
5 Punca Anda Kerap Selesema & Susah Hilang, Adakah Sebab Salah Makan Ubat?
Pernahkah anda mengalami kondisi selsema berpanjangan dan berlanjutan tetapi tidak tahu apa puncanya? Ia sudah tentu amat menjengkelkan sekali gus menjejaskan kualiti kehidupan individu.

Pun begitu, apa punca selesema yang tidak lagi sembuh meski sudah berhari, berminggu atau berbulan ini ya?
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan, anda juga boleh klik di sini.
Kebiasaannya, selesema itu tahan berapa hari?
Setiap orang pasti pernah menghidapi masalah ini beberapa kali sepanjang hidup mereka. Bahkan, ada juga yang akan mempunyai risiko untuk terkena lebih kerap berbanding individu lain.
Lebih-lebih lagi pada masa kini dengan kewujudan virus-virus seperti korona, influenza dan lain-lain itu yang semakin kuat menyerang akibat tiada langkah pencegahan penularan diamalkan.
Bagi selesema biasa yang didalangi oleh rhinovirus, kebiasaannya ia akan bertahan selama beberapa hari – 7 ke 10 hari dan tidak akan berubah menjadi sesuatu masalah yang jauh lebih serius.
Namun, adalah tidak mustahil untuk ia terjadi buat kali kedua, ketiga dan seterusnya dalam jarak waktu dekat!

Dalam erti kata lebih mudah, selsema adalah antara kondisi lazim yang biasa terjadi kepada kita semua. Persoalannya, bagaimana pula jika ia berlaku selsema berpanjangan dan berlanjutan lama?
Apa punca selsema berpanjangan dan berlanjutan?
Katanya 7 ke 10 hari maksimum, tetapi selesema anda sudah lebih dari itu? Berikut adalah antara faktor risiko utama:
#1. Anda kurang rehat dan tidur
Seperti mana ramai sedia maklum, waktu rehat dan tidur yang cukup amat diperlukan agar sistem imun tubuh badan dapat berfungsi serta bertindak balas dengan prestasi paling maksimum.
Kekurangan rehat dan tidur boleh menyebabkan anda keletihan. Kesan daripada keletihan itu, sistem imun anda akan kurang aktif bekerja sekali gus meningkatkan risiko mengalami jangkitan.
Maka, sila cuba untuk tidur sekurang-kurangnya 8 jam dalam sehari supaya diri anda tidak mudah jatuh sakit lagi!
#2. Anda kurang minum air masak
Pakar menyarankan kita semua agar minum air masak sekurang-kurangnya 8 gelas dalam sehari. Jika gagal, individu berisiko tinggi untuk mengalami dehidrasi – kekurangan air dalam badan.
Apabila keberadaan cecair kurang di dalam tubuh badan, tekak anda sudah tentu akan mula mengering. Bukan hanya itu, ia juga akan menyebabkan mukus di dalam rongga nasal itu mengeras.
Akibatnya, jangkitan virus lebih mudah menyerang ruang pernafasan yang terjejas lantas memicu kondisi selsema!
Punca selsema berlanjutan #3. Resdung
Untuk pengetahuan anda semua, selesema itu boleh berlaku bukan sahaja disebabkan oleh jangkitan malah alahan.
Perbezaannya, selsema akibat jangkitan virus akan mengambil masa beberapa hari untuk berlaku sedangkan selsema angkara alahan alergen pula boleh terjadi dengan amat pantas tanpa tanda amaran.
Disebabkan itu, penderita resdung biasa mengalami selesema pada tempoh waktu yang lama. Ini kerana simptom itu tidak akan pulih selagi punca alergi seperti habuk masih berada dekat dengan anda.
Punca selsema berpanjangan #4. Stres
Stres atau tekanan itu tentu sahaja tidak bagus untuk tubuh badan. Ia juga mungkin antara faktor risiko selesema.
Serupa jika anda tidak dapat waktu rehat atau tidur yang cukup, tekanan sama ada di rumah atau tempat kerja boleh melemahkan sistem imun. Kesannya, kemampuan melawan jangkitan turut terjejas.
Untuk lebih terperinci, stres berterusan akan menyebabkan tubuh badan kurang responsif terhadap hormon kortisol yang penting untuk mengalahkan jangkitan seperti selesema atau penyakit biasa lain.

#5. Pengambilan ubat yang tidak sesuai
Secara klinikal, ubat selsema berpanjangan itu perlu didapati dan dipreskripsi oleh pakar di klinik atau hospital!
Penggunaan sebarang ubatan atau rawatan tradisional itu mungkin boleh berkesan bergantung individu, tetapi tiada siapa yang tahu sama ada wujud atau tidak kesan sampingan di sebaliknya.
Contohnya, herba echinacea yang sering kali digunakan dan dikatakan mampu membantu merawat selesema namun kajian mengatakan jika tumbuhan tersebut langsung tidak membawa kesan.
Dalam pada itu, pengambilan antibiotik yang disangkakan mampu menyembuhkan selsema juga tidak tepat kerana ia hanya boleh menghapuskan bakteria dan bukan virus penyebab kondisi ini.
Konklusinya, selsema berpanjangan itu mungkin terjadi gara-gara kegagalan atau kesilapan anda dalam mencari cara untuk merawat yang betul. Jika ada sebarang pertanyaan lain, sila jumpa doktor segera!
