backup og meta

Sakit Mata Tengok Telefon Pintar Lama-lama? Pasang Pelindung Skrin Kalau Tak Nak Mata Rosak!

Sakit Mata Tengok Telefon Pintar Lama-lama? Pasang Pelindung Skrin Kalau Tak Nak Mata Rosak!

Siapa yang tak sayang handphone masing-masing kan? Oleh sebab itu, pasti ramai yang menggunakan pelindung skrin pada telefon pintar sebagai salah satu cara untuk melindunginya daripada sebarang kerosakan. Kadangkala, pelindung skrin ini mempunyai ‘filter’ yang dapat menjaga mata. Namun, sejauh manakah kebenarannya?

Telefon pintar telah menjadi alat yang wajib untuk semua orang. Cuba pandang sekeliling, telefon pintar ada di mana-mana.

Malah, kanak-kanak yang masih di sekolah rendah juga mempunyai telefon sendiri untuk memudahkan komunikasi.

Kebanyakan orang dewasa menghabiskan masa berjam-jam di hadapan skrin telefon bimbit. Itu tidak termasuk lagi dengan skrin komputer dan skrin televisyen yang kita pandang ketika bekerja dan semasa berehat.

Semua alat elektronik ini memancarkan cahaya biru yang dikatakan tidak baik untuk kesihatan mata, lebih-lebih lagi dalam jangka masa yang panjang.

Menjaga mata daripada sinaran cahaya biru

menjaga mata

Cahaya biru merupakan sejenis cahaya yang boleh dilihat dengan mata kasar.

Jarak gelombangnya yang berada dalam sekitar 380 hingga 500 nanometer merupakan antara yang terpendek dengan tenaga yang paling banyak.

Salah satu sumber cahaya biru yang terbesar ialah matahari yang berada di atas kepala kita.

Walau bagaimanapun, disebabkan teknologi yang semakin berkembang, cahaya biru kini berada di mana-mana dan dipancarkan oleh kebanyakan lampu dan juga alat elektronik.

Cahaya biru turut mempunyai kebaikannya yang tersendiri. Sebagai contoh, ia boleh membuatkan kita lebih fokus, membantu menguatkan memori dan juga membuatkan mood kita lebih baik.

Sinaran matahari juga mempunyai fungsi yang penting dalam perkembangan, penglihatan dan kesihatan mata kanak-kanak.

Jika kanak-kanak tidak mendapat pendedahan yang cukup terhadap cahaya biru, mereka lebih berisiko untuk menghidap miopia atau rabun jauh.

Tetapi, jika anda terdedah terlalu lama kepada cahaya biru, kesihatan mata akan terjejas.

Sel retina boleh rosak dan masalah penglihatan seperti degenerasi makula akan berlaku. Malah, ia juga boleh menyebabkan katarak dan juga kanser.

Oleh sebab itu, tidak rugi jika anda memasang pelindung skrin yang mampu melindungi anda daripada cahaya biru.

Malah, mereka yang memakai kaca mata juga boleh memasang lapisan pelindung khas untuk menjaga mata mereka daripada cahaya ini.

Adakah cahaya biru tidak baik untuk kesihatan mata?

menjaga mata

Menurut Dr. Ajith Karunarathne, Penolong Profesor dari University of Todedo, kemampuan cahaya biru untuk merosakkan mata bukanlah sesuatu yang baharu.

Kajian yang dilakukan oleh beliau menunjukkan bahawa pendedahan terhadap cahaya biru boleh mematikan sejenis sel yang dikenali dengan nama sel fotoreseptor yang terdapat pada mata kita.

Malah, kematian sel fotoreseptor jugalah yang menjadi penyebab kepada degenerasi makula, sejenis penyakit yang boleh menyebabkan seseorang kehilangan deria penglihatan ketika menginjak umur 50 hingga 60 tahun.

Walau bagaimanapun, menurut beliau lagi, jumlah cahaya biru yang dipancarkan oleh telefon bimbit dan juga peralatan di sekeliling kita dikira masih rendah dan tidak cukup untuk menyebabkan sebarang kecacatan kekal pada mata.

Tetapi, masa penggunaan telefon bimbit yang semakin panjang mungkin akan meningkatkan risiko anda untuk menghidap masalah mata pada masa hadapan.

Oleh sebab itu, beliau menasihati semua orang agar menjaga kesihatan mata masing-masing. Jika cuaca panas terik, pakai cermin mata hitam untuk melindungi mata daripada cahaya matahari.

Elakkan juga menggunakan telefon bimbit untuk satu jangka masa yang panjang, lebih-lebih lagi di dalam gelap.

Rendahkan risiko pendedahan terhadap cahaya biru

menjaga mata

Sebenarnya, ada banyak cara untuk anda merendahkan pendedahan terhadap cahaya biru. Antaranya ialah:

  1. Gunakan pelindung skrin yang boleh menapis cahaya biru daripada telefon pintar anda. Penapis ini mampu merendahkan intensiti cahaya biru tersebut kepada tahap yang tidak membahayakan mata.
  2. Gunakan peraturan 20-20-20 untuk menjaga mata daripada rasa letih. Ambil masa selama 20 saat untuk melihat sesuatu yang berada 20 kaki jauhnya setiap 20 minit.
  3. Kawal kecerahan telefon bimbit anda. Jangan pandang skrin televisyen atau telefon bimbit terlalu dekat.
  4. Gunakan kaca mata yang boleh menapis cahaya biru. Kaca mata ini juga sesuai untuk mereka yang perlu bekerja di hadapan skrin dalam jangka masa yang panjang.
  5. Jika anda mempunyai masalah penglihatan, pastikan anda berjumpa doktor dengan kadar segera.

Kesimpulan

Penggunaan pelindung skrin amat bermanfaat untuk melindungi skrin telefon pintar anda daripada rosak dan juga melindungi mata daripada sinaran cahaya biru.

Malah, pelindung skrin juga boleh mengurangkan silau pada telefon bimbit anda. Ini membuatkan mata anda lebih relaks dan tidak mudah letih.

Walaupun kajian yang dilakukan oleh Dr. Ajith Karunarathne belum dapat memastikan sama ada penggunaan telefon bimbit bahaya untuk kesihatan mata, namun kita sudah boleh mengambil langkah berhati-hati.

Kita perlu bertindak mengurangkan penggunaan telefon pintar pada masa hadapan. Jika bukan kita yang bertindak menjaga kesihatan mata sendiri, siapa lagi, kan?

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Discovery. 2020. Five Benefits of using a smartphone screen protector. September. Accessed April 20, 2021. https://www.discovery.co.za/corporate/good-driving-benefits-of-using-a-screen-protector.
  2. News Medical Life Sciences . 2018. Blue light from smart phones and digital devices could raise risk of blindness. August 10. Accessed April 20, 2021. https://www.news-medical.net/news/20180810/Blue-light-from-smart-phones-and-digital-devices-could-raise-risk-of-blindness.aspx.
  3. Optimax. 2019. How do smart phones damage your eyes? July 23. Accessed April 20, 2021. https://www.optimax.co.uk/blog/smart-phones-damage-eyes/.
  4. The University of Toledo. 2018. UT chemists discover how blue light speeds blindness. August 8. Accessed April 20, 2021. http://news.utoledo.edu/index.php/08_08_2018/ut-chemists-discover-how-blue-light-speeds-blindness.
  5. UC Davis Health. 2019. Is blue light from your cell phone, TV bad for your health? May 9. Accessed April 20, 2021. https://health.ucdavis.edu/health-news/newsroom/is-blue-light-from-your-cell-phone-tv-bad-for-your-health/2019/05.

Versi Terbaru

29/09/2021

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Bahaya Ke Kalau Urat Mata Jadi Merah? Puncanya Mungkin Sebab 5 Penyakit Ini!

Tak Nak Pakai Cermin Mata Apabila Tua? Ini 9 Cara Jaga Mata Elak Rabun


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 29/09/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan