backup og meta

COPD: Pilihan Rawatan yang Ada

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 25/09/2023

    COPD: Pilihan Rawatan yang Ada

    COPD menyebabkan seseorang sukar untuk bernafas. Ini adalah kerana saluran pernafasan dan alveoli mengalami kerosakan serta menjadi sempit. Kesannya, pesakit akan batuk serta mengalami nafas berbunyi dan pendek. Aktiviti fizikal juga menjadi terbatas.

    Rawatan COPD bertujuan memudahkan pesakit bernafas agar boleh kembali menjalani kehidupan seperti biasa atau sekurang-kurangnya mengurangkan simptom yang ada.

    Berikut adalah beberapa pilihan rawatan bagi COPD.

    1. Bronkodilator

    Ubat ini berfungsi mengendurkan otot yang mengelilingi saluran pernafasan anda agar saluran tersebut menjadi lebih luas sehingga memudahkan udara lalu masuk ke dalam paru-paru. Batuk dan nafas pendek dapat dikurangkan.

    Ubat ini diambil dalam bentuk wap menggunakan inhaler.

    Terdapat dua jenis bronkodilator – bertindak pendek dan lama.

    Bronkodilator bertindak pendek memberikan kesan yang pantas dan kekal selama 4 hingga 6 jam. Ia hanya digunakan semasa berlaku simptom. Oleh itu, ia hanya sesuai untuk mereka yang mengalami simptom secara jarang-jarang.

    Antara contohnya adalah:

    • Albuterol.
    • Levalbuterol.
    • Ipratropium.

    Bronkodilator bertindak lama pula memberikan kesan sehingga 12 jam. Ia boleh diambil setiap hari tanpa mengira simptom sebagai langkah pencegahan. Contohnya termasuk:

    • Formoterol.
    • Salmeterol.
    • Tiotoprium.

    2. Steroid

    Steroid mengurangkan bengkak pada saluran pernafasan anda. Ia juga kebiasaannya diambil melalui inhaler tetapi mungkin juga diambil dalam bentuk pil dalam kes tertentu apabila simptom menjadi lebih teruk.

    Contoh steroid ialah:

    • Budesonide.
    • Fluticasone.

    Kadangkala, terdapat ubat yang menggabungkan steroid dan bronkodilator dalam satu inhaler.

    Jika digunakan dalam tempoh yang lama, steroid mempunyai kesan sampingan. Ia termasuk:

    • Naik berat badan.
    • Mudah mendapat jangkitan paru-paru.
    • Jangkitan pada mulut.
    • Tulang menjadi lemah.
    • Suara garau.

    Doktor kebiasaannya akan memaklumkan lebih awal berkenaan kesan-kesan sampingan ini sebelum rawatan dimulakan.

    3. Theophylline

    Ubat ini berfungsi sama seperti bronkodilator tetapi harganya lebih murah. Theophylline tidak mengawal semua simptom yang ada tetapi membantu paru-paru bekerja dengan lebih baik.

    4. Antibiotik

    Doktor mungkin mempreskrip antibiotik jika berlaku jangkitan paru-paru memandangkan sebarang jangkitan akan menyebabkan simptom menjadi lebih buruk. Pesakit juga mungkin perlu mengambil vaksin sebagai langkah pencegahan.

    5. Terapi oksigen

    Terapi oksigen membantu meningkatkan kadar oksigen dalam darah agar pesakit mampu hidup dengan lebih sihat dan aktif.

    Terdapat banyak cara pemberian oksigen mengikut tahap oksigen dalam darah pesakit.

    Antaranya, menggunakan kanula, topeng muka, ventilasi tidak invasif atau intubasi jika tahap oksigen atau pernafasan pesakit terlalu teruk.

    6. Rehabilitasi pulmonari

    Ini adalah sejenis program untuk mengawal COPD. Ia membantu memudahkan pernafasan dan melakukan aktiviti fizikal serta meningkatkan kualiti hidup. Sekumpulan ahli profesional dari pelbagai bidang akan bekerjasama dalam menjalankan terapi ini. Ia termasuk pakar diet, ahli terapi fizikal, ahli terapi pernafasan, doktor dan jururawat.

    7. Pembedahan

    Jika pilihan rawatan lain gagal mengawal simptom COPD, pembedahan mungkin diperlukan. Antara pembedahan yang ada ialah:

    • Bullectomy.
    • Pembedahan mengurangkan isi padu paru-paru (LVRS).
    • Pemindahan paru-paru.

    Perubahan gaya hidup

    Satu aspek yang sangat penting dalam menguruskan COPD adalah perubahan pada gaya hidup. Perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah berhenti merokok, pemakanan dan aktiviti fizikal. Sila berbincang dengan doktor untuk mendapatkan nasihat terbaik mengikut keadaan semasa anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 25/09/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan