Kesan derma darah kepada kesihatan tubuh badan sebenarnya membawa lebih banyak kebaikan berbanding keburukan. Derma darah bukan sahaja menyelamatkan nyawa, tetapi juga membantu penderma menjaga tahap zat besi dalam darah, merangsang penghasilan darah baru dan memantau tahap kesihatan secara berkala.
Setiap kali menjelang World Blood Donor Day, kita diingatkan bahawa satu beg darah yang disumbangkan boleh menyelamatkan sehingga tiga nyawa.
Namun begitu, ramai yang masih tertanya-tanya tentang kelayakan, risiko dan kekerapan menderma.
Teruskan membaca untuk ketahui segala maklumat penting yang anda perlu tahu.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan, anda boleh klik di sini.
Kesan derma darah: Mengapakah kempen derma darah diadakan?

Mengapakah kempen derma darah diadakan? Jawapannya cukup mudah: untuk memastikan bekalan darah di hospital sentiasa mencukupi.
Darah diperlukan setiap hari oleh pesakit yang menjalani pembedahan, kemalangan, rawatan kanser dan juga ibu bersalin yang mengalami komplikasi.
Antara objektif utama kempen derma darah ini termasuklah:
- Memberi kesedaran tentang pentingnya menderma darah secara berkala
- Meningkatkan bilangan penderma darah aktif
- Menggalakkan masyarakat sihat untuk menjadi penderma tetap
- Mewujudkan komuniti penyayang yang mengambil berat tentang nyawa orang lain
Berapa kali boleh derma darah?
Ramai tertanya-tanya berapa kali boleh derma darah dalam setahun.
Di Malaysia, garis panduan daripada Pusat Darah Negara menetapkan:
- Lelaki boleh menderma setiap 3 bulan sekali, atau maksimum 4 kali setahun
- Wanita boleh menderma setiap 4 bulan sekali, atau maksimum 3 kali setahun
Ini bagi memastikan tubuh mempunyai masa yang cukup untuk menghasilkan semula sel darah merah yang hilang.
Derma darah yang dilakukan mengikut jadual adalah selamat dan tidak memberi kesan negatif kepada kesihatan penderma.
Siapa yang layak derma darah?

Tidak semua orang boleh terus menderma darah.
Terdapat beberapa syarat asas siapa yang layak derma darah, antaranya:
- Berumur antara 17 hingga 60 tahun
- Berat badan 45kg ke atas
- Sihat tubuh badan dan tidak mengalami demam, batuk, atau penyakit berjangkit
- Tidak mengambil ubat tertentu seperti antibiotik dalam tempoh 7 hari sebelum menderma
- Tidak pernah menjalani rawatan tatu atau akupunktur dalam tempoh 12 bulan terakhir
- Tidak menghidap penyakit kronik seperti hepatitis, HIV, atau penyakit jantung yang serius
Pihak berkuasa akan melakukan saringan kesihatan terlebih dahulu untuk memastikan penderma benar-benar layak.
Kesan derma darah: Adakah derma darah menggemukkan?
Ada yang bertanya mengenai kesan derma darah. Adakah derma darah menggemukkan? Jawapannya adalah TIDAK.
Ini merupakan salah satu mitos paling biasa yang sering berlegar dalam masyarakat.
Derma darah langsung tidak mengganggu kadar metabolisme atau hormon yang boleh menyebabkan kenaikan berat badan.
Malah, sesetengah pakar berpendapat bahawa:
- Derma darah boleh membakar kalori ketika badan menghasilkan semula darah yang hilang
- Ia membantu menstabilkan zat besi dalam darah
- Derma darah juga boleh jadi motivasi kepada gaya hidup sihat kerana penderma perlu menjaga kesihatan untuk terus layak menderma
Jadi, usah risau. Derma darah tidak menggemukkan, sebaliknya ia satu amalan kesihatan yang bagus.

Kesimpulan
Kesan derma darah bukan sahaja positif kepada penerima, tetapi juga membawa banyak manfaat kepada penderma sendiri.
Ia membantu menyelamatkan nyawa, meningkatkan kesihatan jantung dan membina semangat komuniti yang lebih prihatin.
[embed-health-tool-bmi]