Fibroid, yang turut dikenali sebagai myoma adalah tumor jinak bukan barah yang tumbuh di dalam atau sekitar rahim. Jangan dipandang enteng kerana bahaya fibroid rahim boleh menjejaskan kesihatan!
Tidak semua wanita dengan fibroid mengalami gejala. Namun, mereka yang mempunyai simptom sering bergelut dengan kehidupan dari hari ke hari.
Ada yang mengalami kesakitan bahagian abdomen, ada juga yang terpaksa menghadap pendarahan haid yang berat.
Jika ingin ketahui simptom-simptom fibroid dengan lebih lanjut, ikuti kupasan ini!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Fibroid Rahim, sila dapatkannya di sini.
Kenali fibroid rahim (myoma)
Fibroid rahim adalah sejenis pertumbuhan di dalam atau dinding rahim. Mereka terdiri daripada sel-sel otot licin dan tisu penghubung.
Seseorang wanita berisiko mempunyai 1 atau beberapa ketul fibroid di dalam rahim.
Ukuran ia juga boleh bervariasi daripada sekecil benih hingga sebesar limau gedang (atau kadang-kadang lebih besar daripada itu).
Tambah lagi, fibroid lebih kerap terjadi kepada golongan wanita dalam lingkungan usia 30 tahun hingga menopaus.
Untuk pengetahuan pembaca, ketumbuhan rahim ini biasanya akan mengecut dengan sendiri selepas menopaus.
Sehingga kini, masih tidak jelas mengapa fibroid boleh terbentuk, tetapi kelihatannya ia sering terjadi apabila estrogen berada pada paras lebih tinggi.
Pakar juga mengatakan bahawa fibroid dengan sel kanser (leiomyosarcoma) jarang terjadi, ia mungkin hanya berlaku kurang dari 1 dalam 1,000 kes.
Fibroid rahim, ini gejala-gejalanya
Untuk makluman anda, tanda cyst dan myoma seakan sama dan sebilangan besar pesakit fibroid tidak mengalami sebarang gejala.
Namun, sesetengah individu mungkin mempunyai simptom-simptom berikut:
- Pendarahan haid yang berat: Haid yang berlebihan atau berpanjangan adalah antara gejala fibroid yang kerap berlaku. Akibatnya, beberapa wanita berisiko mengalami anemia, juga dikenali sebagai jumlah darah rendah. Anemia boleh menyebabkan keletihan, sakit kepala dan rasa pening. Sekiranya pendarahan yang berat mengganggu aktiviti harian anda, segera rujuk doktor untuk membincangkan pilihan rawatan fibroid yang sesuai
- Ketidakselesaan pelvis: Wanita dengan saiz fibroid yang besar mungkin dapat rasa beban berat atau tekanan di bahagian bawah perut atau pelvis mereka. Kondisi ini selalunya digambarkan sebagai ketidakselesaan yang ‘kabur’ dan bukannya rasa sakit yang tajam menyucuk. Kadangkala, rahim yang membesar menjadikan pesakit alami kesukaran untuk berbaring, membongkok atau bersenam dengan selesa
- Sakit pelvis: Sama seperti tanda cyst, antara simptom yang jarang terjadi adalah kesakitan bahagian pelvis yang akut dan teruk. Perkara ini berlaku apabila fibroid melalui proses yang disebut degenerasi. Biasanya, rasa sakit tertumpu di suatu tempat tertentu dan akan sembuh secara sendiri dalam masa 2 hingga 4 minggu. Menggunakan ubat tahan sakit seperti ibuprofen, dapat mengurangkan rasa sakit itu
- Masalah pundi kencing (kerap kencing/kesukaran mengosongkan pundi): Gejala pundi kencing yang sering terjadi adalah kerap membuang air kecil. Tidur pesakit boleh terganggu apabila terpaksa bangun beberapa kali pada waktu malam untuk mengosongkan pundi kencingnya. Kadangkala, pesakit tidak dapat membuang air kecil walaupun pundi kencing sudah penuh. Simptom ini disebabkan oleh fibroid yang menekan pundi kencing, mengurangkan keupayaannya untuk menahan atau menyekat aliran keluar air kencing
- Sakit belakang: Walaupun perkara ini jarang berlaku, fibroid berupaya menekan otot dan saraf bahagian bawah belakang dan menyebabkan rasa sakit. Fibroid yang besar di permukaan belakang rahim lebih cenderung menyebabkan sakit belakang berbanding ketumbuhan kecil di dalam dinding rahim
- Ketidakselesaan atau kesakitan saat bersenggama: Fibroid juga boleh menjadikan hubungan seksual menyakitkan atau tidak selesa dan perkara ini turut menjadi tanda cyst. Kesakitan mungkin berlaku hanya pada posisi atau masa-masa tertentu dalam kitaran haid. Ketidakselesaan semasa persetubuhan adalah masalah besar yang mengganggu kualiti kehidupan seks
Selain gejala-gejala di atas, simptom lain yang boleh dialami pesakit fibroid turut merangkumi:
- Keletihan dan berasa lemah
- Tempoh haid berlangsung lebih dari seminggu
- Alami kesakitan, pendarahan atau keputihan tidak normal sekiranya fibroid dijangkiti
- Benjolan di perut, dalam kes yang jarang berlaku
- Sembelit
- Sakit kaki
- Kemandulan
- Komplikasi kehamilan
Demikian adalah antara gejala fibroid rahim yang perlu para wanita cakna dan ambil tahu!
Jika diabaikan, bahaya fibroid rahim berisiko memberi kesan yang teruk kepada kesihatan dan kebolehan pesakit untuk menimang cahaya mata.
[embed-health-tool-ovulation]