Meremang bulu roma biasa berlaku dalam situasi seperti ketika takut semasa menonton filem seram. Mengapa anda boleh rasa meremang semasa tonton filem seram?
Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahuinya.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan, anda boleh klik di sini.
Bukan hanya filem seram
Selain daripada situasi seperti yang terdapat dalam filem seram, terdapat juga beberapa situasi yang agak serupa yang boleh menyebabkan rasa meremang.
Sebagai contoh,jika anda berasa ketakutan ketika berada di tempat yang tinggi, atau ketika anda berasa cemas.
Namun, apakah sebenarnya yang berlaku kepada tubuh sehingga menyebabkan rasa meremang?
Pada waktu bilakah kita akan mengalami reaksi meremang bulu roma?
Setiap individu akan mengalami reaksi fizikal yang berbeza-beza apabila berhadapan dengan sesuatu situasi tertentu.
Biasanya, kita akan mengalami bulu roma yang meremang ketika berasa sejuk, takut, berasa terancam atau mengalami kejadian yang melibatkan sentuhan emosi.
Kita juga akan mengalami meremang bulu roma sewaktu mendengar lagu atau bersentuhan dengan individu lain.
Tahukah anda, keadaan yang anda alami ini adalah satu reaksi tubuh yang bersifat automatik atau refleks.
Ini bermakna, kita tidak mampu untuk menganggarkan pada waktu bilakah kita akan mengalami rasa meremang dan bilakah rasa itu akan hilang.
Anda hanya akan sedar bahawa anda sedang meremang apabila terdapat simptom-simptom pada kulit anda.
Mengapa kulit boleh menjadi meremang apabila kita berasa ketakutan?
Dalam dunia perubatan, situasi meremang ini dikenali sebagai refleks pilomotor.
Reaksi refleks seperti ini berlaku kerana apabila kita berasa takut, maka otak akan terus mengaktifkan mod siap sedianya terhadap sebarang ancaman yang akan muncul.
Tubuh badan pula akan bertindak dengan menghasilkan hormon adrenalin yang dikeluarkan oleh kelenjar yang terletak di atas ginjal.
Kesannya, otot-otot kecil yang bersambungan dengan folikel rerambut pada kulit akan mengalami kontraksi.
Inilah yang kemudiannya menyebabkan fenomena di mana bulu roma pada kulit anda meremang atau berdiri tegak.
Selain daripada bulu roma yang berdiri tegak, kontraksi ini juga menyebabkan kulit kita kelihatan seperti mempunyai bintik-bintik kecil.
Selain itu, refleks pilomotor ini juga menyebabkan pemanasan tubuh.
Tindakan ini dilakukan bertujuan untuk memanaskan otot-otot tubuh untuk terus bergerak atau berfungsi bagi menyelamatkan diri sekiranya terdapat sebarang ancaman.
Pada zaman prasejarah dahulu, refleks pilomotor ini sangat bermanfaat bagi manusia yang berhadapan dengan ancaman seperti serangan binatang buas.
Tetapi, apa pula maksudnya jika meremang bulu roma ini berlaku secara tiba-tiba?
Adakalanya, terdapat juga situasi di mana seseorang itu boleh mengalami rasa meremang secara tiba-tiba tanpa punca yang jelas.
Antara mitos yang sering dipercayai bagi kes-kes seperti ini ialah disebabkan kehadiran makhluk halus di sekitar manusia yang menyebabkan rasa seperti ini.
Namun, hal ini bukanlah penyebab sebenarnya.
Bulu roma anda akan menjadi meremang secara tiba-tiba tanpa sebab jika terdapat sebarang perubahan suhu yang signifikan di persekitaran anda.
Ada kemungkinan udara di sekeliling anda menjadi lebih sejuk daripada sebelumnya.
Boleh jadi juga suhu tubuh badan anda menurun secara signifikan yang menyebabkan rasa meremang.
Selain itu, refleks pilomotor ini juga boleh berlaku secara tiba-tiba sebagai simptom bagi penyakit tertentu.
Sebagai contoh, sekiranya terdapat gangguan pada sistem refleks tubuh badan, anda juga akan boleh meremang secara tiba-tiba selain reaksi fizikal lain yang berlaku tanpa sebab seperti jantung berdebar.
Gangguan ini dikenali sebagai hiperrefleksia autonomi atau disrefleksia autonomi.
Bulu roma yang meremang secara tiba-tiba juga boleh bertindak sebagai simptom penyakit seperti influenza, gastroenteritis dan radang paru-paru.
Anda perlu melihat jika bulu roma yang meremang itu disertai dengan beberapa reaksi lain seperti mengalami perpeluhan yang banyak, jantung berdebar, tekanan darah yang tidak stabil serta rasa sakit pada bahagian tertentu tubuh badan.
Kesimpulan
Kini anda telah mengetahui bahawa punca kepada kejadian meremang bulu roma adalah disebabkan oleh fenomena refleks pilomotor yang berlaku secara automatik.
Selain itu, perasaan meremang ini juga boleh berlaku secara tiba-tiba disebabkan oleh faktor lain seperti perubahan suhu dan juga simptom penyakit-penyakit tertentu.
[embed-health-tool-bmi]