Ramai yang tahu mengenai penyakit tiroid. Namun, pernahkah anda dengar tentang penyakit Hashimoto atau tiroiditis Hashimoto?
Tiroiditis Hashimoto merupakan satu kondisi yang menyebabkan sistem imun badan bertindak menyerang sel tiroid. Hingga hari ini, punca sebenar penyakit ini masih belum diketahui.
Walau bagaimanapun, ada saintis yang percaya faktor genetik mungkin memainkan peranan yang penting.
Penyakit ini selalunya berlaku kepada wanita pertengahan umur. Malah, kaum Hawa juga mempunyai risiko sebanyak 7 kali ganda berbanding lelaki.
Namun, tidak mustahil untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak daripada setiap lapisan umur untuk mengalami penyakit Hashimoto.
Tiroiditis Hashimoto merupakan salah satu punca utama hipotiroidisme di Amerika Syarikat. Penyakit ini juga berlaku kepada 5 dalam 100 individu di negara tersebut.
Apa itu hipotiroidisme dan bagaimana ia mempengaruhi badan manusia?
Hipotiroidisme yang berlaku disebabkan penyakit Hashimoto terjadi apabila kelenjar tiroid tidak dapat menghasilkan hormon yang mencukupi untuk penggunaan tubuh badan.
Ini kerana hormon tersebut telah dimusnahkan oleh sistem imun badan pesakit.
Hormon tiroid mempunyai fungsi yang amat penting. Ia melakukan regulasi metabolisme badan dan menukar makanan kepada sumber tenaga.
Tanpa tenaga yang mencukupi, badan tidak dapat berfungsi secara normal. Akibatnya, pesakit akan rasa penat dan tidak mempunyai tenaga untuk meneruskan aktiviti seharian.
Hipotiroidisme boleh memberikan kesan yang negatif terhadap emosi dan fizikal pesakit. Sebagai contoh:
- Berat badan pesakit akan meningkat disebabkan hipotiroidisme. Mereka juga akan sering rasa letih.
- Pesakit sukar untuk berfikir dengan jelas dan mempunyai masalah memori. Kadangkala, hipotiroidisme boleh disalah diagnosis sebagai depresi.
- Wanita boleh mengalami masalah kitaran haid dan sukar untuk mengandung.
- Pesakit akan mengalami sembelit yang kerap, selalu pedih ulu hati dan alami masalah pencernaan lain.
- Hipotiroidisme boleh menyebabkan masalah disfungsi seksual dalam kalangan lelaki dan perempuan.
Simptom penyakit Hashimoto
Bukan semua pesakit tiroiditis Hashimoto akan mengalami sebarang simptom pada awalnya.
Namun, apabila penyakit tersebut menjadi semakin teruk, kelenjar tiroid akan membesar. Kondisi ini turut dikenali sebagai goiter.
Goiter merupakan antara tanda awal penyakit tiroiditis Hashimoto. Walaupun leher akan membengkak, goiter tidak akan menyebabkan sebarang kesakitan.
Namun ia akan membuatkan pesakit rasa tidak selesa di kawasan tekak.
Selain itu, simptom lain penyakit Hashimoto termasuklah:
- Rasa letih.
- Peningkatan berat badan.
- Rasa seram sejuk.
- Sakit sendi dan otot.
- Sembelit.
- Depresi.
- Bengkak pada kawasan mata dan muka.
- Kulit kering.
- Rambut gugur.
- Haid yang tidak teratur.
- Sukar untuk mengandung.
- Mengalami masalah memori/sukar untuk fokus atau berfikir.
Tanda tiroiditis Hashimoto kebanyakannya sama dengan simptom kelenjar tiroid tidak aktif (hipotiroidisme).
Jika tidak dirawat, penyakit ini boleh menyebabkan kerosakan tiroid yang kronik.
Faktor risiko tiroiditis Hashimoto
Ada beberapa faktor yang dapat meningkatkan risiko penyakit Hashimoto:
- Jantina. Wanita 7 kali lebih berisiko mengalami penyakit Hashimoto. Ia juga boleh bermula ketika kehamilan.
- Umur. Kebanyakan kes berlaku ketika pesakit berusia 40 hingga 60 tahun. Namun, individu yang lebih muda juga boleh mengalami penyakit ini.
- Keturunan. Penyakit ini selalunya berlaku dalam kalangan keluarga.
- Penyakit autoimun. Penghidap arthritis dan diabetes jenis 1 mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat sakit tiroiditis Hashimoto.
Perlukah tiroiditis Hashimoto dirawat?
Bukan semua pesakit tiroiditis Hashimoto akan mengalami hipotiroidisme. Namun, pesakit akan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami hipotiroidisme.
Selalunya, doktor akan memantau keadaan pesakit terutamanya tahap kesihatan tiroid mereka.
Jika tiroid pesakit berfungsi secara normal, doktor mungkin akan ‘tunggu dan lihat’ jika berlakunya sebarang perubahan pada masa hadapan.
Namun, jika pesakit perlukan rawatan, mereka perlu mengambil ubat-ubatan seumur hidup. Ubat ini boleh menggantikan hormon tiroid yang hilang dan menghentikan simptom yang dialami pesakit.
Malah, rawatan tiroiditis Hashimoto juga boleh mengurangkan bengkak pada kawasan leher pesakit.
Walau bagaimanapun, jika simptom tidak berkurangan, pesakit mungkin perlu melakukan pembedahan untuk membuang goiter tersebut.
Tiroiditis Hashimoto tidak boleh dirawat. Namun, simptomnya boleh dikawal. Pembedahan juga jarang dilakukan kecuali ia memudaratkan pesakit.
Kesimpulan
Tiroiditis Hashimoto merupakan sejenis penyakit yang tidak mempunyai sebarang penawar.
Jika ia tidak dirawat, penyakit ini boleh menyebabkan komplikasi yang serius dan kadangkala, kematian.
Penghidap penyakit Hashimoto mungkin akan mengalami masalah jantung seperti jantung membengkak atau kegagalan jantung. Mereka juga lebih berisiko untuk mendapat sakit mental disebabkan hipotiroidisme.
Tiroiditis Hashimoto juga boleh menyebabkan masalah ketika kehamilan.
Kajian mendapati wanita yang menghidap kondisi ini lebih berisiko untuk melahirkan anak yang mempunyai kecacatan jantung, otak dan buah pinggang.
Jika anda mengalami simptom penyakit Hashimoto, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin. Kondisi ini merupakan sesuatu yang serius dan boleh mempengaruhi kehidupan seharian pesakit.
Namun, jangan bimbang! Penyakit ini boleh dirawat. Walaupun ia tidak mempunyai penawar, pesakit boleh hidup secara normal jika mereka terus mengambil ubat-ubatan sehingga ke akhir hayat mereka.
[embed-health-tool-bmi]