Sebagai wanita, normal untuk kita rasa tidak bernafsu sekali-sekala, lebih-lebih lagi jika usia semakin meningkat. Jika anda dan suami kedua-duanya OK, mungkin tidak akan ada sebarang masalah yang bakal timbul. Tetapi, bagaimana jika suami mula merungut? Perlukah kita ambil ubat perangsang wanita?
Ia bukanlah sesuatu yang asing bagi seorang wanita untuk ‘rasa bosan’ terhadap seks atau mengalami kesukaran untuk mencapai orgasme. Malah, keinginan seorang wanita untuk melakukan seks juga mungkin akan berubah disebabkan pelbagai faktor.
Tidak dinafikan, masalah dengan libido boleh membuatkan hubungan antara suami isteri menjadi retak dan semakin jauh. Manakan tidak, seks merupakan sesuatu yang sangat penting dalam setiap hubungan.
Untuk merancakkan kembali aktiviti di bilik tidur, mungkin ada wanita yang terfikir untuk mengambil ubat perangsang wanita.
Tetapi, adakah pil perangsang ini selamat untuk dimakan? Bagaimana pula dengan kesannya terhadap tubuh badan? Namun, soalan yang paling penting ialah, mampukah pil ini meningkatkan kembali libido yang selama ini sudah ‘padam’?
Jika anda ingin tahu lebih lanjut, mari ikuti penjelasan kami dalam artikel di bawah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Tidak ada nafsu bersama suami? Anda mungkin menghidap HSSD
Apa itu HSSD? HSSD atau hypoactive sexual desire disorder merupakan satu kondisi yang membuatkan anda tidak berminat untuk melakukan seks. Ini merupakan contoh masalah seksual yang dihadapi oleh ramai wanita.
Masalah ini juga boleh menimbulkan kerisauan dan mengganggu mental kaum Hawa. Individu yang menghidap HSSD selalunya kurang berfikir mengenai seks. Mereka juga tidak berfantasi dan jarang melayan keinginan nafsu pasangan masing-masing.
Menurut statistik, 1/3 wanita mempunyai masalah libido rendah. Manakala, 10% lagi disahkan menghidap HSSD.
Tidak kiralah apa jua yang menyebabkan masalah libido rendah, ada pelbagai cara untuk anda mengatasinya. Salah satunya adalah dengan pengambilan pil perangsang.
4 ubat perangsang wanita atau viagra wanita
Selain viagra wanita, ada beberapa rawatan yang boleh dilakukan untuk meningkatkan nafsu wanita. Antara ubat perangsang wanita atau ubat kuat wanita yang mungkin dapat membantu ialah:
1. Flibanserin
Flibanserin merupakan sejenis pil preskripsi yang dapat digunakan untuk merawat HSSD sejak 2015. Ia selalunya diambil pada waktu malam untuk meningkatkan libido wanita. Walau bagaimanapun, ia mungkin boleh menyebabkan kesan sampingan seperti rasa mengantuk.
2. Bremalanotide
Bremalanotide merupakan ubat perangsang wanita atau viagra untuk wanita yang diberikan secara suntikan. Ia telah diluluskan untuk merawat HSDD pada tahun 2019. Setelah menerima suntikan, wanita mungkin dapat merasai kesannya seawal 45 minit.
Walau bagaimanapun, ubat ini boleh menyebabkan rasa loya dan muntah-muntah. Jadi, cara yang terbaik untuk menikmati ubat ini adalah dengan mengambilnya sebelum tidur. Esok pagi, anda boleh bangun dengan semangat baharu!
3. DHEA Vagina
Hormon ini boleh mengurangkan kekeringan dan ketidakselesaan vagina dalam kalangan wanita menopaus. Namun, ada juga beberapa orang wanita yang mendapati bahawa ubat ini dapat meningkatkan sensitiviti di kawasan Miss V!
4. Testosteron
Pengambilan testosteron mungkin boleh meningkatkan masalah libido rendah dalam kalangan wanita.
Walau bagaimanapun, pengambilan testosteron boleh mendatangkan beberapa kesan sampingan – salah satunya membuatkan wanita tumbuh bulu, jerawat dan rambut gugur!
Bahaya pengambilan ubat perangsang wanita
Buat masa ini, pengambilan ubat perangsang seperti viagra wanita adalah selamat asalkan ia dibekalkan oleh doktor atau dibeli di farmasi yang bertauliah.
Elakkan mengambil ubat perangsang jika:
- Anda mengalami simptom menopaus
- Anda menghidap penyakit seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung atau penyakit hati
- Anda mengambil ubat-ubatan lain yang mungkin bakal mendatangkan masalah
- Anda menyusukan anak
- Anda sedang hamil
Jika masalah anda tidak selesai walaupun setelah mengambil ubat perangsang, pastikan anda berjumpa doktor untuk rawatan lanjut. Pakar dapat mengenal pasti rawatan yang terbaik untuk kondisi anda.
Rawatan lain selain pengambilan viagra wanita
- Lakukan senaman kegel – Senaman ini dapat menggalakkan peredaran darah ke kawasan intim.
- Berbincang dengan pasangan – Pastikan si dia tahu apa yang anda suka dan tidak suka. Bawa berbincang dan cuba kenali pasangan dengan lebih mendalam.
- Kurangkan stres – Stres boleh menyebabkan kita tidak ada mood untuk bersenggama bersama suami. Oleh sebab itu, lakukan aktiviti yang dapat menghilangkan stres seperti senaman, meditasi dan sebagainya.
- Bercakap dengan kaunselor – Lebih-lebih lagi kaunselor yang berpengalaman dalam hubungan seksual.
[embed-health-tool-ovulation]