Marah adalah satu emosi yang normal. Tetapi jika ia di luar kawalan, ia boleh memberikan kesan serius terhadap hubungan, kesihatan fizikal dan mental anda. Artikel ini akan membantu anda untuk mengawal kemarahan anda.
Kenapa perlu untuk mengawal kemarahan?
Marah bukan sesuatu di antara baik dan buruk. Ia cuma satu emosi, yang menyampaikan mesej, perasaan tentang situasi yang menjengkelkan, mengancam atau tidak adil. Ia adalah sesuatu yang biasa berlaku apabila anda merasa dianiaya, kemarahan menjadi satu masalah utama apabila anda meluahkannya secara berbahaya sama ada kepada diri atau individu lain. Kerana itu pentingnya ada pengurusan kemarahan.
Bagaimana melakukannya?
Tujuan mengawalnya bukan untuk menutup kemarahan tetapi untuk memahami sebab di sebalik emosi ini dan meluahkannya dalam saluran yang lebih sihat tanpa mendatangkan mudarat.
Apabila anda berjaya mengatasi kemarahan anda, ia bukan sahaja membuatkan anda merasa lebih baik, anda juga dapat mengawal konflik dalam hidup anda, sekaligus memperkukuhkan hubungan anda.
Berikut adalah beberapa tip untuk membantu memahami tentang kemarahan anda dan bagaimana mengawalnya:
Berfikir sebelum bercakap. Ambil beberapa saat untuk memikirkan kembali apa yang ingin anda katakan sebelum melafazkannya.
Apabila anda sudah bertenang. Luahkan kemarahan anda. Nyatakan secara jelas, tanpa menyakiti sesiapa atau cuba bertahan.
Bersenam. Berjalan secara perlahan atau berlari, atau luangkan sedikit masa untuk sebarang aktiviti fizikal untuk meredakan kemarahan anda.
Ambil masa. Diamkan diri anda untuk beberapa saat dapat membantu anda bersedia mengawal apa yang akan berlaku tanpa rasa terganggu atau risau.
Mengenal pasti penyelesaian. Sentiasa ingatkan diri anda bahawa kemarahan tidak akan memperbaiki apa-apa, malah ia cuma akan memburukkan lagi situasi. Sebaliknya, dari anda menumpukan kepada perkara yang menaikkan kemarahan anda, lebih baik anda cuba mencari jalan penyelesaian terbaik.
Humor. Bergurau boleh mengurangkan ketegangan. Berada dalam keadaan tenang boleh mengurangkan tekanan. Bagaimanapun, elakkan gurauan berbentuk sindiran, ia boleh menyakiti emosi individu lain dan membuatkan situasi semakin buruk.
Kemahiran bertenang. Latihan pernafasan, meditasi atau yoga boleh membantu dalam mengawal kemarahan. Anda juga boleh mendengar muzik, menulis apa sahaja yang anda rasa atau melakukan apa sahaja yang boleh memberikan anda ketenangan.
Mendapatkan bantuan. Jika kemarahan anda seakan di luar kawalan, ada baiknya anda mempertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada kawan rapat, keluarga, pakar psikologi. Atau anda mungkin akan menyesal di kemudian hari atau mungkin menyakiti individu di sekeliling anda.
Mempelajari seni pengurusan kemarahan adalah satu cabaran untuk setiap individu. Untuk menguasainya, banyak perkara yang perlu dilakukan, namun, jika anda kerap berlatih dan mencuba, ia akan menjadi satu perkara yang mudah untuk dilakukan.
Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.