backup og meta

Simptom Kencing Manis, Bagaimana untuk Mengenalinya?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 11/12/2020

    Simptom Kencing Manis, Bagaimana untuk Mengenalinya?

    Penyakit diabetes atau lebih mudah dikenali sebagai kencing manis ini bukan sahaja dihidapi oleh golongan yang berusia, malah saban tahun ia semakin menular tanpa mengira usia dan jantina termasuk kanak-kanak dan remaja. Malangnya, masih ramai yang mungkin tidak menyedari simptom penyakit kencing manis yang berlaku terhadap dirinya atau keluarga sehingga mengabaikannya. Ikuti artikel ini untuk lebih penjelasan lanjut.

    Apa itu kencing manis?

    Kencing manis secara ringkasnya merupakan satu masalah kesihatan yang berkaitan dengan kadar gula dalam darah yang tinggi. Ia adalah satu keadaan yang mengganggu dan merosakkan keupayaan badan untuk memproses glukosa darah atau dikenali sebagai gula dalam darah. 

    Di Amerika Syarikat, anggaran individu yang berusia lebih 18 tahun dengan penyakit kencing manis yang didiagnosis dan tidak didiagnosis adalah 30.2 juta individu. Jumlah ini banyak, bukan? Malah, di Malaysia juga, kencing manis adalah penyakit yang sangat popular di negara ini.

    Jika ia dibiarkan secara berterusan, tanpa sebarang kawalan dan penjagaan yang lebih baik, kencing manis berisiko untuk menyebabkan pembentukan gula dalam darah, yang cenderung untuk meningkatkan risiko komplikasi penyakit kronik dan berbahaya seperti strok (angin ahmar) dan penyakit jantung. 

    Risiko penyakit jantung

    Dalam jangka masa panjang, gula yang tinggi di dalam darah akan merosakkan salur darah serta urat saraf yang mengawal jantung dan salur darah. Semakin lama tempoh diabetes, semakin tinggi risiko mendapat sakit jantung.

    Pesakit diabetes juga cenderung mengalami diabetes pada usia lebih muda. Malah, pesakit diabetes adalah dua kali ganda lebih berisiko untuk mati disebabkan penyakit jantung atau strok.

    Kencing manis dan penyakit jantung tidak akan dapat dipisahkan. Kedua-duanya adalah penyakit yang sangat popular di Malaysia. Dua penyakit ini adalah termasuk dalam kalangan penyakit non-communicable disease (NCD). Ia adalah kumpulan penyakit tidak berjangkit.

    Jenis kencing manis

    Secara umumnya, seperti apa yang sering menjadi kepercayaan umum, penyakit kencing manis sering dianggap penyakit yang akan menyerang individu dewasa yang lebih berusia. Tapi hakikatnya, penyakit kencing manis ini juga boleh berlaku dan bermula dari zaman kanak-kanak. 

    Simptom Kencing Manis, Bagaimana untuk Mengenalinya - jenis

    Penyakit berkaitan gula dalam darah ini boleh dibahagikan kepada dua subkategori utama; Diabetes Jenis 1 dan Diabetes Jenis 2.

    #Diabetes Jenis 1

    • Biasanya didiagnosis dalam zaman kanak-kanak
    • Tidak semestinya dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan
    • Biasanya dikaitkan dengan kadar keton yang tinggi
    • Dirawat dengan suntikan atau pam insulin
    • Tidak dapat dikawal tanpa pengambilan insulin

    Diabetes jenis 1 merupakan sesuatu penyakit autoimun, yang mana sistem imun merosakkan sel-sel yang sihat dalam badan. Dalam kes ini, sistem imun merosakkan sel beta dalam pankreas sehingga pankreas tidak dapat menghasilkan insulin sendiri. 

    Walau bagaimanapun, tiada bukti saintifik yang menjelaskan kenyataan tersebut. Diabetes jenis 1 memerlukan suntikan insulin secara kerap untuk mengimbangi kematian sel beta, jadi semua pesakit diabetes jenis 1 adalah bergantung pada insulin.

    #Diabetes Jenis 2

    • Biasanya didiagnosis pada umur 30 tahun ke atas
    • Biasanya dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan
    • Biasanya dikaitkan dengan tekanan darah dan/ atau tahap kolesterol yang tinggi
    • Rawatan awal adalah tanpa perubatan atau pil sebagai ubat kencing manis
    • Berkemungkinan dirawat tanpa perubatan diabetes

    Dalam kes diabetes jenis 2, sistem imun tidak merosakkan sel beta. Sebaliknya, diabetes jenis 2 dikategorikan sebagai ketidakupayaan badan untuk bertindak kepada insulin, yang juga dikenali kerintangan insulin dan insulin malsecretion.

    Berbeza dengan diabetes jenis 1, diabetes kategori ini berlaku disebabkan oleh kerintangan insulin dan boleh juga ada kekurangan penghasilan insulin. Kerintangan insulin ini menyebabkan penghasilan glukosa daripada hati meningkat, pengurangan penggunaan glukosa oleh pelbagai organ-organ penting, peningkatan penyerapan semula glukosa oleh buah pinggang dan juga pengurangan penghasilan hormon incretin.

    Jadi, diharapkan anda mungkin sudah memahami mengenai perbezaan antara kedua-dua jenis penyakit kencing manis ini. 

    Simptom penyakit kencing manis

    Berikut adalah beberapa simptom penyakit kencing manis umum yang boleh berlaku, antaranya seperti:

    1. Paras gula dalam darah tinggi

    Ini merupakan antara simptom penyakit kencing manis yang paling mudah untuk dikenal pasti. Cara terbaik untuk mengetahui tahap gula dalam darah adalah dengan menjalani pemeriksaan. Paras gula dalam darah yang meningkat selepas makan adalah sesuatu yang normal. Tetapi sekiranya tahap gula dalam darah yang tinggi ini tidak menurun dan berterusan sepanjangan hari, ia adalah sesuatu yang tidak normal.

    Simptom Kencing Manis, Bagaimana untuk Mengenalinya - simptom

    1. Kehilangan berat badan

    Antara simptom kencing manis yang mungkin berlaku adalah berat badan yang semakin berkurangan. Tahap gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan kehilangan berat badan dalam jangka masa yang singkat, antara 2 hingga 3 kilogram dalam masa 2 atau 3 bulan. Jika anda sememangnya sedang dalam usaha untuk menurunkan berat badan, mungkin anda akan berasa gembira. Tetapi hakikatnya kehilangan berat badan ini bukanlah sesuatu yang menyihatkan. 

    Keadaan ini boleh berlaku apabila hormon insulin tidak berfungsi untuk membekalkan glukosa ke dalam sel-sel di mana ia boleh digunakan sebagai tenaga, badan akan menganggap ia sebagai satu signal kelaparan dan mengurai lemak pada otot sebagai sumber tenaga alternatif.

    1. Sentiasa lapar

    Seorang individu yang menghidapi penyakit kencing manis tidak mempunyai insulin atau tidak bertindak balas terhadap insulin seperti kebiasaan, glukosa tidak dapat diproses oleh badan seperti biasa, lalu ia boleh menyebabkan tahap gula dalam darah merosot. 

    Apabila keadaan ini berlaku, di mana tahap gula dalam darah menurun secara tiba-tiba, badan akan menganggap bahawa anda kelaparan dan memerlukan lebih glukosa untuk berfungsi. Isyarat ini akan diterjemahkan sebagai satu tanda lapar oleh badan. Rasa lapar yang berterusan adalah antara simptom kencing manis yang boleh diperhatikan. 

    1. Kerap dahaga dan kencing

    Antara simptom kencing manis yang boleh berlaku adalah anda akan kerap berasa dahaga walaupun setelah mengambil minuman yang mencukupi. Anda juga akan kerap untuk ke bilik air pada waktu malam. 

    Keadaan ini berlaku apabila terdapat terlalu banyak glukosa dalam darah, sekaligus memaksa buah pinggang anda bekerja dengan lebih keras untuk menyingkirkan kandungan gula tambahan tersebut. Ini akan membuatkan anda menjadi kerap membuang air kecil, adakalanya ia akan berlaku beberapa kali pada waktu malam. Kekerapan untuk kencing ini akan mengakibatkan anda untuk menjadi lebih dahaga. 

    1. Keletihan, gangguan emosi

    Ketika badan anda sedang mencuba untuk mengimbangi kekurangan glukosa, ia akan memberikan impak kepada anda, di mana keadaan ini akan menjadikan anda keletihan. Anda perlu bangun untuk membuang air kecil beberapa kali pada waktu malam, secara tidak langsung akan menyebabkan gangguan pada tidur anda dan keletihan pastinya akan mendatangkan gangguan kepada emosi, boleh menjadikan anda lebih cepat marah. 

    1. Luka lambat sembuh

    Ini adalah simptom kencing manis yang paling sering berlaku. Keadaan ini boleh terjadi disebabkan saluran darah yang rosak kerana glukosa yang berlebihan bergerak di dalam urat dan arteri. Ia mendatangkan kesukaran kepada darah yang diperlukan untuk membantu proses penyembuhan sampai kepada anggota-anggota badan yang diperlukan. 

    1. Penglihatan kabur

    Apabila tahap glukosa dalam darah adalah tinggi, ia mengubah bentuk kanta dan mata. Keadaan ini akan menyebabkan penglihatan anda menjadi kabur. Walau bagaimanapun keadaan ini boleh menjadi normal atau hampir normal apabila tahap gula dalam darah kepada kepada asal. Tahap gula darah yang tinggi, jika dibiarkan untuk tempoh yang panjang, cenderung untuk menyebabkan kerosakan kekal dan berisiko untuk menyebabkan buta. 

    1. Jangkitan

    Simptom kencing manis ini lebih berlaku kepada individu wanita. Anda perlu lebih berhati-hati kepada risiko jangkitan yis pada faraj. Diabetes secara umumnya akan melemahkan imunisasi badan, ini bermakna anda akan mudah untuk mendapat pelbagai jangkitan lain. 

    Pentingnya pemakanan seimbang

    Jika anda sudah mula mengalami gejala atau simptom kencing manis, adalah amat penting untuk anda menjaga aspek pemakanan anda. Berikut adalah perkara yang boleh anda lakukan untuk menghindari diri anda daripada untuk berdepan dengan lebih banyak simptom kencing manis. Antaranya seperti:

    1# Perbanyakan serat

    Memperbanyakkan serat dalam hidangan makanan yang anda ambil adalah satu perkara yang amat baik untuk kesihatan anda. Ini kerana serat secara definisinya adalah komponen karbohidrat tumbuh-tumbuhan yang tidak boleh dipecahkan dan diserap oleh badan manusia.

    Pengambilan serat yang lebih adalah aspek yang penting dalam makanan seimbang. Serat berupaya untuk meningkatkan isipadu makanan tanpa penambahan kalori. Ini membolehkan serat untuk menghasilkan rasa kenyang yang sama dengan pengambilan kalori yang lebih banyak, sekali gus mendorong seseorang itu untuk berasa kenyang dengan lebih lama dengan kalori yang lebih rendah. 

    2# Kurangkan karbohidrat

    Di Malaysia, nasi merupakan makanan ruji – ia merupakan sumber karbohidrat yang mudah didapati di Malaysia, ianya diambil dalam hampir setiap hidangan, daripada sarapan sehinggalah ke makan malam. 

    Tidak cukup dengan itu, sajian tinggi dengan karbohidrat ini juga lazimnya dihidangkan dengan minuman yang manis seperti air milo, kopi dan juga air teh. Dalam satu hidangan bersama satu minuman sahaja, sebahagian besar keperluan kalori harian seseorang itu telahpun dipenuhi. 

    Akibat daripada tabiat mengambil makanan yang tinggi dengan kalori daripada karbohidrat, ia menyebabkan badan seseorang itu terus menerus membawa dan mengumpul kalori yang berlebihan dan juga simpanan gula (glukosa) yang tinggi dalam badan, meningkatkan risiko untuk menghidap kencing manis. Justeru, pengambilan karbohidrat perlu dikurangkan bagi menurunkan risiko anda daripada menghidap kencing manis. 

    Mengendalikan tekanan dan kencing manis

    Simptom Kencing Manis, Bagaimana untuk Mengenalinya - tekanan

    Jika anda atau mungkin pasangan mahupun ahli keluarga anda menghidap penyakit kencing manis ini, pastinya anda akan dapat merasai tekanannya. Tanpa disedari jika anda gagal untuk mengawal tekanan itu, ia boleh mendatangkan masalah dan berisiko mendatangkan bahaya kepada diri.

    Tekanan yang berlebihan akan bertindak melawan pengendalian kencing manis, seperti

    • Meningkatkan kadar glukosa dalam darah (cepat dan mendadak)
    • Mewujudkan emosi negatif yang kuat
    • Ketidakseimbangan dalam membuat keputusan dan berfikir
    • Keinginan untuk memakan makanan yang tidak berkhasiat

    Ia akan mengakibatkan banyak masalah kepada badan yang menyebabkan tekanan itu adalah sesuatu yang bahaya, tidak mengira sama ada anda mempunyai masalah diabetes atau tidak.

    Sebagai contoh, jantung akan berfungsi dengan lebih cepat dan kuat untuk mempersiapkan bagi tindakan fizikal. Peningkatan denyutan nadi dan tekanan darah disebabkan ketegangan pada jantung, urat dan arteri.

    Tekanan yang berpanjangan juga memberikan kesan negatif kepada sistem badan yang lain:

    • Imun
    • Pencernaan
    • Buah pinggang (renal)
    • Reproduktif (pembiakan)

    Tambahan lagi, untuk berfikir secara jelas dan memberikan keputusan yang terbaik adalah sukar apabila fikiran sedang dalam kerisauan, kegelisahan atau gementar. Tanda kepada risiko kemurungan akan muncul apabila fikiran berterusan menjadi gementar atau gelisah untuk beberapa hari.

    Cara atasi tekanan disebabkan kencing manis

    Kehidupan sentiasa memberikan cabaran dan kejayaan yang tersendiri, jadi anda boleh memilihnya sendiri. Ikuti tip berikut:

    1. Positif – sentiasa bersikap positif, walaupun pada ketika semua perkara seakan-akan satu kesilapan. Fikirkan mengenai individu penting dalam hidup anda. Apabila anda bersikap positif, terdapat kemungkinan anda akan menerima perkara yang bertuah dan baik.
    2. Baik – tidak perlu mengharapkan sesiapa untuk berbuat baik kepada anda. Anda boleh melakukan yang terbaik untuk diri anda sendiri tanpa membebankan diri. Jika anda merasakan anda tidak mahu atau tidak menyukai sesuatu perkara, katakan ‘Tidak’.
    3. Terima seadanya – perubahan mungkin sukar untuk dilakukan. Tanya kepada diri anda 3 perkara berikut:
    • “Adakah ini yang akan terjadi 2 tahun dari sekarang?”
    • “Adakah saya mempunyai kawalan terhadap keadaan ini?”
    • “Bolehkah saya mengubah masalah saya?”

    Seandainya anda boleh membuatkan perkara menjadi lebih baik, lakukannya. Jika tidak, adakah terdapat cara lain untuk mengatasinya dan membuatkannya lebih baik untuk anda?

    • Berbual dengan seseorang. Anda boleh bertanya kepada doktor untuk mendapatkan cadangan atau berkongsi dengan keluarga atau rakan. Terdapat juga individu profesional yang boleh mendengar dan menyokong untuk mendapatkan penyelesaian.
    • Lakukan senaman. Jika anda boleh berjalan kaki, atau melakukan sebarang aktiviti yang boleh memberikan ketenangan seperti yoga, mungkin anda boleh berasa lebih baik.
    • Ambil masa untuk berehat. Amalkan untuk merehatkan otot, visualisasi, pernafasan mendalam atau meditasi. Doktor mungkin boleh memberikan kelas atau program yang dapat mengajar sebarang kemahiran. Anda juga boleh mendapatkan sebarang aplikasi yang sesuai.

    Ubah gaya hidup untuk lebih sihat

    Melakukan aktiviti fizikal dan bersenam pastinya antara gaya hidup yang baik untuk diamalkan. 

    Tetapi ia tidak semudah seperti keluar dari rumah dan terus berlari. Anda perlu mengimbangi dos insulin dan makanan yang anda makan bersesuaian dengan aktiviti yang ingin dilakukan, walaupun sekadar tugas mudah di dalam rumah atau sekitar halaman rumah.

    Semak kadar gula dalam darah sebelum, semasa dan selepas menjalankan sebarang aktiviti untuk mengenal pasti bagaimana ia memberi kesan kepada anda.

    Anda juga perlu memahami bagaimana makanan boleh menjejaskan gula dalam darah anda. Apabila anda mengetahui tentang peranan karbohidrat, lemak dan protein, anda pasti dapat membina satu pelan pemakanan sihat yang membantu mengekalkan paras gula anda di tahap yang sepatutnya.

    Paling penting, sekiranya anda mula merasakan sebarang simptom kencing manis, pastikan anda terus berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan ujian awal. Cuba untuk mengubah gaya hidup dan dalam masa yang sama menjaga aspek pemakanan anda. Selamat mencuba!

    Anda mungkin berminat untuk membaca artikel berikut:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 11/12/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan