makanan di meja ketika berbuka puasa mungkin agak banyak.
Namun, anda harus dapat mengawal diri untuk tidak makan secara berlebihan. Makanlah dengan hidangan yang wajar dan elakkan pengambilan makanan berlemak serta kurangkan makanan manis.
Intinya, pada masa mejalankan puasa di bulan Ramadan anda harus menerapkan pola makan yang betul dan sihat agar risiko peningkatan kadar gula darah atau penurunan kadar gula darah yang membuat anda sakit kepala ketika berpuasa boleh dicegah.
3. Cukupkan waktu rehat
Kurang tidur atau rehat merupakan salah satu penyebab anda sakit kepala ketika berpuasa. Untuk mengatasinya, anda harus mencukupkan waktu rehat atau tidur anda. Usahakan untuk tidur lebih awal di waktu malam atau anda cari masa untuk tidur di waktu siang selama 20-30 minit. Jangan tidur siang terlalu lama kerana ia akan menyebabkan pusing.
4. Temu janji doktor
Jika anda mempunyai sejarah penyakit atau gangguan kesihatan lain, ada baiknya anda segera berunding dengan doktor. Boleh jadi sakit kepala yang yang anda rasa adalah simptom bagi penyakit yang anda sedang alami.
Untuk anda yang mempunyai sejarah penyakit tertentu, sebelum menjalankan puasa adalah lebih baik jika melakukan pemeriksaan terlebih dahulu dengan doktor.
Itulah tip mencegah sakit kepala semasa berpuasa. Ketika puasa, pola hidup dan pola makan memang cenderung untuk berubah. Oleh itu, tetaplah terapkan pola hidup dan pola makan yang baik agar tubuh tetap sihat walaupun anda sedang berpuasa.
[embed-health-tool-bmi]