Tekanan mental boleh terjadi kepada sesiapa tanpa mengira usia, termasuklah kepada anak remaja anda. Jom kenal pasti tanda jika mereka mengalami masalah gangguan mental.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Kesihatan mental anak remaja
Ibu bapa ketahuilah, anak akan mengharungi pelbagai peralihan dalam fasa remaja, baik dari segi fizikal, emosi, hormon, seksual, sosial dan intelek.
Bagi kebanyakan remaja, semua perubahan tersebut boleh mengakibatkan 1 atau lebih tekanan mental, di mana ia boleh menjadi perkara yang membimbangkan dan mengancam nyawa.
Terdapat beberapa jenis gangguan mental yang boleh berlaku dalam kalangan remaja. Antara jenis yang paling biasa adalah:
- Kebimbangan umum – Rasa bimbang yang berlebihan tentang pelbagai isu harian
- Fobia sosial – Kesedaran diri yang teruk dan berasa tidak selamat dalam persekitaran sosial
- Kemurungan – Rasa sedih, kebimbangan dan/atau kekosongan yang berterusan
10 tanda amaran awal anak mengalami tekanan mental
Pakar mendefinisikan penyakit mental secara berbeza daripada kebanyakan kita – dengan melihat beberapa kriteria tertentu untuk menentukan sama ada seseorang itu mempunyai penyakit mental atau tidak.
Beberapa tanda-tanda sakit mental boleh dilihat pada remaja dalam aspek seperti:
#1. Kurang menjaga kebersihan diri
Kurang menitikberatkan penjagaan diri secara tiba-tiba dan berterusan adalah antara tanda-tanda sakit mental yang boleh berlaku dalam kalangan remaja.
Jika anda menyedari anak remaja tidak memberus gigi, mencuci rambut atau menukar pakaian selama berminggu-minggu, bahkan berbulan-bulan, ada kemungkinan mereka bergelut dengan kemurungan, gangguan bipolar, trauma atau bentuk lain penyakit mental.
#2. Perubahan emosi melampau kesan tekanan mental
Perubahan ketara personaliti secara mendadak dan tidak bersesuaian boleh menjadi petanda gangguan kesihatan mental.
Sekiranya anak menunjukkan tanda agresif tidak normal, tingkah laku mencari keseronokan impulsif atau perasaan kegembiraan (euforia) tidak terkawal, lakukan pemeriksaan doktor untuk lebih kepastian.
#3. Perubahan dalam selera makan
Penurunan atau penambahan berat badan berlebihan boleh menjadi petanda anak mungkin bergelut dengan gangguan pemakanan.
Menurut National Eating Disorders Association (NEDA), separuh daripada perempuan dan hampir satu pertiga daripada lelaki mengamalkan taktik tidak sihat seperti tidak makan, muntah atau mengambil julap untuk mengawal berat badan mereka.
Manakala, terdapat juga remaja yang menyembunyikan makanan secara rahsia atau tidak dapat mengawal pengambilan makanan yang menunjukkan gangguan makan berlebihan.
#4. Prestasi akademik menurun
Pencapaian akademik yang lemah juga merupakan tanda tekanan mental yang perlu diberi perhatian.
Sedikit kegagalan adalah perkara biasa, namun penurunan prestasi akademik yang berterusan menunjukkan isu yang lebih penting.
Sekiranya anak tidak mengalami masalah seperti ADHD atau disleksia, namun mereka berdepan kesukaran untuk fokus, berorganisasi, merancang, mengingati atau melaksanakan tugas mudah – ia boleh menandakan gejala kebimbangan, kemurungan atau bentuk lain penyakit mental.
#5. Tekanan mental menyebabkan hilang minat berkaitan hobi dan aktiviti
Remaja yang tertekan cenderung hilang minat dalam hampir semua perkara – walaupun aktiviti yang diminatinya.
Adakah anak menarik diri daripada sukan, muzik, tarian atau sebarang aktiviti kokurikulum yang disukainya? Tidak lagi gemar melakukan hobi kegemaran? Awasi tanda ini ya!
Tanda tekanan mental #6. Anak tidak bertenaga atau kurang motivasi
Normal untuk anak remaja menunjukkan tanda keletihan fizikal, mental atau motivasi sekali-sekala.
Tetapi jika anak mula menunjukkan gejala keletihan atau kelesuan melampau, ia boleh menjadi tanda wujud masalah mental.
Perkara yang perlu dikenal pasti adalah rasa mengantuk berterusan sepanjang hari, pergerakan perlahan atau malas, kesukaran untuk terus terlibat dalam aktiviti sekolah atau luar.
#7. Masalah tidur, antara kesan tekanan mental
Seorang remaja memang suka tidur dan ia normal kerana mereka memerlukan tidur sekurang-kurangnya 8 hingga 10 jam pada setiap malam.
Tetapi sekiranya anda menyedari corak tidur yang pelik seperti tidur berlebihan atau insomnia – ia mungkin petunjuk tekanan mental mungkin wujud.
#8. Mengasingkan diri daripada rakan dan keluarga
Adakah anak remaja anda semakin gemar memencil dan mengasingkan diri mereka?
Ia adalah perkara biasa untuk remaja menyembunyikan kemurungan atau kebimbangan kerana takut dihakimi mahupun disalahertikan, jadi cara terbaik adalah dengan mengelakkan rakan dan keluarga.
Kesan tekanan mental #9. Rasa diri tidak berharga
Masa remaja adalah masa sukar bagi kebanyakan anak dan perasaan sedih, malu atau rasa bersalah sering wujud dari masa ke masa.
Sekiranya perasaan tersebut berpanjangan sehingga mengakibatkan anak berdepan kesukaran menguruskan kehidupan seharian, ada kemungkinan mereka alami masalah lebih serius.
#10. Penyalahgunaan dadah atau alkohol
Remaja yang mengalami kemurungan yang tidak didiagnosis, kebimbangan, ADHD, gangguan bipolar atau jenis penyakit lain sering mengambil ubat tertentu untuk melarikan diri.
Malangnya, tindakan tersebut boleh memburukkan keadaan dan menyebabkan penyalahgunaan bahan.
Jika anda percaya anak terlibat dalam penggunaan ubatan terlarang atau alkohol berat, bawa mereka untuk pemeriksaan doktor segera.
Konklusi
Amnya, masalah mental pada remaja boleh diatasi jika langkah pencegahan awal dilakukan.
Sebagai ibu bapa, berbincang dengan anak remaja sekiranya wujud kebimbangan di hati anda jika melihat mereka seperti tertekan atau berlaku perubahan dalam tingkah laku.
[embed-health-tool-child-growth-chart]