backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Kaum Hawa, Perhatikan Warna Darah Period Anda! Ini Lambang Anda Sihat Atau Tidak

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 26/01/2022

Kaum Hawa, Perhatikan Warna Darah Period Anda! Ini Lambang Anda Sihat Atau Tidak

Ramai wanita yang tidak kisah tentang warna darah haid normal mereka. Kebanyakan wanita tidak pernah ambil pusing kerana anggap ia merupakan sesuatu yang normal.

Namun, tahukah anda, warna darah haid normal sebenarnya melambangkan tahap kesihatan anda? Sebagai seorang wanita, anda perlu tahu bila warna darah period dikira ‘tidak normal’.

Jika anda ingin tahu dengan lebih lanjut, jom ikuti artikel kami di bawah! Di sini, kami akan menggariskan maksud berbeza yang berselindung di sebalik warna darah period.

Maksud sebenar di sebalik warna darah haid normal

Sebelum kita bercerita lebih lanjut mengenai perbezaan warna darah haid normal wanita, pertama sekali anda perlu tahu satu fakta yang penting mengenai menstruasi.

Untuk pengetahuan anda, ia adalah normal untuk warna darah haid berubah-ubah. 

Sebagai contoh, warna darah haid normal yang masih baru akan berwarna merah. Namun, selepas terdedah kepada oksigen dalam satu tempoh masa yang panjang, warna darah akan bertukar menjadi coklat atau merah gelap disebabkan oleh proses oksidasi.

Oleh sebab itu, jangan cepat panik jika darah haid anda bertukar warna! Tetapi, warna darah tidak terhad kepada merah, coklat dan merah gelap sahaja.

Ada juga warna-warna lain yang anda perlu tahu seperti:

Warna darah haid normal, merah terang?

Warna ini merupakan warna biasa bagi darah haid. Merah terang atau warna merah cranberry merupakan tanda haid yang sihat lebih-lebih lagi jika kitaran haid anda seragam.

Warna darah haid normal yang masih baru selalunya berwarna merah terang.

Tambah lagi jika anda baru bangun pagi, darah haid selalunya akan berwarna merah terang kerana ia masih belum bertindak balas dengan oksigen.

Namun, anda perlu risau jika nampak tompokan darah yang berwarna merah di antara dua menstruasi kerana ini merupakan tanda jangkitan.

Contohnya, penyakit kelamin (STI) seperti gonorrhea dan chlamydia boleh menyebabkan pendarahan vagina yang berwarna merah terang.

Selain itu, tanda lain yang mungkin menandakan jangkitan kelamin ialah:

  1. Sakit sewaktu melakukan hubungan seks.
  2. Bau yang kurang enak daripada alat sulit.
  3. Perlu ke tandas secara kerap.

Jika anda alami tanda-tanda berikut, berjumpalah dengan doktor dengan kadar segera.

Selain itu, pastikan anda tidak alami pendarahan yang keterlaluan semasa datang haid. Ini juga merupakan petanda ada sesuatu yang tidak kena dengan haid anda!

Merah jambu

warna darah haid normal

Darah haid yang berwarna merah jambu agak merisaukan jika ia tidak berlaku pada awal atau akhir menstruasi.

Selain itu, wanita yang mempunyai darah berwarna ini mungkin mempunyai kadar hormon estrogen yang rendah dalam badan. Antara tanda-tandanya ialah:

  1. Haid yang tidak teratur.
  2. Haid tidak datang pada masa yang sepatutnya.
  3. Sakit ketika melakukan hubungan seks.
  4. Rasa panas pada bahagian muka dan leher secara tiba-tiba (hot flashes).
  5. Emosi tidak stabil.

Jika haid berwarna merah jambu dan bertompok-tompok, ini mungkin tanda darah haid telah bercampur dengan cecair daripada serviks.

Wanita yang lanjut usia mungkin akan alami haid yang berwarna merah jambu sebagai tanda pramenopaus. Untuk pengetahuan anda, pramenopaus merupakan tanda wanita sedang menghampiri fasa menopaus.

Dalam sesetengah kes, wanita yang kurang nutrisi atau mempunyai penyakit PCOS (polycystic ovarian syndrome) juga boleh mengalami pendarahan yang berwarna merah jambu. 

Ia mungkin berlaku disebabkan oleh anemia ataupun lapisan endometrium yang kian menipis.

PCOS merupakan gangguan hormon yang amat lazim dalam kalangan wanita yang sedang berada dalam umur reproduktif.

Wanita PCOS mungkin akan alami haid yang tidak teratur atau haid yang panjang dan mempunyai hormon androgen yang berlebihan.

Coklat

Jika anda mempunyai darah haid yang berwarna coklat, anda tidak perlu panik kerana coklat merupakan warna yang normal untuk darah, lebih-lebih lagi jika anda berada pada hari-hari terakhir period.

Darah berwarna coklat selalunya akan terjadi jika anda alami pengaliran darah yang lebih perlahan. 

Oleh sebab itu, darah tersebut akan mempunyai masa lebih panjang untuk berinteraksi dengan oksigen. Kesannya, darah akan bertukar menjadi warna coklat.

Akan tetapi, penyakit PCOS juga boleh menyebabkan darah menjadi coklat.

Kadangkala, darah haid yang berwarna coklat boleh menjadi tanda kehamilan.

Apabila ovum yang telah melalui proses persenyawaan mula tertanam di dalam uterus wanita, ia mungkin akan mengakibatkan berlakunya pendarahan yang berwarna coklat. 

Tanda-tanda lain termasuklah:

  1. Rasa kejang pada kawasan perut.
  2. Loya dan muntah-muntah.
  3. Payudara rasa sakit.
  4. Suhu badan meningkat.

Jika anda tidak pasti punca darah anda berwarna coklat, jangan malu untuk berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. 

Warna merah gelap

warna darah haid normal

Jika darah haid anda berwarna merah gelap, anda boleh tarik nafas lega kerana tiada apa yang perlu dirisaukan.

Darah yang berwarna merah gelap menandakan darah tersebut telah bertindak balas dengan oksigen, namun tidak sebanyak darah yang berwarna coklat.

Sama seperti darah coklat, darah berwarna merah gelap juga selalunya akan muncul pada akhir menstruasi iaitu ketika darah mengalir dengan lebih perlahan pada penghujung haid.

Oren

Darah berwarna oren merupakan tanda amaran yang amat jelas. Ia merupakan sesuatu yang pelik dan jarang berlaku.

Namun, jangan terus panik! Sama seperti darah yang berwarna merah jambu, darah haid berwarna oren mungkin tanda darah yang telah bercampur dengan cecair daripada serviks.

Tetapi, besar kemungkinan anda sebenarnya telah alami jangkitan. Pastikan anda berhubung dengan doktor secepat mungkin untuk menentukan puncanya.

Warna hitam

Bagaimana pula dengan darah haid yang berwarna hitam? Darah yang bertukar warna menjadi kehitam-hitaman mungkin bermaksud darah tersebut telah lama dibiarkan terdedah kepada oksigen.

Sama seperti darah berwarna merah gelap dan coklat, secara semula jadi darah akan bertukar kepada warna yang lebih gelap hasil proses oksidasi.

Tetapi, darah berwarna hitam juga berkemungkinan terjadi akibat keguguran. Selalunya, ia berlaku disebabkan oleh keguguran senyap (silent miscarriage).

Wanita yang mengalami kehamilan tidak bernyawa (non-viable pregnancy) selalunya tidak akan alami tanda keguguran normal seperti sakit perut, kejang dan pendarahan.

Disebabkan tiada simptom yang jelas menandakan keguguran, ramai ibu yang akan rasa terkejut setelah disahkan gugur.

Imbasan ultrasound juga akan menunjukkan embrio tidak mempunyai degupan jantung atau mempunyai saiz yang terlalu kecil jika dibandingkan dengan tahap yang sepatutnya.

Kelabu

warna darah haid normal

Darah haid yang berwarna kelabu sudah pastilah menandakan sesuatu yang tidak normal. Tidak kiralah apa pun, darah haid tidak sepatutnya berwarna kelabu!

Sama jugalah jika anda alami keputihan yang berwarna kelabu. Pastikan anda berjumpa dengan doktor dalam kadar segera untuk tentukan penyebabnya.

Ia mungkin tanda jangkitan seperti bacterial vaginosis. Selain itu, jika anda mengandung, darah berwarna kelabu mungkin tanda keguguran.

Bila anda perlu berjumpa dengan doktor?

Darah haid yang berwarna luar daripada kebiasaan mungkin tanda masalah kesihatan. Oleh sebab itu, pastikan anda berjumpa doktor jika:

  1. Anda tidak datang haid 3 kali berturut-turut.
  2. Mempunyai haid yang seragam, namun tiba-tiba menjadi tidak teratur.
  3. Pendarahan berlaku lebih daripada 7 hari.
  4. Telah alami menopaus, namun alami pendarahan selepas 12 bulan.
  5. Pendarahan di antara dua kitaran haid.
  6. Sakit yang amat sangat ketika haid.
  7. Pendarahan yang melampau hingga perlu tukar tuala wanita sekali setiap jam.
  8. Mempunyai kitaran haid kurang 21 hari, atau lebih 35 hari.

Kini, dengan pengetahuan yang lebih mendalam mengenai darah haid dan warna-warnanya, anda pasti akan jadi lebih arif dan peka tentang period anda.

Jika sebelum ini anda tidak ambil berat mengenai warna haid anda, inilah masa yang paling sesuai untuk berubah.

Periksa darah haid anda dan pastikan anda kekal sihat serta tidak mempunyai sebarang penyakit atau jangkitan!

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 26/01/2022

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan