backup og meta

Karsinoma Sel Basal: Kanser Kulit Paling Ringan

Fakta Disemak oleh Dr. Shelby


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 08/07/2020

    Karsinoma Sel Basal: Kanser Kulit Paling Ringan

    Karsinoma sel basal ialah sejenis kanser kulit. Jika doktor memaklumkan bahawa anda menghidap penyakit ini, tentu anda akan berasa risau dan bimbang. Mana tidaknya, ia ialah kanser. Namun, berita baik bagi penyakit ini ialah kanser sel basal merupakan kanser kulit paling ringan. Dengan rawatan awal dan betul, anda boleh sembuh sepenuhnya.

    Kanser ini dinamakan sedemikian kerana sel kanser tersebut bermula dari kumpulan sel yang disebut sebagai sel basal, iaitu lapisan sel paling bawah pada epidermis (lapisan kulit paling luar).  Sel basal ini mula menjadi kanser apabila terdapat mutasi pada DNA yang berlaku disebabkan terdedah kepada sinaran UV dari cahaya matahari dan lampu serta tilam tanning.

    Terdapat juga faktor lain yang meningkatkan risiko penyakit ini seperti kulit cerah, jantina lelaki, umur 50 tahun ke atas, terapi radiasi, sejarah kanser kulit dalam keluarga, dan pengambilan ubat yang merendahkan sistem imun. Dalam sesetengah kes, punca sebenar tidak dapat dikenal pasti.

    Muka dan leher ialah kawasan paling kerap berlaku kanser sel basal

    Bahagian badan paling kerap terdedah kepada cahaya adalah paling berisiko. Namun, ia boleh berlaku di mana-mana bahagian seperti badan, kaki, dan tangan.

    Kanser ini kelihatan seperti benjolan berbentuk ‘mutiara’ atau tahi lalat berwarna daging yang kekal. Kadangkala, ia boleh menjadi warna hitam atau berwarna merah jambu atau tompokan merah yang sedikit bersisik.

    Ia juga sangat rapuh dan mudah berdarah apabila disentuh.

    Jika anda mengalami perubahan seperti ini pada kulit, segera dapatkan pemeriksaan doktor di pusat kesihatan.

    Diagnosis dan rawatan

    Doktor akan bertanyakan beberapa soalan seperti pendedahan kepada sinaran UV (melalui cahaya matahari atau lampu dan tilam tanning), sejarah kanser kulit dalam keluarga, dan sebarang pendarahan pada kulit.

    Pemeriksaan juga akan dilakukan ke atas benjolan tersebut untuk mengenal pasti rupa dan bentuknya. Jika doktor mengesyaki ia adalah kanser, sebahagian sel pada bejolan tersebut akan diambil (biopsi) untuk pemeriksaan makmal.

    Selepas diagnosis dibuat (jangan bimbang!), beberapa rawatan boleh menjadi pilihan:

    • Pembedahan membuang kanser tersebut serta tisu di sekelilingnya.
    • Membekukan sel kanser (cryosurgery).
    • Radioterapi.
    • Pil dan krim.

    Sel kanser ini tidak merebak ke bahagian lain dan rawatan kebiasaannya memberikan hasil yang baik terutamanya jika dikesan awal.

    Kurangkan risiko

    Terutamanya bagi mereka yang mempunyai sejarah kanser sel basal dan juga bagi mereka yang tidak pernah, beberapa langkah boleh diambil untuk mengurangkan risiko.

  • Selalu memeriksa sebarang perubahan pada kulit.
  • Kurangkan terdedah kepada cahaya matahari (antara 10 pagi hingga 2 petang).
  • Gunakan pelindung matahari.
  • Pilih pakaian yang menutup.
  • Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Dr. Shelby


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 08/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan