Ketagihan internet telah menjadi sesuatu yang serius dan membimbangkan pada hari ini. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2017, 2 daripada 7 remaja sekolah menengah di Malaysia mengalami ketagihan internet sementara 6 daripada 7 adalah pengguna aktif internet.
Telefon pintar adalah sumber utama
Menurut laporan yang sama, telefon pintar merupakan sumber utama kepada penggunaan internet diikuti dengan komputer atau laptop dan tablet.
Jika diperhatikan, tidak kurang juga ibu bapa yang telah membiasakan anak-anak mereka dengan alat elektronik seperti telefon pintar dan komputer sejak kecil. Ia adalah cara paling mudah untuk membuatkan mereka duduk diam dan berhenti menangis. Setiap kali menangis, hulurkan sahaja telefon, tentu sahaja mereka akan senyap.
Lama-kelamaan, mereka menjadi terbiasa dan susah untuk berpisah dengan telefon sehingga menjadi ketagih kepada internet.
Mengapa kita perlu risau dengan ketagihan internet?
Internet ibarat sebuah pisau. Jika digunakan pada tempat yang betul, banyak manfaat boleh didapati. Namun, jika salah, mungkin boleh membawa kemudaratan.
Penggunaan internet secara berlebihan berpotensi membawa kepada:
- Bermain permainan video, membeli-belah, berjudi serta bersembang (chat) secara berlebihan. Ia menjadikan seolah-olah dunia maya lebih utama sehingga tiada lagi minat pada dunia realiti. Kesannya, mereka menjadi malas, tidak aktif dan hidup di dalam dunia sendiri.
- Menonton pornografi. Amalan ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan dalam kalangan generasi hari ini. Laman sesawang pornografi yang sangat mudah dicari membuatkan remaja khususnya terdedah kepada gejala seks bebas.
- Buli siber. Remaja yang masih naif mudah dipergunakan serta dibuli. Buli siber termasuk berkongsi gambar memalukan, berita palsu dan memberikan komen-komen dalam bahasa yang menghina.
- Kebocoran maklumat peribadi. Penjual palsu sangat banyak berlegar di dalam internet. Mereka yang tidak berwaspada akan mudah terdedah kepada penipuan dan kebocoran maklumat peribadi.
Bermula daripada rumah
Rumah adalah permulaan kepada pendedahan kepada internet. Maka langkah pencegahan dan rawatan juga paling baik bermula daripada rumah. Seawal umur setahun lagi, ibu bapa harus peka dan bijak dalam menggunakan alat telekomunikasi ini, khususnya telefon pintar. Jangan terlalu membiasakan diri memberikan telefon bimbit setiap kali anak menangis.
Apabila sudah meningkat umur remaja, elakkan daripada memberi mereka telefon pintar peribadi untuk digunakan selama 24 jam. Letakkan had masa sebelum benar-benar memberikan sepenuhnya kepada mereka. Nilai yang baik perlu diterapkan terlebih dahulu sebelum teknologi. Kemajuan teknologi tanpa nilai dan budaya yang luhur adalah sia-sia kerana ia tidak akan melahirkan masyarakat yang maju dan bijak.