backup og meta

Apa yang Anda Perlu Tahu Mengenai Kanser Tiub Falopion

Apa yang Anda Perlu Tahu Mengenai Kanser Tiub Falopion

Apa itu kanser tiub fallopion?

Tiub fallopion menghubungkan ovari dan uterus. Kanser tiub fallopion berlaku apabila terdapat pertumbuhan sel tidak normal pada salah satu antara dua tiub fallopion. Kanser ini sebenarnya jarang berlaku. Sel kanser boleh merebak daripada satu bahagian ke tiub fallopion tetapi ia jarang sekali bermula daripada tiub ini sendiri. Walaupun kanser tiub fallopion boleh terjadi kepada wanita daripada pelbagai peringkat umur, ia sering dijumpai pada wanita yang berumur 50 hingga 60 tahun.

Apakah punca-punca kanser tiub fallopion?

Oleh sebab keadaan ini sangat jarang berlaku, hanya sedikit sahaja bukti yang ada bagi mengenal pasti punca-punca kanser ini. Para saintis percaya bahawa genetik mungkin boleh memainkan peranan. Wanita yang mempunyai mutasi pada gen BRCA1 atau gen BRCA2 berisiko tinggi untuk mendapat kanser tiub fallopion. Sesiapa yang menghidapi kanser tiub fallopion harus menjalani ujian saringan bagi kanser payudara dan ovari.

Bagaimanakah untuk tahu jika saya menghidap kanser tiub fallopion?

Simptom-simptom utama bagi kanser tiub fallopion termasuk:

  • Pendarahan faraj yang tidak normal, terutamanya jika anda sudah menopaus.
  • Sakit pada abdomen tanpa sebab yang diketahui.
  • Rasa seperti tekanan pada kawasan abdomen.
  • Rembesan faraj yang abnormal.
  • Benjolan pada pelvik atau abdomen.

Sentiasa ingat bahawa mengalami simptom-simptom ini tidak bermakna anda menghidapi kanser tiub fallopion kerana ia mungkin disebabkan oleh pelbagai masalah ginekologi yang lain. Walau bagaimanapun, simptom-simptom ini lebih baik diperiksa terlebih dahulu.

Bagaimanakah kanser tiub fallopion didiagnosis?

Diagnosis kanser tiub fallopion terbukti sangat mencabar. Doktor anda perlu mengkaji rekod perubatan, simptom-simptom anda, dan kemudian melakukan pemeriksaan fizikal. Pemeriksaan pelvik biasanya perlu bagi memeriksa masalah pada farah, uterus, ovari, tiub fallopion, pundi kencing, dan rektum. Doktor anda juga akan melakukan sejenis ujian darah yang dipanggil ujian CA125 bagi memeriksa paras protein CA125 di dalam darah anda. Peningkatan paras CA125 menandakan adanya masalah ginekologikal, salah satunya adalah kanser tiub fallopion. Imbasan CT dan ultrabunyi mungkin diperlukan bagi mendapatkan penilaian kukuh.

Apakah pilihan rawatan bagi kanser tiub fallopion?

Sehingga kini, pilihan rawatan bagi kanser tiub fallopion adalah pembedahan, kimoterapi, dan radiasi. Berapa banyak bahagian yang perlu dibuang ketika pembedahan bergantung kepada keterukan keadaan seseorang itu. Sekiranya sel kanser tidak merebak keluar daripada tiub fallopion, histerektomi (membuang ovari, tiub falopion, dan uterus) dilakukan. Sekiranya sel kanser telah merebak jauh, kelenjar nodus limfa dan tisu-tisu di sekelilingnya akan turut dibuang sekali. Pembedahan sering diikuti dengan terapi radiasi dan/atau kimoterapi bagi membuang sebarang sel abnormal yang tinggal.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Fallopian Tube Cancer. https://www.drugs.com/health-guide/fallopian-tube-cancer.html. Accessed April 19, 2017.

Fallopian Tube Cancer. https://www.ucsfhealth.org/conditions/fallopian_tube_cancer/. Accessed April 19, 2017.

Versi Terbaru

06/12/2019

Ditulis oleh Fariha Zakaria

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Diperbaharui oleh: Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab


Artikel Berkaitan

5 Punca Sakit Pinggang Belakang Pada Wanita, Period Pun Boleh Jadi Sebab!

Selalu Sakit Punggung? Ini 7 Punca Utama Sakit Punggung Dalam Kalangan Wanita!


Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Fariha Zakaria · Disemak pada 06/12/2019

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan