8 Ujian Saringan Kesihatan Yang Penting Untuk Wanita, Kena Buat Setahun Sekali!
Semua wanita perlu menjaga kesihatan diri. Oleh sebab itu, pasti ramai yang cuba untuk bersenam di masa senggang dan mengambil makanan yang sihat. Walau bagaimanapun, berapa ramai yang lakukan ujian saringan kesihatan wanita atau saringan kesihatan?

Mungkin, ramai wanita yang mengendahkan ujian ini kerana menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak serius. Ujian saringan kesihatan dapat mengesan sebarang penyakit sebelum ia menjadi serius.
Malah, individu yang kerap melakukan pemeriksaan kesihatan wanita juga dapat mengelakkan masalah yang boleh menyebabkan penyakit jika tidak dirawat secepat mungkin.
Tidak pasti ujian saringan apa yang perlu dilakukan?
Di bawah, kami kongsikan 8 ujian saringan kesihatan yang wajib wanita lakukan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
8 ujian saringan kesihatan wanita yang perlu dilakukan

Sebelum melakukan sebarang pemeriksaan, pastikan anda bercakap dengan doktor terlebih dahulu. Doktor akan mencadangkan pemeriksaan yang sesuai mengikut umur, kesihatan am, sejarah keluarga dan masalah kesihatan sedia ada.
Antara ujian saringan yang perlu dilakukan:
1. Ujian tekanan darah
Sejak usia 20 tahun, wanita sepatutnya melakukan ujian tekanan darah sekurang-kurangnya 2 tahun sekali.
Jika nombor sistolik (nombor atas) di antara 120 hingga 139 dan nombor diastolik (nombor bawah) antara 80 hingga 89, anda perlulah melakukan pemeriksaan setiap tahun.
Sama jugalah jika anda menghidap penyakit tertentu seperti diabetes, penyakit buah pinggang atau masalah kesihatan lain, anda perlu melakukan ujian tekanan darah dengan lebih kerap.
2. Pemeriksaan kolesterol
Melalui pemeriksaan kolesterol, anda boleh mengetahui risiko serangan jantung dan strok. Pakar mencadangkan agar wanita yang berusia 20 tahun ke atas perlu melakukan ujian kolesterol sekali setiap 5 tahun.
Tahap kolesterol seharusnya kurang daripada 200 mg/dl. Jika bacaan anda di antara 200 mg/dl dan 239 mg/dl, berbincanglah dengan doktor untuk tindakan lanjut.
3. Ujian pap smear
Apabila wanita mencecah 21 hingga 65 tahun, anda digalakkan untuk melakukan ujian pap smear 3 tahun sekali.
Wanita yang berusia 30 tahun ke atas pula boleh melakukan ujian pap 5 tahun sekali jika ia dijalankan sekali dengan ujian untuk mengesan HPV, sejenis STD yang boleh menyebabkan kanser serviks.
4. Mamogram
Mamogram merupakan pemeriksaan kesihatan wanita yang amat penting untuk mengesan kanser payudara. Walau bagaimanapun, ujian ini tidak digalakkan untuk wanita yang berusia 40 tahun ke bawah.
Mamogram boleh dilakukan di klinik atau hospital berdekatan. Prosedur ini menggunakan dua keping plat khas yang akan meleperkan payudara sambil melakukan imbasan X-ray.
Namun, jika anda mempunyai sejarah kanser payudara, berbincang dengan doktor tentang keperluan anda melakukan mamogram setiap tahun.
Wanita yang berusia 20 hingga 39 tahun boleh melakukan ujian kendiri setiap bulan. Walau bagaimanapun, ujian ini tidak tepat.
Jika anda mengesan sebarang perubahan pada kawasan payudara, jangan berlengah untuk mendapatkan pemeriksaan pakar.
5. Ujian ketumpatan tulang
Wanita perlu melakukan ujian ketumpatan tulang untuk mengesan osteoporosis ketika anda menginjak usia 65 tahun.
Ujian ini dapat mengukur kekuatan tulang serta mencegah dan merawat sebarang masalah yang boleh menyebabkan keretakan atau kerosakan tulang.
Untuk ujian ini, sejenis imbasan yang dikenali sebagai imbasan DEXA akan dijalankan. Wanita diminta berbaring di atas meja dan X-ray akan diambil. Kekerapan ujian ini bergantung pada faktor risiko wanita tersebut serta ketumpatan tulang mereka.
6. Ujian gula dalam darah

Bermula pada usia 45 tahun, wanita perlu lakukan ujian gula dalam darah sekurang-kurangnya 3 tahun sekali untuk mengesan diabetes atau prediabetes.
Tidak dinafikan, ujian gula dalam darah merupakan salah satu pemeriksaan kesihatan wanita yang amat penting.
Jika bacaan tekanan darah anda lebih daripada 130/80 mm Hg, doktor akan melakukan ujian gula dalam darah untuk menentukan sama ada anda menghidap diabetes ataupun tidak.
Wanita yang mempunyai berat badan berlebihan amat berisiko untuk menghidap kencing manis.
Oleh sebab itu, jika BMI anda lebih daripada 25, anda perlu lakukan ujian saringan kesihatan ini sejak berusia 35 tahun. Sama jugalah dengan wanita yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap diabetes.
7. Ujian kulit
Menurut American Cancer Society, wanita perlu melakukan saringan kesihatan atau pemeriksaan kulit kendiri setiap bulan. Pastikan anda periksa setiap penjuru kulit untuk mengesan sebarang perubahan.
Pembentukan tahi lalat baharu atau perubahan pada kulit merupakan tanda awal kanser. Oleh sebab itu, jumpalah pakar secepat mungkin jika anda risau mengenai keadaan kulit anda.
8. Pemeriksaan gigi

Ramai wanita yang tidak menekankan kepentingan pemeriksaan gigi. Eh, jangan begitu! Gigi kita amat penting. Lagipun, kita akan gunakannya sehingga akhir hayat.
Melalui pemeriksaan berkala, doktor boleh mengesan tanda awal pereputan gigi atau masalah lain. Untuk pengetahuan anda, setiap orang perlu berjumpa doktor gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun.
Kepada kaum Hawa di luar sana, di atas merupakan senarai pemeriksaan kesihatan wanita yang perlu anda lakukan. Jika anda ingin lakukan apa-apa ujian saringan kesihatan, berjumpa doktor terlebih dahulu dan dapatkan pendapat mereka.
