Kebelakangan ini, kian ramai wanita mengalami gejala haid yang merangkumi senggugut, kekembungan, rasa lesu dan sakit kepala.
Apabila diselubungi simptom-simptom yang melemahkan ini, anda pasti mahu berbaring dan tidur sahaja sepanjang hari, kan?
Tapi, pernahkah terlintas di fikiran untuk bersenam pada waktu ini? Pasti jawapannya tidak bukan?
Walaupun anda ‘kaki gim’ sekalipun, melakukan senaman apabila terjejas dengan gejala haid mungkin kedengaran agak aneh.
Hakikatnya, kalian tidak perlu berhenti lakukan aktiviti fizikal semasa period!
Ini kerana senaman mempunyai manfaat-manfaat yang tersendiri dalam mengatasi gejala haid!
Masih tidak percaya? Mari ikuti perkongsian ini terlebih dahulu!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkan di sini.
Senaman & gejala haid, apakah manfaatnya?
Berikut adalah beberapa potensi kebaikan bersenam ketika sedang dalam haid:
-
Mengurangkan senggugut!
1 kajian dilakukan oleh Journal of Education and Health Promotion mendapati, wanita yang bersenam 3 hari seminggu, selama sekurang-kurangnya 30 minit dalam jangka masa 8 minggu, memiliki rasa sakit gejala haid yang lebih sedikit berbanding mereka yang tidak bersenam.
Para penyelidik kajian ini menyimpulkan, bersenam semasa dan sebelum kedatangan haid berupaya mengurangkan simptom senggugut!
Pun begitu, kalian tidak digalakkan untuk melakukan aktiviti fizikal berintensiti berat atau yang berjangka masa panjang.
Bahkan, berjalan kaki selama 15 ke 30 minit sehari sudah cukup bagus pada tempoh ini.
Juga, senaman sememangnya pilihan yang sihat secara umum.
Ia membantu anda mengekalkan berat badan normal, di samping menjaga kesihatan jantung dan paru-paru.
-
Membaik pulih mood
Menurut American College of Obstetricians and Gynecologists, selain bermanfaat pada kesihatan secara fizikal, senaman juga dapat membaik pulih emosi dengan mengurangkan tekanan!
Senaman dapat bantu meningkatkan mood ketika anda mengalami perasaan sedih, mudah marah, atau mood swing ketika datang bulan.
-
Mengurangkan rasa letih
Perubahan hormon dalam badan adalah antara gejala haid yang boleh mengakibatkan rasa letih dan lesu.
Jangan takut, senaman tidak akan membuatkan anda berasa lebih penat, bahkan meningkatkan lagi tahap tenaga, menurut Office on Women’s Health (OWH).
Sekarang, penulis bakal kongsikan tip-tip senaman yang boleh wanita yang sedang period lakukan!
Tip-tip bersenam semasa haid
#1 Jangan lupa buat regangan
Melakukan stretching yang lembut, seperti yoga, Tai chi, dan Pilates, dapat bantu meregangkan otot yang mungkin terasa tegang ketika anda sedang period.
Di samping itu, sesetengah wanita mungkin mendapati aktiviti renang bantu mengurangkan gejala haid yang menyakitkan, dengan membuatkan mereka berasa ‘ringan’ di dalam air.
#2 Cuba ubat tahan sakit di kaunter
Sakit belakang dan senggugut boleh menghalang anda daripada bersenam semasa dalam haid.
Jadi, pengambilan ubat tahan sakit di kaunter farmasi, seperti ibuprofen dan acetaminophen dapat bantu mengurangkan kekejangan sebelum memulakan sesi senaman!
Selain itu, menuam dengan ais atau mengalas baju dengan heating pad selepas bersenam juga dapat membantu.
#3 Kekal hidrat
Dehidrasi boleh meningkatkan risiko anda untuk mengalami kesan sampingan yang menjengkelkan, termasuk kembung dan sembelit ketika period.
Dengan kekal terhidrasi, najis akan dapat bergerak dengan lancar melalui usus dan mengurangkan rasa tidak selesa semasa sesi senaman.
Anda juga boleh standby air di tangan dan minum sekurang-kurangnya setiap 15 minit, untuk bantu badan kekal hidrat!
#4 Sediakan tuala wanita atau tampon tambahan
Ini kerana aktiviti fizikal boleh menjadikan aliran darah anda meningkat!
Peningkatan ini berlaku dek kerana aktiviti senaman yang membuatkan darah keluar dari rahim dengan lebih cepat.
Disebabkan itu, anda amat digalakkan untuk membawa bersama tuala wanita, tampon atau apa-apa jenis yang digunakan apabila keluar bersenam, kerana dikhuatiri risiko darah bocor.
Anda juga mungkin boleh memakai seluar berwarna gelap, sekurang-kurangnya rasa malu atau panik dapat dielakkan jikalau bocor.
Sebarang senaman yang perlu dielakkan?
Bagi wanita yang bersenam secara berkala, kalian boleh mengikuti rutin senaman yang selalu dilakukan ketika datang bulan.
Penting untuk memberi tumpuan kepada had tubuh masing-masing, kerana setiap pengalaman dan gejala haid adalah berbeza-beza bagi setiap wanita.
Sekiranya anda berasa sangat lesu atau mengalami senggugut yang agak teruk, jangan paksa diri untuk bersenam dan berehat sahaja jika perlu.
Perbuatan memaksa diri mungkin hanya akan mengundang lebih banyak kemudaratan pada tubuh anda!
Risiko senaman secara berlebihan
Senaman secara berlebihan boleh membuatkan haid anda terhenti selama berbulan-bulan pada 1 masa dan kondisi ini digelar, amenorrhea!
Ia acap kali menimpa golongan atlet profesional dan mereka yang menjalani latihan fizikal berintensiti tinggi.
Penyebab-penyebab lain yang boleh menyumbang kepada amenorrhea merangkumi; tekanan, berat badan rendah, ubat-ubatan tertentu, dan kontraseptif.
Sekiranya haid anda mula terhenti, adalah mustahak untuk melakukan konsultasi bersama doktor atau pakar sakit puan dengan kadar segera!
Kajian menunjukkan, amenorrhea berjangka panjang berupaya memicu masalah kesihatan lain seperti osteoporosis dan kemandulan.
Konklusi
Hakikatnya, tiada sebab saintifik untuk tidak bersenam semasa didatangi haid.
Sebaliknya, penyelidikan juga telahpun menunjukkan manfaat bersenam pada tempoh waktu tersebut.
Oleh itu, sesuaikan rutin senaman anda dengan sewajarnya!
Jika wujud sebarang kebimbangan atau persoalan, dapatkan khidmat nasihat daripada doktor yang bertauliah.
[embed-health-tool-ovulation]