backup og meta

Jangan Paksa Anak untuk Minta Maaf

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 08/12/2019

    Jangan Paksa Anak untuk Minta Maaf

    Pertelingkahan biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Dalam sesetengah kes, konflik- yang berlaku boleh membawa kepada sentuhan fizikal ataupun pergaduhan seperti tolakan, cubitan atau pukulan. Jika ibu bapa menyaksikan pertelingkahan yang berlaku, lazimnya mereka akan memaksa kanak-kanak untuk meminta maaf dengan mengungkapkan “Cepat cakap minta maaf”. Biarpun kanak-kanak bersalah ataupun tidak, mereka mesti patuh pada arahan ibu bapa.

    Laura Markham, seorang ahli psikologi kanak-kanak yang juga merupakan penulis buku Peaceful Parent, Happy Siblings: How to Stop the Fighting and Raise Friends For Life, berkata, beliau percaya bahawa minta maaf tidak semestinya merupakan perkataan yang baik. Lebih penting lagi, paksaan dalam minta maaf membawa lebih kemudaratan berbanding kebaikan, walaupun tujuan utama kemaafan dibuat adalah untuk membetulkan kesilapan dan ketidakadilan.

    Anak anda boleh meminta maaf seperti yang anda mahukan, tetapi ia akan jadi tidak bermakna. Ini kerana, ia bukannya boleh menyelesaikan masalah atau mengubah hubungan antara dua pihak. Dalam temuramah yang dijalankan dengan Yahoo Parenting, Markham berkata, seseorang itu akan meminta maaf untuk menunjukkan kekesalan mereka bagi membaiki semula hubungan. Walau bagaimanapun, jika seseorang individu itu merasa terpaksa untuk mengucapkan “Saya minta maaf”, walhal mereka belum bersedia untuk memaksudkannya, maka ianya tidak bermakna apa-apa. Perkara ini benar untuk hubungan antara orang dewasa dan juga kanak-kanak dengan rakan ataupun adik-beradik mereka.

    Lantaran itu, berbanding memaksa anak untuk meminta maaf, anda boleh mengendalikan situasi tersebut dalam cara yang lain.

    Tumpukan kepada komunikasi berbanding ungkapan minta maaf

    Nasihat pertama daripada Markham adalah pastikan anda bersabar. Jangan tergopoh meminta anak mengungkapkan kata maaf. Anda boleh meleraikan pertelingkahan dengan membiarkan kedua-dua pihak yang bergaduh menyatakan kehendak dan keperluan mereka, serta mendengar antara satu sama lain. Kemudian, anda boleh menerangkan lebih jelas pada anak anda apa yang dimaksudkan oleh adik-beradik ataupun rakan mereka, supaya anak anda boleh faham dan mula memulihkan konflik yang berlaku. Pada ketika ini, selalunya mereka sudah menyedari kesilapan mereka dan perkataan maaf akan datang tanpa dipinta.

    Tunggu sehingga kemarahan reda

    Jangan minta anak anda meminta maaf semasa mereka di luar kawalan dan anda dapat rasakan kemarahan mereka melalui intonasi suara. Pastikan mereka berada dalam keadaan tenang dan sudah boleh memikirkan perkara yang betul dan salah sebelum meminta maaf. Jangan lupa untuk mengingatkan mereka bahawa sesalan sebenar boleh membuatkan seseorang berasa lebih baik.

    Benarkan anak anda memulihkan sendiri ‘kerosakan’ yang mereka lakukan

    Banyak perkara yang boleh dilakukan bagi membetulkan kerosakan hubungan jika anak anda sedia untuk meminta maaf. Anda boleh memberikan mereka idea yang menunjukkan permintaan maaf seperti menulis maaf dalam kad yang cantik atau membetulkan semula mainan yang rosak. Anak anda boleh memilih salah satu dan melakukannya sendiri tanpa pertolongan anda. Menurut Markham lagi, anda boleh memuji usaha mereka dan memberi kesedaran pada mereka dengan cara mengungkapkan “Ibu tahu kakak pasti tahu perkara yang betul untuk dibuat.”

    Pimpinan melalui teladan

    Jika anda mahu mengajar anak perkara yang betul, anda, terlebih dahulu perlu menunjukkan contoh yang betul. Secara faktanya, setiap kanak-kanak akan meniru apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Lantaran itu, jika kemaafan anda sendiri tidak cukup ikhlas, kanak-kanak mungkin akan mengikut kelakuan buruk anda. Jadi, jagalah adab anda, terutama apabila anda meminta maaf pada seseorang.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 08/12/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan