Ini Sebab Kena Check Gula Dalam Darah, Tak Boleh Terlalu Tinggi & Rendah, Bahayakan Nyawa!

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Kemas kini Tarikh 27/10/2020 . 3 minit bacaan
Share now

Tahukah anda, bacaan gula dalam darah yang terlalu tinggi dan terlalu rendah boleh mengancam nyawa anda? Ya, bukan semua risiko hanya melibatkan bacaan gula dalam darah yang tinggi, malah bacaan yang terlalu rendah juga amat merisikokan diri anda. Untuk pengetahuan anda, jika anda mempunyai bacaan gula darah yang tinggi, ia disebut sebagai hiperglisemia (hyperglycemia). Manakala jika anda memiliki bacaan gula darah yang rendah, keadaan ini disebut sebagai hipoglisemia (hypoglycemia).

Ingin tahu dengan lebih lanjut mengenai hiperglisemia dan hipoglisemia? Jom baca penerangan ringkas di bawah ini.

Hiperglisemia: bacaan gula dalam darah tinggi

Secara umumnya, hiperglisemia bermaksud bacaan gula dalam darah anda berada pada kadar yang lebih tinggi berbanding yang sepatutnya.

Sekiranya anda tidak memastikannya berada pada tahap yang normal, anda berisiko untuk mendapat penyakit jantung dan saluran darah, strok, masalah buah pinggang dan hilang deria penglihatan. Bahaya bukan?

Apakah penyebab kepada hiperglisemia?

bacaan gula dalam darah

Kadar gula dalam darah yang sentiasa berada pada tahap yang tinggi adalah penyebab utama diabetes. Kadangkala, anda juga mungkin memiliki bacaan gula dalam darah yang tinggi walaupun anda mengambil ubat-ubatan diabetes.

Ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor yang bermaksud bahawa diabetes anda tidak dikawal dengan baik. Antara sebab-sebab mengapa kadar gula anda berada pada tahap yang tinggi adalah:

  • Anda tidak mengambil ubat-ubatan diabetes seperti yang disarankan
  • Tidak mengambil jumlah ubat-ubatan diabetes dengan betul
  • Mengambil sesetengah ubat yang meningkatkan gula darah atau menjadikan ubat-ubatan gula darah anda tidak begitu berkesan
  • Mengambil terlalu banyak kalori dengan memakan makanan dengan jumlah yang besar atau memakan makanan berkalori tinggi atau juga mengambil minuman yang tinggi dengan kandungan gula
  • Memakan terlalu banyak sumber karbohidrat seperti makanan yang terbuat daripada gula, tepung putih atau beras putih
  • Tidak banyak melibatkan diri dengan aktiviti fizikal
  • Jatuh sakit termasuklah selesema, flu, jangkitan gigi, jangkitan saluran kencing, terutama sekali sekiranya anda demam
  • Sekiranya anda menggunakan insulin tetapi mempunyai masalah dengan insulin anda. Contohnya, penggunaan jenis insulin yang salah atau tidak berkesan disebabkan cara penyimpanan yang salah
  • Sekiranya anda menggunakan pam insulin tetapi pam tersebut mempunyai masalah. Contohnya, pam tersebut tidak berfungsi.

Apakah simptom-simptom hiperglisemia?

Pada kebiasaannya, bacaan gula dalam darah yang tinggi tidak menyebabkan sebarang simptom.

Walau bagaimanapun, jika kadarnya berada pada tahap yang terlalu tinggi, contohnya 300 miligram bagi setiap desiliter (300 mg/dl) atau lebih, dan kekal pada bacaan tersebut selama satu hari atau lebih lama, anda mungkin akan memiliki simptom-simptom berikut.

Antara simptom-simptom tersebut adalah:

  • Penglihatan yang kabur atau kurang jelas
  • Mulut yang kering
  • Rasa terlalu dahaga
  • Banyak minum air
  • Banyak membuang air kecil
  • Keletihan

Sekiranya bacaan gula dalam darah berada pada kadar 600 mg/dL atau lebih tinggi, ia boleh menyebabkan koma bahkan maut.

Hipoglisemia: bacaan gula dalam darah rendah

Untuk pengetahuan anda, gula darah dianggap sebagai terlalu rendah sekiranya bacaannya lebih rendah daripada 70 miligram per desiliter (mg/dL), atau 4 mmol/L. Sekiranya bacaan gula dalam darah yang rendah ini tidak dirawat, anda berisiko untuk pengsan, mengalami sawan, koma, bahkan juga maut.

Apabila anda merupakan salah seorang penghidap diabetes, adalah amat penting untuk anda memantau tahap gula darah anda. Sekiranya anda mengambil insulin, tahap gula darah yang sangat rendah kadangkala disebut sebagai reaksi insulin (insulin reaction) atau kejutan insulin (insulin shock).

Apakah sebab-sebab terjadinya hipoglisemia?

bacaan gula dalam darah

Kadar gula darah yang rendah biasanya adalah kesan sampingan daripada rawatan diabetes. Ia juga boleh disebabkan hasil daripada ubat-ubatan atau keadaan dan penyakit-penyakit lain.

Apabila anda mempunyai diabetes, kadar gula darah yang rendah mungkin disebabkan oleh insulin yang terlalu banyak atau ubat-ubatan diabetes yang lain.

Sekiranya anda menggunakan insulin, kadar gula darah yag rendah ini mungkin berlaku disebabkan oleh perkara-perkara berikut:

  • Anda secara tidak sengaja telah menggunakan terlalu banyak insulin atau jenis insulin yang salah
  • Insulin anda tidak lagi berkesan kerana telah luput atau tidak disimpan dalam keadaan yang baik
  • Memiliki pam insulin yang tidak berfungsi dengan baik

Perkara-perkara lain yang juga boleh menyebabkan gula darah yang rendah ketika anda menghidap diabetes ialah:

  • Terlalu banyak melakukan senaman lebih daripada kebiasaannya
  • ‘Skip’ waktu makan atau melambatkan waktu makan
  • Makan makanan dengan jumlah yang terlalu sedikit
  • Diet untuk mengurangkan berat badan
  • Tidak mengambil ubat-ubatan diabetes mengikut waktu seperti yang disarankan
  • Kesan sampingan daripada ubat-ubatan lain
  • Meminum minuman beralkohol
  • Cirit-birit atau muntah-muntah

Apakah simptom-simptom bagi hipoglisemia?

Adalah penting untuk anda mengenal pasti tanda-tanda tahap gula darah yang rendah secepat yang mungkin sebelum ia menjadi sangat rendah dan boleh menyebabkan reaksi yang teruk.

Antara simptom-simptom kurangya gula dalam darah ialah:

  • Berasa lapar
  • Gementar
  • Berpeluh
  • Menggeletar
  • Rasa pening kepala
  • Loya atau mual
  • Denyutan nadi yang laju
  • Badan berasa tidak sedap

Bagi sesetengah individu, bacaan gula dalam darah 90 mg/dL (5 mmol/L) boleh menyebabkan simptom-simptom ini.

Manakala untuk individu lain pula, simptom mungkin tidak lagi kelihatan sehinggalah bacaan gula dalam darah berada bawah daripada 70 mg/dL (4 mmol/L).

Sesetengah ubat-ubatan darah tinggi yang disebut beta blockers boleh menyembunyikan simptom-simptom gula darah yang rendah. Bertanyalah kepada doktor perubatan sekiranya ubat darah tinggi yang anda ambil mempunyai kesan seperti yang dinyatakan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Adakah artikel ini membantu anda?
happy unhappy
Rujukan

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut

Diabetes: 7 Tip Mengawal Gula dalam Darah

Gula tinggi dalam darah, jika dibiarkan, ia boleh menyebabkan penyakit diabetes. Ketahui cara untuk mengawal gula dalam darah

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Farah Aziz
Pusat Kesihatan, Diabetes 07/08/2018 . 2 minit bacaan

Boleh Ke Pesakit Diabetes Berpuasa? Ketahui Komplikasi Yang Mungkin Berlaku

Puasa bererti menahan lapar dan dahaga untuk tempoh tertentu. Jadi apakah risiko puasa bagi pesakit diabetes? Adakah terdapat komplikasi kesihatan?

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Helma Hassan
Tips Kesihatan, Gaya Hidup Sihat 15/05/2018 . 2 minit bacaan

Artikel lain untuk anda

gejala gula darah tinggi

Jangan Main-main, 16 Perkara Ini PETANDA Paras Gula Darah Sedang Mencanak Naik!

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
Diterbitkan pada 28/07/2020 . 3 minit bacaan
cara menurunkan gula darah pada ibu hamil

Ibu Hamil, Nak Turunkan Paras Gula Darah? Ikut 7 Cara Simple Ini, Barulah Tak Alami Diabetes Gestasi!

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Wazir Aiman
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
Diterbitkan pada 10/06/2020 . 3 minit bacaan
air tebu

Tebu Lebih Manis Dari Gula? Ini 5 Kesan Jika Minum Terlalu Banyak Air Tebu

Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
Diterbitkan pada 17/09/2019 . 3 minit bacaan
peria katak

Manfaat Peria Katak Dipercayai Mengurangkan Gula Dalam Darah & Bantu Sembuhkan Penyakit Lain

Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel
Ditulis oleh Muhammad Wa'iz
Diterbitkan pada 19/07/2019 . 8 minit bacaan