backup og meta

Ada Diabetes & Berlebihan Berat Badan? Cuba 4 Cara Ini Untuk Kawal Gula Darah Anda!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 15/03/2024

    Ada Diabetes & Berlebihan Berat Badan? Cuba 4 Cara Ini Untuk Kawal Gula Darah Anda!

    Bagi individu yang obes atau berlebihan berat badan, mungkin ada beberapa kaedah yang sedikit berbeza sebagai cara kawal diabetes. Sudah semestinya ada yang melibatkan makanan untuk menurunkan gula dalam darah.

    Ini kami kongsikan kepada anda bagaimana individu yang berlebihan berat badan boleh mengawal diabetes mereka.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.

    Apakah ukuran seseorang yang berlebihan berat badan?

    Berat badan berlebihan boleh ditakrifkan secara umum melalui penggunaan Indeks Jisim Badan (BMI) yang sudah diketahui oleh ramai orang.

    BMI individu dewasa yang normal adalah antara 25 hingga 29.9 kg/m2.

    Nilai 30 dan ke atas pula dianggap mempunyai berat badan berlebihan.

    Antara nilai 30 hingga 34.9 ini adalah tahap obesiti 1. Nilai 35 hingga 39.9 pula merupakan tahap obesiti 2, dan nilai 40 dan ke atas adalah tahap ke-3.

    Namun, bacaan BMI sahaja boleh jadi tidak begitu tepat. Oleh itu, berat badan seseorang juga boleh dikira melalui saiz pinggangnya (lipat perut).

    Seseorang individu dengan ukuran saiz pinggang di atas 85 cm (33 inci) bagi lelaki dan lebih 74-80 cm (29-31 inci) bagi perempuan dewasa boleh dianggap mempunyai berat badan berlebihan.

    Amat penting untuk tahu apakah makna berlebihan berat badan sebelum mengetahui cara kawal diabetes. 

    Bolehkah obesiti menyebabkan diabetes jenis 2?

    cara kawal diabetes

    Berat badan berlebihan tidak menyebabkan diabetes jenis 2 secara langsung, tetapi ia boleh meningkatkan risiko anda untuk mengalaminya.

    Individu yang mempunyai berat badan berlebihan mengikut panduan BMI adalah tiga kali lebih berisiko untuk menghidap diabetes jenis 2 berbanding individu yang mempunyai berat badan normal.

    Dalam kalangan mereka yang berlebihan berat badan, tubuh tidak bertindak balas dengan baik terhadap insulin yang dihasilkan oleh pankreas.

    Oleh itu, mereka sering menghadapi masalah yang dipanggil sebagai rintangan insulin.

    Jadi, walaupun terdapat insulin dalam badan, bacaan paras gula dalam darah mungkin masih akan menunjukkan peningkatan.

    Cara kawal diabetes untuk mereka yang berlebihan berat badan

    Apakah kaedah atau petua untuk mengawal bacaan gula tinggi bagi penghidap diabetes yang obes?

    Ia boleh dikawal dengan empat kaedah utama seperti yang kami senaraikan di bawah ini. 

    Cara kawal diabetes 1: Kurangkan pengambilan kalori  

    cara kawal diabetes

    Jika anda ingin menurunkan berat badan, anda perlu makan kurang 500 – 750 kilokalori daripada jumlah kalori biasa yang anda makan dalam sehari.

    Jadi, secara kasarnya, seorang wanita memerlukan hanya 1,200 hingga 1,500 kilokalori.

    Manakala bagi lelaki pula, anda perlu makan hanya 1,500 hingga 1,800 kilokalori sahaja.

    Penurunan berat badan dengan hanya beberapa gram setiap minggu adalah lebih baik untuk jangka panjang berbanding penurunan berat badan dengan cepat dalam tempoh yang singkat.

    Cara mengawal diabetes 2: Tidur dengan cukup

    Persekitaran yang menyebabkan obesiti dipanggil sebagai “persekitaran obesogenik”.

    Ini termasuklah beberapa faktor lain yang mengawal obesiti, seperti ketidakseimbangan hormon.

    Ia juga berkaitan dengan rutin pemakanan yang tidak terkawal.

    Sebagai contoh, jika anda tidur lewat atau tidur terlalu sedikit, terdapat ketidakseimbangan hormon dan hormon lapar ghrelin akan dilepaskan.

    Kesannya, anda akan sentiasa berasa lapar dan ingin makan, lalu menaikkan berat badan anda.

    Cara mengawal diabetes 3: Kerap bersenam

    Salah satu cara kawal diabetes untuk individu obes adalah dengan bersenam.

    Bersenam boleh mengurangkan masalah rintangan insulin. Apabila anda bersenam, otot anda akan menggunakan lebihan gula daripada darah.

    Jadi, tubuh badan akan kurang menyimpan gula dalam bentuk lemak.

    cara kawal diabetes

    Ini bermakna, individu yang bersenam bukan sahaja boleh menurunkan berat badan tetapi juga tidak akan menambahkannya.

    Anda memerlukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti fizikal sederhana seminggu untuk menurunkan berat badan. 

    Cara mengawal diabetes 4: Ambil ubat diabetes

    Setiap apa yang doktor berikan sebagai rawatan diabetes perlulah diambil mengikut arahan.

    Ini termasuklah ubat-ubatan seperti metformin, sitagliptin, vilgliptin, liraglutide bahkan insulin.

    Ubat-ubatan ini berfungsi mengawal bacaan gula darah anda daripada terus mencanak naik.

    Oleh itu, rutin pemakanan perlulah diikuti dengan rutin pengambilan ubat seperti yang diarahkan untuk kesan kawalan gula yang lebih baik.

    Kesimpulan

    Kini anda telah tahu cara kawal diabetes untuk mereka yang berlebihan berat badan.

    Selain itu, anda juga perlu tahu jenis makanan untuk menurunkan gula dalam darah yang boleh diamalkan.

    Bagi ahli keluarga penghidap diabetes pula, ini cara membantu pesakit diabetes untuk kekal sihat. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 15/03/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan