home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Apa Yang Dimaksudkan Dengan Mata Yang Sihat? Ketahui Simptom, Diagnosis & Rawatan

Perihal kesihatan mata|Penyakit mata yang lazim dialami|Simptom masalah penglihatan|Faktor risiko dan punca|Diagnosis masalah penglihatan|Rawatan dan langkah pencegahan
Apa Yang Dimaksudkan Dengan Mata Yang Sihat? Ketahui Simptom, Diagnosis & Rawatan

Perihal kesihatan mata

Mata merupakan organ yang penting bagi setiap individu. Walaupun bersaiz kecil, organ ini mempunyai struktur serta sistem yang kompleks.

Gabungan daripada pelbagai maklumat yang dihantar oleh pelbagai jenis reseptor yang terdapat di dalam organ mata ke otak, membentuk penglihatan manusia.

Tanpanya, kita tidak mampu melihat dan pelbagai jenis fungsi sukar (atau mustahil) untuk dilaksanakan.

Secara umumnya, mata terbahagi kepada beberapa lapisan (atau komponen):

  1. Kornea: Ia merupakan satu tisu yang membantu untuk memfokuskan cahaya yang masuk ke dalam mata.
  2. Pupil dan iris: Iris merupakan bahagian mata yang berwarna. Ia terdiri daripada beberapa otot yang bertindak mengawal bukaan yang dipanggil pupil. Secara amnya, iris boleh mengawal amaun cahaya yang masuk menerusi pupil mata.
  3. Lensa dan retina: Di belakang bukaan pupil, terdapat lensa yang berupaya untuk memfokuskan cahaya kepada struktur retina yang terletak di belakang mata. Retina merupakan bahagian mata yang mengandungi sel sensitif cahaya. Melaluinya, maklumat penglihatan boleh dihantar ke otak melalui saraf optik dalam bentuk isyarat elektrik.
  4. Saraf optik: Terdiri daripada sekelompok serat saraf yang berupaya untuk menghantar maklumat visual yang diterima oleh retina ke otak.

Penjagaan mata sangat penting bagi setiap individu. Namun, mungkin ramai yang masih tidak tahu masalah kesihatan apa yang paling lazim dikaitkan dengan organ mata.

Artikel ini akan memberikan maklumat lengkap berkenaan dengan aspek kesihatan mata yang perlu anda beri perhatian.

Penyakit mata yang lazim dialami

Berbeza dengan kebanyakan penyakit lain, setiap individu kebiasaannya sedar akan perubahan fungsi mata yang dialami kesan daripada penyakit atau keadaan kesihatan tertentu.

Amat penting bagi anda untuk mengetahui berkenaan dengan keadaan kesihatan yang melibatkan organ mata. Antaranya adalah seperti berikut.

#1 Ralat refraktif

Secara mudahnya, istilah yang sering digunakan oleh orang awam adalah rabun.

Ralat refraktif merupakan masalah mata yang lazim didiagnosis di seluruh dunia. Antara masalah yang boleh dikategorikan sebagai ralat refraktif adalah:

  • Rabun jauh (myopia)
  • Rabun dekat (hyperopia)
  • Astigmatisme
  • Presbyopia (rabun dekat yang disebabkan oleh proses penuaan)

Walaupun keadaan kesihatan ini menyukarkan individu terlibat untuk kembali berfungsi tanpa rawatan, namun ia sangat jarang menyebabkan masalah hilang penglihatan secara total.

#2 Degenerasi makula

Makula merupakan bahagian mata yang membolehkan kita untuk melihat objek dengan lebih jelas dan tajam.

Apabila terdapat masalah degenerasi pada makula, ia boleh menyebabkan penglihatan seseorang menjadi kabur.

Ia merupakan satu keadaan kesihatan yang boleh menyebabkan anda hilang keupayaan untuk melihat secara perlahan-lahan.

#3 Glaukoma

Glaukoma adalah penyakit mata yang boleh mempengaruhi integriti saraf optik (saraf yang menghubungkan mata dan otak).

Mereka yang mengalami masalah kesihatan ini boleh buta kesan daripada peningkatan tekanan di dalam mata sehingga mengganggu fungsi fisiologi penglihatan.

Komplikasi tersebut adalah kekal dan tidak boleh pulih kembali sekiranya sudah sampai ke tahap serius.

#4 Katarak

jaga mata

Sama seperti glaukoma, katarak juga merupakan punca kebutaan yang lazim di seluruh dunia.

Ia merupakan keadaan kesihatan yang menyebabkan lensa mata menjadi legap dan kabur sehingga menyebabkan seseorang itu hilang keupayaan untuk melihat.

Walaupun katarak mata kebiasaannya berlaku dalam kalangan orang tua, mereka yang berusia muda masih boleh mengalaminya.

Mereka yang didiagnosis dengan masalah katarak lazimnya akan menjalani pembedahan.

#5 Ambilopia (penyakit mata malas)

Berbeza dengan mereka yang mengalami masalah kerabunan, penghidap ambilopia hanya rabun sebelah mata.

Masalah kesihatan ini berlaku apabila terdapat halangan penghantaran maklumat dari mata terlibat ke otak semasa tempoh tumbesaran kritikal.

Keadaan ini mengurangkan tahap rangsangan otak oleh mata terbabit menyebabkan penglihatannya menjadi kabur.

Otak akan perlahan-lahan mengabaikan mata yang berpenglihatan kabur dan terus memberikan tumpuan kepada mata yang sihat.

Akibatnya, mata yang kabur itu tidak digunakan dengan baik dan ia menjadi ambilopia.

Ambilopia kebiasaannya didiagnosis dalam kalangan kanak-kanak.

#6 Strabismus (penyakit mata juling)

Strabismus merupakan keadaan kesihatan yang berlaku hasil daripada kecelaruan posisi mata.

Mereka yang mengalami masalah ini sama ada mempunyai mata yang juling ke dalam (esotropia) atau juling ke luar (exotropia).

Situasi ini menyebabkan tumpuan mata berada pada arah yang berbeza, menyukarkan seseorang itu untuk memproses maklumat tertentu seperti persepsi kedalaman.

Lebih teruk, ada yang jadi buta pada mata yang mengalami masalah juling.

Simptom masalah penglihatan

Bergantung kepada diagnosis penyakit mata yang dialami, individu yang menghidap masalah mata boleh menunjukkan tanda atau simptom seperti:

  • Penglihatan kabur
  • Sukar melihat pada waktu malam
  • Sensitif terhadap cahaya terang
  • Warna nampak pudar atau hitam putih
  • Penglihatan berganda
  • Sukar untuk membaca (sama ada jauh atau dekat)
  • Mata merah
  • Pening kepala
  • Sakit kepala
  • Mual dan muntah
  • Sakit mata
  • Nampak bulatan ‘halo’ pada ruang penglihatan

Gabungan daripada simptom-simptom seperti yang dinyatakan boleh memberikan klu bahawa anda sedang mengalami masalah mata.

Rujukan kepada doktor boleh membantu anda mengenal pasti dan menjalani rawatan dengan kadar segera.

Jika dibiarkan begitu sahaja, lambat-laun ia boleh menyebabkan komplikasi yang mampu mempengaruhi keupayaan seseorang untuk melihat.

Faktor risiko dan punca

Apa yang menyebabkan masalah mata?

mata kabur

Punca masalah mata berbeza mengikut proses patologi di sebaliknya.

  1. Terdapat segelintir masalah mata yang boleh diwariskan kepada anak. Sebagai contoh glaukoma, katarak, ambilopia dan ralat refraktif.
  2. Insiden ambilopia dan strabismus lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami masalah perkembangan atau lahir pramatang.
  3. Masalah kesihatan kronik seperti kencing manis dan hipertensi boleh menyebabkan kebutaan.
  4. Usia juga memainkan peranan penting dalam proses patologi penglihatan. Masalah kesihatan seperti glaukoma, katarak dan degenerasi makula lebih lazim dalam populasi orang tua.
  5. Kecederaan dan trauma pada mata boleh menyebabkan kebutaan atau masalah penglihatan yang lain.
  6. Masalah kurang vitamin A juga boleh menyebabkan masalah penglihatan.
  7. Hipertensi boleh memecahkan salur darah yang terdapat di dalam mata seterusnya menyebabkan komplikasi penglihatan.

Apakah faktor risiko bagi masalah mata?

  1. Kebanyakan masalah mata boleh diwariskan kepada anak. Maka jika anda mempunyai ibu bapa dengan masalah penglihatan, anda berisiko tinggi untuk mendapat masalah yang sama.
  2. Tidak jaga mata pada situasi tertentu. Sebagai contoh, tidak memakai kaca mata hitam semasa di bawah sinaran terik cahaya matahari.
  3. Individu obes mempunyai risiko yang tinggi untuk menghidap masalah kencing manis justeru, meningkatkan risiko kebutaan.
  4. Hipertensi merupakan faktor risiko yang boleh menyebabkan komplikasi penglihatan.
  5. Tidak mengendahkan simptom yang dialami. Akibatnya, masalah penglihatan menjadi semakin teruk kelak.

Diagnosis masalah penglihatan

Sebelum membuat sebarang diagnosis, doktor akan memeriksa mata anda bagi menguji fungsi dan parameter lain yang relevan.

Antaranya adalah:

  1. Ujian saringan penglihatan bagi melihat ketajaman penglihatan.
  2. Pengimbasan retina bagi melihat integriti saraf optik dan keadaan retina.
  3. Ujian mata bagi mengetahui status penting seperti tekanan dan sebagainya.
  4. Doktor anda akan memeriksa simptom lain yang mungkin boleh menjadi tanda kepada masalah mata seperti sakit kepala, sakit mata atau penglihatan kabur.

Kesemua ujian akan disemak bersama dengan sejarah perubatan pesakit serta ujian makmal (sekiranya perlu).

Setelah diagnosis dibuat, rawatan bagi masalah tertentu sudah boleh bermula.

Rawatan dan langkah pencegahan

jaga mata

Terdapat beberapa jenis rawatan yang boleh diberikan kepada pesakit bergantung kepada diagnosis masing-masing.

Secara amnya:

  1. Bagi ralat refraktif, penggunaan kanta pembetulan (cermin mata atau lensa sentuh) merupakan rawatan terbaik baginya.
  2. Cermin mata juga boleh digunakan jika anda menghidap masalah ambilopia atau strabismus. Ia boleh disertakan sekali bersama dengan terapi penglihatan dan pembedahan otot mata bagi mengembalikan posisinya ke arah yang asal.
  3. Bagi pesakit katarak, pembedahan bagi membuang lensa yang telah legap boleh dilakukan. Lensa artifisial kemudiannya akan diletakkan sebagai ganti bagi memulihkan fungsi penglihatan pesakit.
  4. Bagi glaukoma, ubat-ubatan, rawatan laser dan pembedahan boleh dilakukan bergantung kepada keadaan klinikal pesakit.
  5. Jika masalah penglihatan tidak boleh pulih, rawatan bagi meringankan simptom boleh diberikan.

Mata adalah organ yang sangat penting. Tanpanya, manusia tidak dapat melihat dan pelbagai perkara tidak boleh dijalankan dengan baik. Sebab itulah anda perlu jaga mata anda dengan baik.

Bagi memastikan fungsi mata sentiasa dalam keadaan baik, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk jaga mata anda.

Antaranya adalah:

  1. Pakai kaca mata hitam jika di tempat yang terik.
  2. Jika anda bekerja dalam persekitaran yang berhabuk, jaga mata anda menggunakan gogel keselamatan.
  3. Tingkatkan aktiviti fizikal bagi mengawal berat badan dan risiko diabetes.
  4. Amalkan pemakanan seimbang untuk jaga mata anda. Ia bagi mendapatkan sejumlah nutrien yang mencukupi di samping mengelakkan masalah obesiti.
  5. Jika anda mengalami sebarang simptom berkait dengan masalah penglihatan, rujuk doktor dengan kadar segera.
  6. Elakkan daripada merokok. Ia boleh meningkatkan risiko katarak, degenerasi makula dan masalah kesihatan lain.
  7. Rehatkan mata anda terutamanya jika anda bekerja atau sering menggunakan komputer dan sebagainya.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Eye care. (https://medlineplus.gov/eyecare.html). Diakses pada 25 November 2020.
  2. Keep your eyes healthy. (https://www.nei.nih.gov/learn-about-eye-health/healthy-vision/keep-your-eyes-healthy). Diakses pada 25 November 2020.
  3. 5 truths about protecting your eyes. (https://www.health.harvard.edu/staying-healthy/5-truths-about-protecting-your-eyes). Diakses pada 25 November 2020.
  4. What is vision loss? (https://familydoctor.org/condition/vision-loss/). Diakses pada 25 November 2020.
  5. Common eyes disorders and diseases. (https://www.cdc.gov/visionhealth/basics/ced/index.html). Diakses pada 25 November 2020.
  6. Glaucoma. (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/glaucoma/symptoms-causes/syc-20372839). Diakses pada 25 November 2020.
  7. Cataracts. (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/cataracts/symptoms-causes/syc-20353790). Diakses pada 25 November 2020.
  8. Vision screening. (https://medlineplus.gov/lab-tests/vision-screening/). Diakses pada 25 November 2020.
  9. Mata malas. (http://www.myhealth.gov.my/mata-malas-ambliopia/). Diakses pada 25 November 2020.
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli Disemak pada 29/03/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung