backup og meta

Ujian Tekanan Darah di Rumah

Definisi

Apakah itu Ujian Tekanan Darah di Rumah?

Ujian tekanan darah di rumah membolehkan anda memeriksa tekanan darah anda di rumah. Tekanan darah adalah ukuran tekanan darah di dalam arteri.

Kebanyakan orang menggunakan peralatan automatik untuk mengukur tekanan darah di rumah. Alat ini berfungsi dengan mengembungkan kaf di sekitar lengan atas untuk menghentikan aliran darah dalam arteri sementara. Apabila udara secara perlahan dilepaskan dari kaf, alat ini akan merekodkan tekanan apabila darah mula mengalir semula.

Tekanan darah direkodkan dalam dua jenis ukuran.

  • Nombor yang pertama adalah tekanan sistolik. Tekanan sistolik mewakili tekanan darah puncak yang berlaku apabila jantung mengecut.
  • Nombor yang kedua ialah tekanan diastolik. Tekanan diastolik merupakan tekanan darah terendah yang berlaku apabila jantung mengendur di antara denyutan.

Kedua-dua tekanan ini dinyatakan dalam milimeter merkuri (mm Hg) kerana alat asal yang mengukur tekanan darah menggunakan turus raksa (merkuri). Pengukuran tekanan darah direkodkan sebagai sistolik / diastolik (disebut dengan “sistolik per diastolik’). Sebagai contoh, jika tekanan sistolik anda adalah 120 mm Hg dan tekanan diastolik anda ialah 80 mm Hg, tekanan darah anda direkodkan sebagai 120/80 (disebut dengan “120 per 80′).

Pemantau tekanan darah automatik

Pemantau automatik, juga dipanggil pemantau elektronik atau digital, adalah pemantau kendalian bateri yang menggunakan mikrofon untuk mengesan kadar nadi dalam arteri. Kaf, yang dibalut di lengan atas anda, akan secara automatik mengembung dan mengempis apabila anda menekan butang mula.

Pemantau tekanan darah yang biasa didapati di pasar raya, farmasi, dan pusat membeli-belah adalah pemantau jenis automatik.

Pemantau tekanan darah yang mengukur tekanan darah anda di jari atau pergelangan tangan anda tidak selalunya tepat dan tidak digalakkan.

Pemantau tekanan darah manual

Pemantau tekanan manual adalah serupa dengan yang mungkin digunakan oleh doktor untuk mengambil tekanan darah anda. Dipanggil sphygmomanometer, alat pemantau ini biasanya terdiri daripada kaf lengan, bebuli himpitan untuk mengembungkan kaf, stetoskop atau mikrofon, dan tolok ukur untuk mengukur tekanan darah.

Pengukuran tekanan darah diambil dengan menghentikan aliran darah dalam arteri buat sementara waktu (biasanya dengan mengembungkan kaf di sekitar lengan atas) dan meletakkan stetoskop pada kulit di atas arteri. Anda akan mendengar bunyi darah yang mula mengalir melalui arteri semula apabila udara dibebaskan dari kaf.

Tekanan darah dipaparkan pada dail (permukaan) membulat yang mempunyai jarum. Apabila tekanan dalam kaf meningkat, jarum bergerak mengikut arah jam pada dail. Apabila tekanan menurun, jarum tersebut akan bergerak pada lawan arah jam. Apabila tekanan kaf jatuh, bacaan pada tolok ketika aliran darah didengar buat pertama kali adalah tekanan sistolik. Bacaan pada tolok ketika aliran darah tidak dapat didengar lagi adalah tekanan diastolik.

Pemantauan tekanan darah ambulatori

Pemantau tekanan darah ambulatori adalah alat kecil yang dipakai sepanjang hari, biasanya selama 24 atau 48 jam. Alat ini akan mengambil tekanan darah anda secara automatik.

Doktor anda mungkin mengesyorkan pemantau ini jika doktor berpandangan bahawa anda mempunyai hipertensi kot-putih (atau pejabat) atau jika kaedah lain tidak memberikan keputusan yang konsisten.

Mengapakah Ujian Tekanan Darah di Rumah dilakukan?

Doktor anda mungkin mengesyorkan supaya anda memantau tekanan darah anda di rumah jika:

  • Anda telah didiagnosis dengan pra-hipertensi (sistolik – nombor atas antara 120 dan 139 mm Hg atau diastolik – nombor bawah antara 80 dan 89 mm Hg).
  • Anda telah didiagnosis dengan hipertensi (sistolik 140 mm Hg atau di atas atau diastolik 90 mm Hg atau lebih tinggi).
  • Anda mempunyai faktor-faktor risiko tekanan darah tinggi.

Perkara yang perlu diketahui

Apakah yang perlu saya ketahui sebelum menjalani Ujian Tekanan Darah di Rumah?

Jangan laraskan ubat tekanan darah anda berdasarkan bacaan tekanan darah di rumah kecuali jika doktor mengarahkan anda berbuat demikian.

Tekanan darah biasanya naik dan turun dari hari ke hari dan juga dari semasa ke semasa. Tekanan darah cenderung lebih tinggi pada waktu pagi dan lebih rendah pada waktu malam. Tekanan, merokok, makan, senaman, sejuk, sakit, bunyi bising, ubat-ubatan, dan bercakap juga boleh menjejaskannya. Satu bacaan yang tinggi tidak bermakna anda mempunyai tekanan darah tinggi, dan satu bacaan biasa tidak semestinya bermakna anda tidak mempunyai tekanan darah tinggi. Purata bacaan dari pengukuran berulang sepanjang hari adalah lebih tepat daripada bacaan tunggal.

Tekanan darah anda hanya tinggi jika anda pergi ke bilik rawatan  doktor anda. Ini dipanggil hipertensi kot-putih (atau pejabat) dan mungkin disebabkan oleh tekanan kerana berjumpa doktor anda. Apabila anda memeriksa tekanan darah anda di rumah dengan kerap, anda mungkin mendapati tekanan darah anda lebih rendah apabila anda tidak berada di bilik rawatan  doktor.

Proses

Apa yang berlaku semasa Ujian Tekanan Darah di Rumah?

Tekanan darah anda di lengan kanan anda mungkin lebih tinggi atau lebih rendah daripada tekanan darah di lengan kiri anda. Atas sebab ini, cuba gunakan lengan yang sama untuk setiap bacaan.

Pada mulanya, cara yang baik adalah untuk mengambil tekanan darah anda 3 kali berturut-turut, setiap 5 atau 10 minit. Apabila anda merasa lebih selesa mengambil tekanan darah anda sendiri, anda hanya perlu mengukur sekali atau dua kali setiap kali.

Arahan untuk menggunakan pemantau tekanan darah berbeza bergantung kepada jenis pemantau tekanan darah yang anda pilih. Berikut adalah beberapa garis panduan umum:

  • Ambil tekanan darah semasa anda berasa selesa dan santai. Duduk dengan tenang selama sekurang-kurangnya 5 minit dengan meletakkan kedua kaki di atas lantai. Cuba jangan bergerak atau bercakap semasa anda mengukur tekanan darah anda.
  • Duduk dengan lengan anda dibengkokkan sedikit dan letakkan dengan selesa di atas meja supaya lengan atas anda berada pada aras yang sama dengan jantung anda.
  • Pasangkan kaf tekanan darah pada kulit lengan atas anda. Anda mungkin perlu menaikkan lengan baju anda, keluarkan lengan anda dari lengan baju, atau membuka baju anda.
  • Balut kaf tekanan darah dengan rapat (lekap) di sekitar lengan atas anda supaya sisi bawah kaf berada sekitar 1 inci (2.5 cm) di atas bengkok siku anda.

Apa yang berlaku selepas Ujian Tekanan Darah di Rumah?

Rekodkan bacaan tekanan darah anda berserta tarikh dan masa. Anda boleh menggunakan buku log atau lembaran hamparan di komputer anda. Pemantau anda mungkin mempunyai ciri yang akan merakam bacaan untuk anda. Sesetengah pemantau boleh memindahkan maklumat ini ke komputer anda.

Juga rekodkan aktiviti harian anda, seperti masa anda mengambil ubat atau jika anda merasa terganggu atau merasa tertekan. Rekod anda boleh membantu menjelaskan perubahan bacaan tekanan darah anda dan membantu doktor menyesuaikan ubat anda.

Penjelasan Keputusan

Apakah makna keputusan saya?

Tekanan darah untuk orang dewasa berumur 18 tahun ke atas (mm Hg)

Ideal Sistolik 119 atau lebih rendah

Diastolik 79 atau lebih rendah

Prahipertensi Sistolik 120 hingga 139

Diastolik 80 hingga 89

Hipertensi Sistolik 140 atau lebih tinggi

Diastolik 90 atau lebih tinggi

Secara umum, lebih rendah tekanan darah anda, lebih baik. Sebagai contoh, bacaan tekanan darah kurang daripada 90/60 adalah sihat selagi anda berasa baik-baik saja. Tetapi jika anda mempunyai tekanan darah rendah dan merasa pening-pening lalat, rasa ingin pengsan, atau seperti anda mungkin muntah, rujuk doktor anda.

Bergantung kepada makmal dan hospital, julat normal untuk Ujian Tekanan Darah di Rumah mungkin berbeza-beza. Sila berbincang dengan doktor anda jika anda mempunyai sebarang persoalan mengenai keputusan ujian anda.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan mengenai Ujian Tekanan Darah di rumah, sila berunding dengan doktor untuk memahami arahan anda dengan lebih baik.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Ferri, Fred. Ferri’s Netter Patient Advisor. Philadelphia, PA: Saunders / Elsevier, 2012. Print edition. Page 535.

Versi Terbaru

27/11/2019

Ditulis oleh Farizah Mohd Ikbal

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Diperbaharui oleh: Mohammad Nazri Zulkafli


Artikel Berkaitan

9 Kriteria Yang Dilihat Dalam Ujian Air Mani, Apa Persediaan Yang Perlu Saya Buat?

Minyak Ikan, Jangan Sekadar Ambil Suplemen. Kena Tahu Dari Mana Ia Dihasilkan!


Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Farizah Mohd Ikbal · Disemak pada 27/11/2019

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan