brand logo

Jaminan Produk Asli 100%

Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti
Booking Doktor

Iklan

Kongsi

Anak Perempuan Anda Belum Datang Period Lagi? 8 Perkara Ini Mungkin Puncanya!

Bagi seorang remaja perempuan yang hampir berusia 15 tahun tetapi masih belum pernah mengalami haid, keadaan ini disebut sebagai amenorea. Tetapi apakah punca tidak datang haid bagi remaja ya?

Dalam perkongsian artikel ini, anda akan mengetahui punca remaja lambat datang haid. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

Kedatangan haid

Sebelum kita mengetahui punca tidak datang haid bagi remaja, ayuh fahami terlebih dahulu usia normal untuk seorang remaja perempuan mengalami period pertamanya.

Haid bagi seorang gadis biasanya bermula kira-kira 2-2 ½ tahun selepas tanda akil baligh yang pertama. Perkembangan payudara selalunya menjadi tanda pertama akil baligh, tetapi ada juga yang mengalami pertumbuhan bulu pubik dahulu.

Tempoh untuk seorang anak perempuan mendapat haid pertamanya adalah ketika berusia 8-15 tahun. Tetapi terdapat juga anak mungkin akan akil baligh sedikit lebih awal atau lewat berbanding yang lain.

Amenorea remaja

Manakala amenorea adalah apabila pendarahan haid tidak berlaku kepada seorang remaja. Ia boleh dibahagikan kepada 2 kategori utama, iaitu:

  • Amenorea primer – Apabila pendarahan haid pertama semasa akil baligh tidak berlaku hingga anak berusia 15 tahun. Ia mungkin berlaku untuk seumur hidup
  • Amenorea sekunder – Apabila pendarahan haid normal berhenti selama 3 bulan atau lebih. Ia mungkin disebabkan oleh isu fizikal dan biasanya berlaku di kemudian hari

Jadi dalam kes ini, anak anda mungkin mengalami amenorea primer.

Punca tidak datang haid bagi remaja 

Adakalanya faktor yang menjadi penyebab anak tidak mengalami pendarahan haid mungkin sesuatu yang tidak perlu dibimbangkan. 

Tetapi dalam kes tertentu, ia boleh menjadi petunjuk anak perempuan anda mungkin mengalami masalah kesihatan yang memerlukan rawatan. 

Sejarah keluarga

Sekiranya anda sebagai ibu juga tidak mengalami haid sehingga berusia 15 tahun atau lebih, kemungkinan besar ia akan diwarisi oleh anak.

Lebih-lebih lagi jika ahli keluarga anda yang lain seperti emak, kakak atau sepupu uga berdepan situasi yang sama – iaitu period pertama ketika berada di sekolah menengah. 

Seperti dinyatakan pada awal tadi, kanak-kanak perempuan cenderung mendapat haid pertama selepas 2-3 tahun payudara mereka mula berkembang. 

Di samping itu tanda lain yang boleh diperhatikan adalah selepas 6-12 bulan anak mengalami keputihan seperti lendir pada seluar dalam mereka.

Kurang berat badan, antara punca tidak datang haid bagi remaja

Anak dengan berat badan jauh lebih rendah daripada biasa, turut boleh menjejaskan tahap hormon mereka dan menghalangnya daripada haid. 

Sekiranya berat badan anak 10% kurang daripada jumlah sihat untuk ketinggian mereka, ia boleh menghalang hormon berfungsi dengan betul sehingga menghentikan haid.

Ini sebabnya mengapa kanak-kanak perempuan yang mengalami gangguan pemakanan seperti anoreksia atau bulimia mungkin tidak mengalami haid.

Berat badan berlebihan

Bagi anak dengan masalah obesiti, kemungkinan ia juga boleh menjadi Punca tidak datang haid bagi remaja. 

Untuk menetapkan kitaran haid bulanan, tubuh memerlukan julat paras lemak yang normal. Terlalu banyak atau sedikit lemak badan boleh menyebabkan haid tertunda. 

Punca remaja lambat datang haid #Terlalu banyak aktiviti fizikal

Memaksa tubuh melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam secara keterlaluan juga boleh mengakibatkan haid pertama lewat. Ini biasanya terjadi kepada atlet atau pelari. 

Senaman dengan intensiti yang tinggi membakar banyak kalori dan mengurangkan lemak tubuh. Dicampur pula dengan tekanan untuk bersaing dalam sukan, kesannya anak mungkin tidak akan mengalami haid dalam lingkungan usia normal.

Tekanan berlebihan

Stres boleh memberi kesan kepada tubuh anak dalam pelbagai cara, antaranya melambatkan kedatangan haid pertama mereka.

Ia mungkin berlaku jika anak tertekan sepanjan masa – melibatkan isu berkaitan tugasan kerja sekolah, masalah keluarga, latihan sukan atau isu lain. 

Punca tidak datang haid bagi remaja #Ubat-ubatan 

Pengambilan ubat tertentu juga boleh menghalang anak daripada mengalami haid. Ini termasuklah ubatan yang digunakan untuk merawat kanser, tekanan darah tinggi, alahan dan kemurungan.

Jika anak mengambil sebarang ubat untuk masalah kesihatan di atas, doktor mungkin akan menjelaskan kesan yang boleh berlaku. 

Masalah fizikal 

Untuk punca remaja lambat datang haid yang paling jarang berlaku adalah disebabkan bentuk atau masalah lain pada faraj, ovari, tiub fallopio atau rahim.

Anak mungkin mempunyai tisu tambahan yang menutupi bukaan, tersumbat atau masalah fizikal. Pemeriksaan doktor boleh membantu menentukan puncanya.

punca tidak datang haid bagi remaja

Isu kesihatan lain, boleh jadi punca tidak datang haid bagi remaja

Keadaan lain yang mungkin menjadi punca anak mengalami haid lewat termasuklah:

  • Masalah pada bahagian otak – hypothalamus, atau organ berdekatan yang dipanggil kelenjar pituitari. Kedua-duanya bekerjasama untuk mengawal hormon 
  • Sindrom ovari polisistik (PCOS), yang menyebabkan ketidakseimbangan hormon
  • Keadaan genetik seperti sindrom X rapuh, sindrom Turner atau sindrom ketidakpekaan androgen
  • Penyakit kronik atau jangka panjang, seperti fibrosis sista atau penyakit jantung
  • Kecacatan kelahiran yang lain

Punca tidak datang haid bagi remaja: Langkah mencegah amenorea 

Beberapa punca yang boleh dicegah termasuk tabiat makan dan penurunan berat badan atau penambahan berat badan. Berbincang dengan doktor bagi mendapatkan penyelesaian terbaik untuk anak anda.

Punca remaja lambat datang haid: Risiko komplikasi

Mungkin ada yang beranggapan anak yang tidak mengalami haid walaupun sudah berusia 15 tahun bukanlah masalah besar. Tetapi hakikat wujud komplikasi, seperti:

  • Penipisan tulang. Jika amenorea disebabkan oleh estrogen yang rendah, ini juga boeh menyebabkan osteoporosis dari masa ke masa. Doktor mungkin akan menasihatkan anak mengambil suplemen kalsium
  • Kehilangan kesuburan. Sekiranya amenorea berpunca kerana kekurangan ovulasi, ini bermakna kehamilan mungkin sukar atau tidak mungkin berlaku pada masa hadapan

Seandainya ada persoalan atau kebimbangan mengenai bilakah anak perempuan anda akan mengalami haid, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan lebih kepastian.

medical
Panel Perubatan Hello Doktor
Disemak secara perubatan oleh
Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada tadi