backup og meta

Tip Puasa Ramadan bagi Mualaf

Tip Puasa Ramadan bagi Mualaf

Berpuasa di bulan Ramadan mungkin telah menjadi kebiasaan dalam kalangan orang Islam yang dewasa. Kebanyakannya telah dilatih sejak kecil untuk berpuasa dan telah bertahun-tahun menjalaninya. Bagi golongan mualaf yang baru memeluk Islam, berpuasa merupakan cabaran baru yang perlu mereka tempuhi. Mereka mungkin berdebar-debar dan teruja menantikan kedatangan bulan mulia ini. Ketahui beberapa tip yang boleh diamalkan mereka yang bakal menjalani ibadah puasa buat kali pertama pada usia dewasa.

Mulakan perlahan-lahan

Jika anda belum pernah berpuasa sebelumnya, anda boleh cuba dengan melatih diri sebelum tiba bulan Ramadan. Anda boleh memulakan dengan bersarapan lebih awal daripada biasa dan cuba bertahan sehingga waktu makan tengah hari. Kemudian, cuba pula untuk bersarapan sebelum subuh, iaitu pada waktu sahur dan bertahan sehingga waktu makan tengah hari. Teruskan latihan ini selama beberapa hari sebelum cuba untuk memanjangkan waktu ‘puasa’ anda. Apabila badan anda sudah semakin bersedia, anda boleh mencuba untuk berpuasa penuh. Latihan puasa di luar bulan Ramadan bukan sahaja menyiapkan anda dari segi fizikal, bahkan dari segi mental juga.

Anda berhak untuk berasa sedih

Anda mungkin pergi ke masjid semasa iftar atau terawih, dan berasa terasing. Mungkin anda melihat muka ceria saling mengenali dan bertegur sapa, sedangkan anda masih baru dan kekok. Mungkin rakan Muslim anda yang sudah berkeluarga tidak berkesempatan menemani anda. Bulan Ramadan mungkin terasa sukar bukan sahaja daripada fizikal, bahkan emosi. Anda berhak untuk berasa sedih, tanpa perlu rasa bersalah. Adalah normal untuk teringat dan merindui krismas dan perayaan lain yang ada raikan bersama keluarga. Jangan merasa bersalah dan menghukum diri sebagai Muslim yang tidak baik. Perkembangan ini adalah normal, apatah lagi anda masih dalam proses membina hubungan baru dengan komuniti Muslim setempat.

Jangan terlepas sahur

Pastikan anda bangun untuk sahur setiap hari. Anda boleh memesan rakan anda untuk menelefon anda pada waktu sahur sebagai bantuan untuk bangun. Jika anda kerap terlepas sahur, letakkan makanan sahur anda di meja sebelah katil anda. Sama ada jus buah, air mineral dan sandwich yang membekalkan tenaga mencukupi. Apabila jam loceng berbunyi, bangun, makan dan bersihkan sebarang sisa makanan. Pengambilan sahur amat penting untuk kesihatan anda dan untuk mengelakkan dehidrasi.

Berbuka dan bersahur dengan cara anda

Tidak ada format bersahur atau berbuka yang perlu anda ikuti untuk menjadikan anda Muslim yang lebih baik. Walaupun pengambilan kurma adalah sunnah, jika anda tidak masih tidak dapat membiasakan diri dengan rasa kurma, anda boleh memilih buah lain. Jangan berasa terbeban untuk menyediakan hidangan berbuka seperti hidangan di rumah rakan anda yang Muslim, pilih makanan yang anda sukai, asal sahaja halal dan tidak berlebihan.

Jangan menjauhkan diri daripada keluarga anda

Keluarga anda mungkin berasa terasing daripada anda apabila anda tidak lagi duduk makan semeja pada waktu makan. Lebih-lebih lagi jika waktu makan merupakan waktu mengeratkan hubungan yang bermakna dalam keluarga anda.

Jika waktu makan malam keluarga anda sebelum waktu berbuka, jadikan Ramadan lebih bermakna dengan menjadi masa untuk anda membuat pencuci mulut untuk keluarga anda semasa makan malam. Bersikap ceria dan tersenyum, tanya mereka apa yang mereka suka. Tunjukkan kepada keluarga anda bahwa anda masih menyayangi mereka dan mahu mendampingi mereka dengan menggantikan waktu makan yang telah berlalu. Jadilah proaktif dalam menghabiskan masa yang berkualiti dengan mereka.

Jangan memaksa diri

Jika anda mempunyai daya dan kemampuan untuk menghabiskan bacaan Al-Quran dan berterawih, lakukannya sebaik mungkin. Tetapi jika anda tidak mampu, jangan memaksakan diri dan merasa kecewa apabila gagal mencapai matlamat. Letakkan matlamat yang realistik dan mulakan perlahan-lahan. Jika anda masih belum boleh membaca Al-Quran, cukuplah dengan membaca terjemahannya dan memahaminya.

Jangan berputus asa

Berpuasa memang sukar, apatah lagi jika anda baru mempraktikkannya di usia dewasa. Jika ada waktu yang anda tunduk kepada keinginan anda untuk makan dan minum, jangan merasa putus asa pada diri dan terus meninggalkan puasa sepanjang hari. Motivasikan diri untuk terus berpuasa.

Bina sistem sokongan

Jika anda merasa penat, secara fizikal dan mental dengan berpuasa, anda perlu membina sistem sokongan yang dapat memotivasikan anda. Perasaan kebersamaan dengan orang lain sangat penting kerana anda akan mudah teruji dengan rasa putus asa apabila berseorangan. Cari teman mualaf yang lain atau rakan anda yang berpuasa, dan sentiasa berhubung untuk berkongsi kata-kata semangat dan motivasi sepanjang bulan Ramadan.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

5 mistakes I made in my first Ramadan

http://blog.islamiconlineuniversity.com/six-ramadan-tips-for-new-muslimsreverts/ diakses 23 Mei 2018

8 Ramadan Nibbles for New Muslims

http://www.ibtimes.com/converts-islam-surviving-first-ramadan-difficult-thirsty-challenge-1991102

Versi Terbaru

02/12/2019

Ditulis oleh Helma Hassan

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Diperbaharui oleh: Kate


Artikel Berkaitan

Antibiotik Perlu Makan Habis! Kalau Tidak, Sakit Susah Sembuh Kalau Jadi Lagi?

Banjir Datang Lagi, Ini Apa Yang Mesti & Tak Boleh Dibuat Semasa Musim Banjir!


Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 02/12/2019

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan