Alamak, kenapa muka saya pucat ni? Tahukah anda, ada banyak punca muka pucat yang mungkin ramai tidak tahu. Jika muka anda pucat lesi, berjumpalah doktor dengan kadar yang segera. Malah, ia boleh menjadi tanda penyakit yang serius jika tidak dirawat serta-merta!
Tetapi, apakah punca muka pucat? Selalunya, ia berlaku disebabkan kurangnya oksigen atau pengaliran darah. Bukan itu sahaja, muka yang pucat juga boleh menjadi tanda ketakutan yang amat sangat atau kepenatan.
Dalam artikel kali ini, kami akan membincangkan tentang 6 punca utama muka menjadi pucat.
Jika wajah anda pucat dalam masa yang lama, jangan tunggu lama-lama, dapatkan rawatan secepat mungkin. Hanya doktor sahaja yang dapat melakukan diagnosis sebenar mengenai kondisi anda.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan, anda boleh klik di sini.
Muka pucat, apa sebenarnya yang berlaku?
1. Anda menghidap anemia
Individu yang menghidap anemia mengalami kekurangan sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen ke tisu badan. Salah satu punca anemia ialah kekurangan zat besi.
Muka yang pucat merupakan tanda awal anemia. Kondisi ini boleh berlaku pada bila-bila masa kepada sesiapa sahaja disebabkan penyakit seperti pendarahan dalam usus atau ulser.
Malah, wanita yang mempunyai masalah haid yang berat juga mungkin akan mengalami anemia kekurangan zat besi.
Tanpa rawatan yang sewajarnya, anemia boleh menimbulkan masalah pada masa akan datang. Malah, ia boleh menyebabkan pelbagai komplikasi seperti penyakit jantung atau masalah semasa mengandung.
Antara simptom anemia ialah:
- Kulit pucat
- Rasa letih dan penat
- Sesak nafas
- Pening kepala
Anda mungkin berminat:
- Darah Keluar Banyak Semasa Datang Bulan? Anda Mungkin Dapat Penyakit Anemia
- Zat Besi Penting Untuk Elak Anemia, Ini Makanan Yang Perlu Anda Ambil
2. Masalah pernafasan
Masalah pernafasan seperti jangkitan juga merupakan antara punca muka pucat. Sebagai contoh, penyakit yang boleh mempengaruhi sistem respiratori kita ialah influenza (COVID-19, flu), jangkitan tekak dan juga demam biasa.
Apabila anda mengalami masalah pernafasan, saluran darah pada kawasan kulit mengecut supaya darah boleh diarahkan kepada kawasan jangkitan. Badan kita akan cuba untuk merawat kawasan yang dijangkiti dengan cara memaksimumkan pengaliran darah ke kawasan yang terlibat.
Oleh sebab itu, ia mungkin membuatkan muka anda menjadi pucat lesi. Antara simptom jangkitan pernafasan ialah:
- Batuk.
- Hidung berair.
- Hidung tersumbat.
- Demam.
- Rasa lemah.
Masalah pernafasan boleh menyebabkan kandungan oksigen dalam darah menurun ke tahap yang abnormal. Selalunya, rehat yang mencukupi dapat membantu anda sembuh seperti sediakala.
Namun, untuk mereka yang mengalami influenza, berjumpalah doktor untuk rawatan lanjut lebih-lebih lagi jika anda mempunyai masalah untuk bernafas.
3. Kekurangan folat boleh membuatkan muka pucat
Satu lagi punca muka yang pucat ialah kekurangan folat. Folat ialah vitamin B9 dan sangat diperlukan badan untuk menghasilkan sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh badan.
Kekurangan folat boleh menyebabkan kurang sel darah sihat dalam badan. Malah, ia boleh menyebabkan anemia.
Antara tanda kekurangan folat dalam badan ialah:
- Muka kepucatan.
- Rasa penat dan letih.
- Sukar bernafas.
- Tidak ada tenaga untuk meneruskan aktiviti harian seperti biasa.
Salah satu punca kekurangan folat ialah kekurangan vitamin yang disebabkan ketagihan alkohol atau pengambilan makanan tertentu. Wanita yang hamil juga berkemungkinan mengalami masalah kekurangan folat.
Oleh sebab itu, wanita yang hamil sangat digalakkan untuk mengambil suplemen harian yang mengandungi asid folik. Asid folik adalah satu bentuk folat yang digunakan di dalam suplemen.
Jika anda mempunyai sebarang persoalan mengenai kehamilan, sertailah Komuniti Kehamilan Hello Doktor sekarang!
4. Hipotiroidisme
Ada banyak punca yang boleh menyebabkan hipotiroidisme. Antaranya ialah penyakit Hashimoto yang berlaku apabila tiroid tidak dapat menghasilkan hormon yang mencukupi. Ini boleh menyebabkan perubahan pada kulit termasuklah menyebabkannya menjadi kering atau pucat.
Jika tidak dirawat, hipotiroidisme boleh menyebabkan komplikasi seperti masalah jantung dan ketidaksuburan.
Wanita hamil yang mempunyai simptom-simptom hipotiroidisme juga perlulah berjumpa doktor secepat mungkin kerana penyakit ini boleh mendatangkan bahaya terhadap fetus.
5. Muka pucat disebabkan vitiligo
Berbeza dengan penghidap anemia, muka pesakit vitiligo bukanlah pucat disebabkan kurang darah atau kepenatan. Vitiligo berlaku apabila tompok-tompok putih mula tumbuh pada kulit disebabkan kehilangan pigmen warna pada kawasan yang terjejas.
Antara simptom vitiligo ialah:
- Tompok hitam atau putih pada kulit.
- Ada bahagian rambut yang berwarna putih atau beruban secara tiba-tiba.
Vitiligo berlaku disebabkan masalah pada sel yang menghasilkan pigmen pada kulit (melanocytes). Penyakit ini merupakan sebuah kondisi autoimun.
Bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga dengan vitiligo, mereka mempunyai risiko sebanyak 20 hingga 30% untuk menghidap penyakit yang sama.
6. Kanser darah
Kanser darah merupakan satu lagi punca muka pucat. Contoh kanser darah ialah leukemia, limfoma dan myeloma berbilang. Individu yang menghidap kanser darah selalunya akan mempunyai masalah penghasilan sel darah merah.
Akibatnya, individu yang menghidap kanser darah mungkin akan mengalami anemia yang boleh menyebabkan muka mereka menjadi pucat.
[embed-health-tool-bmi]