Pernah dengar mengenai FOMO? FOMO ada kaitannya dengan ketagihan media sosial. Ia boleh mengganggu kesihatan mental remaja dan perlu dihentikan sebelum membarah.
FOMO atau fear of missing out ialah satu fenomena yang meragut kebahagiaan ramai orang terutamanya generasi muda.
Penggunaan media sosial yang tiada batasnya, ditambah lagi dengan perlawanan ‘menunjuk kebahagiaan’ di akaun Facebook dan Instagram masing-masing kini umpama sesuatu yang biasa pada zaman ini.
Namun, ramai yang tidak tahu bahawa content yang dihidangkan kepada mereka saban hari itu boleh membuatkan mental mereka terganggu.
Tapi, mengapa semua ini terjadi? Untuk pengetahuan anda, akar umbi fenomena FOMO berasal daripada rasa gelisah dan resah tentang pencapaian diri.
Perasaan ini boleh memusnahkan keyakinan diri anda dan akan jadi bertambah teruk jika anda ketagihan media sosial seperti Facebook atau Instagram.
Apa maksud sebenar FOMO?
Pada tahun tahun 2013, perkataan FOMO telah dimasukkan ke dalam Kamus Bahasa Inggeris Oxford. Namun, apakah maksud sebenar yang berselindung di sebalik akronim ini?
Menurut sebuah kajian, definisi sebenar FOMO ialah rasa kurang, tidak cukup atau ketinggalan jika dibandingkan dengan orang lain.
Mereka yang mengalami FOMO juga sering rasa bahawa orang lain sedang mengalami hidup yang lebih bermakna daripada mereka.
Orang sekeliling seperti mempunyai keluarga yang lebih bahagia, kerja yang lebih baik dan duit yang lebih banyak.
Bahaya sebenar yang berselindung di sebalik media sosial
Manusia merupakan makhluk yang gemar bersosial. Kita semua perlukan masa bersama orang lain, sama ada untuk bertukar-tukar cerita ataupun sebagai peneman. Tidak ada manusia yang boleh hidup bersendirian tanpa orang lain di sisi.
Dalam dunia sekarang, semuanya sudah berubah. Ditambah pula dengan pandemik COVID-19, ramai yang terpaksa menghabiskan masa dalam isolasi.
Secara tidak langsung, manusia akan beralih kepada penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram, Snapchat dan lain-lain sebagai salah satu alat untuk bertegur sapa dan bertanya khabar.
Namun, penggunaan aplikasi sebegini ada hadnya. Untuk pengetahuan anda, media sosial tidak patut digunakan sebagai pengganti hubungan manusia dalam dunia sebenar.
Aktiviti bersosial boleh membuatkan seseorang itu rasa lebih gembira, bertenaga dan lebih positif. Namun, semua ini tidak berlaku jika anda bersosial secara maya lebih-lebih lagi dengan menggunakan media sosial.
Malah, ketagihan media sosial sebenarnya boleh buatkan anda jadi semakin sunyi dan tertekan.
Jika anda sedang berseorangan dan melalui isolasi, kesihatan mental akan jadi merosot jika anda benarkan sindrom FOMO menghantui diri!
Apa yang boleh dilakukan untuk elakkan FOMO?
Individu yang menghabiskan masa terlalu lama atas talian akan dibelenggu rasa sedih, tidak puas hati, hampa dan sunyi.
Malah, perasaan ini boleh mengganggu kehidupan seharian jika dibiarkan berlarutan dalam tempoh masa yang panjang.
Ketagihan media sosial merupakan kunci utama FOMO. Jika anda rasa mengalami FOMO, ini 3 perkara yang boleh dilakukan:
1. Kenal pasti perasaan yang anda alami
Jika anda ingin mengelakkan FOMO, pertama sekali anda perlulah kenal pasti apa yang menyebabkan perasaan itu menghantui diri anda.
Tepuk dada dan tanya diri, adakah anda menggunakan aplikasi Facebook dan Instagram secara keterlaluan kebelakangan ini?
Adakah anda kerap berfikir anda seorang yang useless, tidak mampu, atau tidak akan pernah dapat apa yang rakan-rakan anda miliki di media sosial?
Langkah utama untuk menangani FOMO adalah dengan mengenal pasti tanda-tandanya sebelum ia bertindak mengganggu kesihatan mental anda.
Pastikan anda tahu bahawa apa yang anda lihat di media sosial tidak semestinya 100% benar supaya anda boleh elakkan diri daripada membandingkan kehidupan anda dengan sesuatu yang palsu.
2. Pastikan anda lihat dari sudut yang lebih realistik
Menurut Dr. Laurie Santos, sebuah kajian telah dijalankan dalam kalangan atlet yang menyertai sukan Olimpik.
Kajian tersebut menunjukkan, atlet yang memenangi pingat perak selalunya akan rasa kecewa dan kurang gembira berbanding mereka yang memenangi pingat gangsa.
Ini kerana, atlet yang memenangi tempat kedua akan rasa dirinya tidak cukup bagus untuk memenangi pingat emas.
Manakala, yang mendapat pingat gangsa akan rasa gembira kerana mereka tergolong dalam top 3 yang terbaik dalam sukan tersebut.
Nampak kan perbezaannya? Kadangkala, mind-set seseorang serta keadaan mereka turut memainkan peranan yang penting.
Apabila kita sering membandingkan diri kita dengan orang lain, kita tidak akan pernah rasa gembira walaupun apa yang kita punyai pada masa sekarang adalah lebih daripada apa yang orang lain miliki.
3. Elakkan terlalu fokus pada kehidupan orang lain
Daripada anda risau tentang pandangan orang lain terhadap diri anda, ataupun sibuk berfikir mengenai apa yang kurang di dalam hidup anda, cuba alihkan semua tenaga tersebut dan fikir mengenai diri anda pada masa sekarang.
Cuba letakkan telefon bimbit anda buat seketika. Cara terbaik untuk mengurangkan FOMO dalam kehidupan seharian adalah dengan cara mengurangkan penggunaan media sosial.
Followers anda tidak perlu tahu apa yang anda ingin lakukan hari ini. Selain itu, bilangan likes juga tidak menentukan sama ada anda berjaya dalam hidup ataupun tidak.
Instagram dan Facebook bukanlah kehidupan yang sebenar, dan ketahuilah kebanyakannya PALSU. Oleh sebab itu, mengapa anda perlu biarkan diri dibelenggu FOMO?