Apa itu hipoksia otak? Istilah yang agak asing dalam kalangan masyarakat ini membawa maksud, satu bentuk hipoksia atau kurang oksigen dalam badan yang mempengaruhi otak.
Ia berlaku ketika otak tidak menerima oksigen yang mencukupi walaupun darah masih mengalir. Apabila bekalan oksigen terputus, maka ia digelar sebagai hipoksia otak.
Untuk pengetahuan, ia adalah suatu keadaan kecemasan perubatan kerana otak memerlukan bekalan oksigen dan nutrien yang berterusan untuk berfungsi dengan baik.
Terdapat beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada kondisi ini, termasuk lemas, serangan jantung, dan strok.
Antara simpton ringan termasuklah kehilangan ingatan dan masalah dengan fungsi motor, seperti pergerakan.
Manakala, bagi kes yang teruk pula boleh mengakibatkan sawan bahkan kematian otak!
Jika berminat, teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai hipoksia otak, juga dikenali sebagai hipoksia serebrum.
Kenali simptom-simptomnya
Gejala kurang oksigen dalam badan dan di otak ini, boleh menjadi ringan atau parah, dan ia bergantung kepada tahap dan tempoh otak seseorang pesakit kekurangan oksigen.
Antara simptom hipoksia otak yang ringan termasuk:
- Kehilangan ingatan sementara
- Masalah untuk menggerakkan bahagian badan
- Kekurangan perhatian
- Penilaian buruk
Sel otak boleh mula mati dalam masa 5 minit setelah kehilangan oksigen.
Gejala juga bakal menjadi lebih berbahaya apabila aliran oksigen ke otak terputus.
Gejala hipoksia otak yang teruk termasuk:
- Koma
- Sawan
- Kematian otak
Dalam kes kematian otak, ia bererti tidak ada lagi aktiviti di dalam otak.
Selain itu, anak mata tidak lagi bertindak balas terhadap cahaya dan pesakit tidak mampu bernafas tanpa bantuan mesin sokongan hayat.
Pun begitu, jantung masih terus mengepam darah ke seluruh badan.
Kurang oksigen dalam badan membawa hipoksia otak, apa penyebabnya?
Sebenarnya, terdapat banyak sebab mengapa seseorang mungkin mengalami hipoksia otak.
Beberapa situasi dan kondisi perubatan yang berisiko menyebabkan kurang oksigen dalam badan ke otak termasuk:
- Amyotrophic lateral sclerosis (ALS) dan penyakit lain yang melumpuhkan otot pernafasan
- Kecederaan otak
- Keracunan karbon monoksida
- Serangan jantung
- Tercekik
- Komplikasi yang timbul akibat anestesia
- Lemas
- Pengambilan dadah berlebihan
- Altitud tinggi
- Degupan jantung tidak teratur
- Penyakit paru-paru, seperti penyakit paru-paru obstruktif kronik atau COPD
- Jangkitan paru-paru, termasuk pneumonia
- Serangan asma yang teruk
- Penyedutan asap, misalnya, kebakaran rumah
- Strok
- Sesak nafas
- Trauma pada saluran angin atau paru-paru
- Trauma yang menyebabkan kehilangan darah
- Tekanan darah yang sangat rendah, juga disebut hipotensi
Faktor-faktor risiko
Hipoksia otak boleh mempengaruhi sesiapa sahaja yang mengalami masalah kurang oksigen dalam badan ke otak, tetapi beberapa individu ternyata mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding yang lain.
Antara faktor risiko untuk penyakit ini termasuklah:
#1 Bermain sukan tertentu
Pemain sukan menjadi golongan berisiko jika mereka terlibat dengan aktiviti yang mempunyai risiko tinggi yang boleh mengakibatkan kecederaan di kepala atau trauma pada saluran udara.
Selain itu juga, mereka yang harus menahan nafas untuk jangka masa panjang atau travel ke tempat beraltitud tinggi juga berisiko memperoleh penyakit ini.
Contoh-contoh aktiviti berisiko lain termasuk:
- Tinju
- Menyelam
- Bola sepak
- Mendaki gunung
- Berenang
#2 Mempunyai kondisi perubatan tertentu
Banyak kondisi perubatan yang berpotensi mempengaruhi aliran oksigen ke otak, antaranya:
- ALS
- Asma
- Masalah jantung
- Hipotensi
- Penyakit paru-paru
- Penyakit otot
#3 Pekerjaan tertentu
Individu yang mengalami pendedahan kepada asap yang kuat atau karbon monoksida melalui pekerjaan mereka, seperti ahli bomba, mungkin berisiko tinggi mengalami hipoksia otak.
Diagnosis
Seorang doktor biasanya akan mendiagnosis hipoksia otak berdasarkan sejarah perubatan seseorang, pemeriksaan fizikal, dan ujian-ujian lain.
Semasa sejarah perubatan dan pemeriksaan fizikal, doktor akan turut bertanya mengenai simptom dan aktiviti terkini pesakit.
Doktor juga mungkin meminta untuk menjalankan ujian bagi mengesahkan hipoksia dan mengetahui penyebabnya.
Ujian ini merangkumi:
- Angiogram otak
- Ujian darah untuk memeriksa tahap oksigen darah
- Imbasan CT kepala
- X-ray dada untuk melihat paru-paru
- Echocardiogram, untuk melihat jantung
- Elektrokardiogram (ECG) untuk mengukur aktiviti elektrik jantung
- Electroencephalogram (EEG) untuk mengukur aktiviti elektrik otak dan memahami penyebab sawan
- Imbasan MRI kepala
Rawatan kurang oksigen dalam badan, hipoksia
Hipoksia otak sememangnya adalah suatu kecemasan perubatan yang memerlukan rawatan segera.
Justeru, adalah penting agar bekalan oksigen normal ke otak dapat disambung dengan cepat untuk mengelakkan sebarang komplikasi atau kematian otak.
Rawatan akan berbeza-beza, bergantung pada penyebab dan keparahan hipoksia. Sistem sokongan hidup asas juga sering diperlukan.
Bagi mereka yang mengalami hipoksia yang teruk, mesin yang dikenali sebagai ventilator diperlukan untuk bernafas.
Rawatan-rawatan lain termasuk:
- Darah, cecair, dan ubat-ubatan untuk memulihkan tekanan darah dan degup jantung
- Ubat-ubatan untuk mengawal sawan
Langkah-langkah pencegahan kurang oksigen dalam badan hipoksia
Hipoksia otak mungkin sukar untuk dielakkan dalam sesetengah situasi.
Sebagai contoh, adalah sukar untuk mengelakkan kecederaan otak daripada berlaku jika terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Antara cara pencegahan terbaik bagi mencegah hipoksia, setiap orang haruslah memantau kondisi kesihatan mereka dan mengelakkan tempat beraltitud tinggi.
Bagi mereka yang bersukan pula, sentiasa memakai alat pelindung yang betul, seperti topi keledar bagi sukan tertentu untuk mengelak risiko kecederaan kepala.
Sekiranya seseorang menerima cardiopulmonary resuscitation (CPR) selepas kebakaran atau kecederaan di kepala, mereka mungkin kurang cenderung untuk mengalami hipoksia otak.
Sememangnya CPR dapat menyelamatkan nyawa, terutama jika dilakukan dengan segera!
[embed-health-tool-bmi]