Mempunyai anak bermakna anda perlu meluangkan masa untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan. Terdapat sesetengah ibu bapa pada masa kini yang sukar untuk meluangkan masa untuk anak-anak akibat kesibukan kerja, manakala terdapat ibu bapa lain yang mendedikasikan masa khas untuk menjaga anak-anak.
Sama ada terlalu sedikit masa yang diluangkan atau terlalu kerap masa yang diluangkan, keduanya boleh mendatangkan kesan tidak sihat kepada diri anda sebagai ibu bapa dan kepada anak-anak anda.
Jadi, berapa banyak masa yang terbaik dan seimbang untuk diluangkan bersama keluarga?
Berapa banyak masa yang perlu diluangkan bergantung pada usia anak
Anda perlu mempertimbangkan berapa banyak masa yang sesuai untuk diluangkan bersama anak anda bergantung kepada usia mereka. Sudah tentu, jika anak anda masih terlalu kecil, mereka pasti akan bergantung kepada anda dari aspek fizikal dan mental.
Untuk anak yang masih bayi, mereka sepatutnya perlu bersama anda sebagai ibu bapa setiap masa. Bagi anak-anak kecil mahupun yang sudah memasuki prasekolah, kebanyakan masa mereka adalah bersama ibu bapa dan penjaga.
Namun, seiring dengan masa, apabila anak anda semakin dewasa, terutama ketika berginjak usia remaja, anda akan merasakan sukar untuk meluangkan masa berbual bersama anak anda. Malahan, terdapat ibu bapa yang perlu membuat temujanji terlebih dahulu untuk hanya untuk makan tengahari bersama keluarga pada hujung minggu.
Jadi perubahan ini yang memerlukan anda untuk membuat perancangan waktu yang sesuai untuk anak anda.
Terlalu kerap akan mendatangkan mudarat
Ramai ibu bapa tidak sedar kesan yang akan berlaku jika terlalu kerap meluangkan masa dengan anak-anak. Ini boleh menyebabkan anak anda tidak dapat belajar untuk membina hubungan komunikasi baru dengan individu lain di sekeliling mereka, terutama jika mereka sedang mencapai usia alam persekolahan.
Oleh kerana anak anda masih muda, mereka perlu membina kepercayaan dan belajar untuk bermain dengan individu lain termasuk individu dewasa dan kanak-kanak lain. Ini merupakan satu langkah penting untuk menyesuaikan diri mereka dengan kehidupan bermasyarakat pada masa akan datang.
Dengan bersama dengan kanak-kanak dan individu dewasa lain dalam pelbagai situasi kehidupan, ia akan mengajar anak anda untuk memahami tentang keseimbangan dalam kehidupan dan dapat belajar untuk menjadi lebih berdikari dan bertanggungjawab ke atas diri sendiri.
Sebaliknya, jika anda sebagai ibu bapa kerap berada di samping mereka, ia akan membuatkan mereka lebih bergantung kepada anda.
Keseimbangan
Dalam memberikan peluang untuk anak anda bersosial dan mengatasi kesedihan untuk melepaskan anak meneroka dunia mereka sendiri, terdapat beberapa cadangan yang boleh diguna pakai.
Sebagai contoh, anda boleh membawa anak anda ke kelas sukan seperti kelas berenang atau bola keranjang. Anda boleh anjurkan sambutan hari jadi untuk anak anda dan menjemput rakan-rakan mereka untuk datang. Anda boleh menghantar anak anda ke rumah datuk dan nenek atau membenarkan mereka untuk bermalam di rumah kawan.
Perjelaskan kepada anak anda kenapa mereka perlu mempunyai masa untuk diri mereka sendiri dan mengapa mereka tidak patut bergantung kepada ibu bapa sepanjang masa.
Kesimpulannya, adalah penting untuk mengimbangi masa anak anda dan masa anda sendiri untuk menjadikan waktu bersama keluarga lebih berharga. Untuk anak yang baru lahir, bayi, kanak-kanak, luangkan masa anda untuk bermain, membaca buku dan menyertai pelbagai aktiviti bersama mereka. Namun, selepas anak anda meningkat remaja, waktu berkualiti bersama keluarga adalah lebih penting dari kuantiti.
[embed-health-tool-ovulation]