
Tahukah anda, masalah obesiti di Malaysia memerlukan pantauan dari kita semua? Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan bahawa lebih separuh daripada dua orang dewasa di Malaysia kini hidup dengan berat badan berlebihan atau obesiti!
Masalah obesiti di Malaysia kian meruncing kerana kini menghuni kedudukan antara negara dengan kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara, yang memberikan kesan terhadap lebih separuh daripada populasi dewasa. Masalah obesiti ini terus meningkat dan memberikan tekanan yang ketara terhadap institusi keluarga, sistem penjagaan kesihatan serta produktiviti jangka panjang negara.
Bersempena dengan Hari Obesiti Sedunia dan Hari Wanita Antarabangsa, Novo Nordisk Pharma (Malaysia) telah menghimpunkan suara warga profesional penjagaan kesihatan, pemimpin korporat serta individu yang hidup dengan obesiti bagi mentakrifkan semula cara negara memahami dan menangani penyakit kronik ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan, klik di sini.
Bersempena tema Wanita dalam Kepimpinan dan Kesihatan, perbincangan tersebut menekankan keperluan untuk memperkukuh kesaksamaan, kepimpinan serta reformasi sistemik untuk wanita, khususnya dalam usaha meningkatkan hasil kesihatan yang lebih baik bagi mereka yang mengharungi cabaran hidup secara tidak seimbang dengan berat badan berlebihan atau obesiti.
Dalam konteks pengurusan berat badan, kajian yang membandingkan intervensi diet dan senaman menunjukkan bahawa lelaki secara umumnya lebih mudah menurunkan berat badan berbanding dengan wanita. Keadaan ini berpunca daripada perbezaan komposisi tubuh serta kadar metabolisme basal (BMR) dan jumlah penggunaan tenaga (energy expenditure).
Punca obesiti di Malaysia
“Di Malaysia, wanita yang hidup dengan berat badan berlebihan atau obesiti sering berdepan dengan beban yang tidak seimbang, bukan sahaja dari segi hasil kesihatan, malah juga terkesan oleh stereotaip sosial yang berterusan, yang mengaitkan berat badan dengan tahap disiplin, penampilan fizikal atau kegagalan peribadi.
Naratif sedemikian boleh melambatkan proses diagnosis, mengehadkan akses kepada rawatan yang bersesuaian, serta menyumbang kepada stigma dalam persekitaran penjagaan kesihatan, baik tempat kerja mahupun dalam kehidupan seharian. Di Novo Nordisk, kami komited untuk menyokong usaha yang mempertingkatkan pemahaman masyarakat, mengurangkan stigma, serta memperkukuh penjagaan obesiti yang bertanggungjawab dan berasaskan bukti di Malaysia.” kata Dr. Praful Chakkarwar, Pengurus Besar Novo Nordisk Malaysia.

Profesor Dr. Rohana binti Abdul Ghani, Presiden Persatuan Obesiti Malaysia (MYOS) dan Pakar Runding Kanan Endokrinologi menambah, “Menurut penyelidikan, sebanyak 45% individu yang hidup dengan berat badan berlebihan atau obesiti terus berdepan dengan cabaran berkaitan dengan berat badan secara berterusan, dengan hampir separuh daripada mereka merasakan diri dikawal oleh keadaan berat badan mereka. Malah, 57% kembali kepada tabiat pemakanan terdahulu walaupun telah berusaha secara konsisten untuk mengekalkan perubahan tersebut.
Dapatan ini menegaskan bahawa obesiti bukanlah kegagalan dari segi keazaman atau disiplin diri, sebaliknya merupakan suatu keadaan kronik yang menuntut pendekatan penjagaan secara kolektif, persekitaran yang menyokong, serta tanggungjawab bersama oleh keluarga, tempat kerja, sistem penjagaan kesihatan dan masyarakat secara keseluruhan.”
Shireen Kandiah, Pengarah Penjenamaan, Pemasaran dan Kemampanan di Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) berkongsi, “Menyokong wanita untuk mencapai dan mengekalkan kesihatan yang lebih baik, termasuk berat badan yang sihat, tidak seharusnya dilihat sebagai isu pinggiran di tempat kerja. Sokongan ini merupakan satu keputusan kepimpinan yang membentuk budaya organisasi, membina keyakinan dan memacu daya tahan organisasi serta pembangunan bakat dalam jangka panjang.
Apabila tempat kerja menerapkan sokongan praktikal seperti fleksibiliti masa bagi menghadiri janji temu kesihatan dan pendidikan kesihatan yang berwibawa, serta melaksanakan dasar yang mengutamakan kesejahteraan tanpa penghakiman, wanita akan lebih berupaya mengekalkan rutin sihat seiring dengan tanggungjawab profesional dan penjagaan keluarga. Keadaan ini seterusnya akan memperkukuh produktiviti serta menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih saksama dan berdaya tahan.”

Cara mengatasi masalah obesiti menurut mereka
Sharon Foo, Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan, IHH Healthcare menekankan bahawa, “Seruan global sempena Hari Obesiti Sedunia mengingatkan kita bahawa terdapat 8 bilion alasan untuk bertindak. Apabila kita melabur dalam infrastruktur yang tepat serta akses kepada sokongan kesihatan wanita, dengan menyediakan sumber, masa dan persekitaran sokongan yang diperlukan olehnya, kita bukan sekadar membantu seorang individu, malah kita sedang mewujudkan kesan berantai. Apabila seorang wanita sihat, keadaan itu akan membawa kepada keluarga yang sihat, seterusnya membentuk tempat kerja yang sihat, dan akhirnya mewujudkan komuniti yang lebih berdaya tahan.”
Ili Sulaiman, Cef Selebriti, Personaliti TV dan Aktivis Kesihatan berkata, “Mengambil langkah pertama untuk menguruskan berat badan bukan sekadar satu keputusan peribadi, bahkan keputusan itu merupakan satu perjalanan emosi. Hakikatnya, dikelilingi oleh sistem sokongan yang tepat, sama ada rakan sekerja, sahabat, keluarga mahupun profesional kesihatan memberikan makna yang amat besar. Apabila sokongan wujud, kemajuan menjadi lebih mampan, kegagalan terasa kurang mematahkan semangat, dan pengurusan berat badan berubah daripada perjuangan bersendirian kepada komitmen bersama ke arah kesihatan yang lebih baik.”
Sempena Hari Wanita Antarabangsa dan Hari Obesiti Sedunia ini, Novo Nordisk menyeru lebih ramai rakyat Malaysia untuk memperkasakan suara wanita, memilih penggunaan bahasa yang tidak mencetuskan stigma serta berteraskan individu, mencabar stereotaip lapuk, dan menggalakkan pendekatan pencegahan sebagai cara mengatasi masalah obesiti.
Rakyat Malaysia gemuk? Ia boleh diubah…
Ketika masalah obesiti di Malaysia terus meningkat, rakyat Malaysia perlulah mengubah corak pemakanan dan amalkan gaya hidup yang sihat. Ia bukan tanggungjawab individu semata-mata, Novo Nordisk kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan strategik merentas pelbagai sektor bagi memajukan kesaksamaan kesihatan, memperkukuh kesedaran komuniti, serta membina masa depan yang membolehkan wanita dan seluruh rakyat Malaysia meraih hasil kesihatan yang lebih baik tanpa sebarang stigma.
[embed-health-tool-bmi]













