backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Petua Tradisional, Gunakan Daun Sirih Untuk Ketatkan Faraj- Berkesan Ke?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 13/01/2022

    Petua Tradisional, Gunakan Daun Sirih Untuk Ketatkan Faraj- Berkesan Ke?

    Ramai percaya, seks boleh dinikmati secara maksimum apabila si isteri memiliki faraj yang ketat. Idea ini tidak semestinya benar, namun Miss V longgar boleh memberi kesan kepada kehidupan seksual. Ada yang mengatakan, cara mengetatkan faraj secara tradisional adalah dengan menggunakan daun sirih. Benarkah?

    Penggunaan daun sirih untuk faraj sebenarnya cukup sinonim dalam kalangan masyarakat dan menjadi amalan tradisi nenek moyang!

    Selain itu, antara produk pengetat faraj di pasaran, anda akan menemui banyak pilihan semula jadi berasaskan daun sirih.

    Tetapi persoalannya di sini, berkesankah daun ini sebagai cara mengetatkan faraj secara tradisional? Terbuktikah secara saintifik? Selamatkah?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

    Faraj wanita berubah dari masa ke masa

    Sebelum kita kupas kaitan antara daun sirih dan pengetat faraj dengan lebih lanjut, adalah wajar untuk kita kenali proses biologi Miss V terlebih dahulu.

    Untuk makluman, hanya 2 perkara yang boleh mempengaruhi keanjalan faraj anda; usia dan kelahiran anak.

    Melakukan hubungan seks sama ada secara kerap atau sebaliknya, tidak akan menyebabkan faraj anda longgar ya!

    Oleh itu, sila abaikan sebarang ura-ura mengatakan kekerapan hubungan seks kononnya ‘melonggarkan’ faraj anda. Itu semua auta!

    Seiring waktu, kelahiran dan faktor usia berpotensi menyebabkan faraj wanita melonggar secara semula jadi (akibat otot faraj melemah).

    Wanita yang pernah bersalin melebihi sekali juga lebih cenderung mempunyai otot faraj yang lebih lemah.

    Namun, selain beranak, penuaan turut mengakibatkan regangan Miss V, tidak kira sama ada kalian mempunyai anak atau tidak.

    Bersalin

    cara mengetatkan faraj secara tradisional

    Perubahan faraj pasca bersalin adalah sangat normal!

    Lagipun, otot vagina meregang bagi memberi laluan kepada bayi untuk melalui saluran kelahiran dan keluar dari ‘pintu’ faraj.

    Biasanya selepas bayi dilahirkan, anda mungkin akan menyedari perubahan pada Miss V yang sedikit terasa longgar daripada sebelumnya. Sekali lagi, ini adalah cukup normal!

    Secara semula jadinya, faraj akan mula kembali ke bentuk asal setelah beranak, walaupun ia mungkin tidak sama seperti asal.

    Jika anda sudah banyak kali bersalin, otot faraj juga cenderung untuk kehilangan sedikit keanjalan.

    Umur

    Kalian mungkin akan mula melihat perubahan pada keanjalan faraj apabila menginjak usia 40-an.

    Ini kerana, tahap estrogen wanita akan mulai menurun saat memasuki fasa perimenopaus (sebelum menopaus).

    Kehilangan estrogen bermaksud tisu faraj anda akan menjadi:

    • Lebih nipis
    • Lebih kering
    • Kurang berasid
    • Kurang tegang atau lentur

    Perubahan ini mungkin bakal menjadi lebih ketara setelah kalian putus haid sepenuhnya.

    Cara mengetatkan faraj secara tradisional, menggunakan daun sirih?

    Daun sirih mengandungi tannin, chavicol, phenyl, propane, sesquiterpene, cyneole, alkaloid, gula dan beberapa minyak pati yang memberikannya khasiat berikut:

    • Penyembuhan luka
    • Aromatik
    • Pelega kesakitan
    • Antibakteria
    • Antiseptik
    • Antikulat
    • Analgesik
    • Penyejukan
    • Perangsang ringan
    • Euphoria-inducing
    • Antikarsinogenik
    • Antimutagenik
    • Antioksidan
    • Diuretik

    Berbalik kepada persoalan utama kupasan ini, benarkah daun sirih menjadi antara cara mengetatkan faraj secara tradisional?

    cara mengetatkan faraj secara tradisional

    Daun sirih, sumber kekuatan beberapa bahan kimia yang mempunyai nilai farmasi penting yang akan bantu membersihkan faraj tetapi, ia tidak memberikan kesan pengetat faraj!

    Dalam farmakologi Cina, ia digunakan untuk mengurangkan masalah keradangan dan melegakan kegatalan.

    Daun ini juga dikatakan tidak mempunyai sifat astringen yang memungkinkan kesan pengetat dinding faraj.

    Perlu para wanita fahami, penggunaan daun sirih semata-mata tidak berkesan untuk mengetatkan Miss V!

    Walaupun ramai juga wanita menggunakan daun ini sebagai pencuci faraj, ia sebenarnya tidak disyorkan.

    Selain itu, anda tidak boleh menghasilkan pembersih faraj berasaskan daun sirih dengan sendiri!

    Vagina mempunyai tahap pH tersendiri yang memainkan peranan utama dalam kesihatan faraj secara menyeluruh. Wanita yang sihat mempunyai tahap pH sekitar 3.5 hingga 4.5.

    Menjaga keseimbangan pH vagina adalah mustahak, untuk elakkan risiko jangkitan kulat dan bakteria!

    Kuatkan otot faraj dengan senaman Kegel!

    Senaman pelvik menjadi kaedah terbaik untuk menguatkan otot-otot lantai pelvis anda!

    Otot-otot ini adalah sebahagian daripada teras badan dan membantu menyokong:

    • Pundi kencing
    • Rektum
    • Usus kecil
    • Rahim

    Apabila otot-otot lantai pelvis melemah akibat faktor usia atau bersalin, anda mungkin bakal alami:

  • Kebocoran air kencing
  • Asyik mahu terkencing
  • Kesakitan di kawasan pelvis
  • Kesakitan ketika ‘bersama’
  • Walaupun senaman lantai pelvis dapat bantu mengatasi inkontinen urin yang ringan, ia tidak begitu berkesan bagi wanita yang mengalami masalah kebocoran kencing yang parah.

    Senaman Kegel

    Pertama sekali, kalian perlu mengenal pasti lokasi otot lantai pelvis!

    Untuk melakukannya, cuba hentikan aliran kencing semasa sedang membuang air. Jika berjaya, anda akan dapat kenal pasti otot yang betul.

    Setelah itu, ikuti langkah-langkah seperti berikut:

    1. Pilih 1 posisi untuk senaman ini. Kebanyakan orang lebih suka berbaring untuk melakukan Kegel.
    2. Kemut otot-otot lantai pelvis anda. Tahan kontraksi ini selama 5 saat, kemudian berehat selama 5 saat.
    3. Ulangi langkah ini sekurang-kurangnya 5 kali, secara berturut-turut.

    Apabila anda semakin selesa dan mahir dengan Kegel, tingkatkan tempoh masa kepada 10 saat.

    Peringatan! Jangan kemut otot paha, perut, atau punggung. Pastikan untuk fokus hanya pada otot lantai pelvis okey!

    Untuk dapatkan hasil terbaik, amalkan 3 set Kegel sebanyak 5 hingga 10 kali sehari. Hasilnya akan dapat dilihat dalam masa beberapa minggu. Selamat mencuba!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 13/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan