backup og meta

Mangsa Buli Siber: Anak Anda Mungkin Salah Seorang Daripadanya

Mangsa Buli Siber: Anak Anda Mungkin Salah Seorang Daripadanya

Kanak-kanak pada hari ini banyak menghabiskan masa dengan media sosial dan pelbagai peralatan teknologi yang lain. Disebabkan itu, mereka turut berpeluang menjadi mangsa buli di dalam alam maya. Fenomena ini dinamakan sebagai buli siber. Agak sukar untuk mengetahui sekiranya anak anda menjadi salah seorang mangsa buli siber. Namun begitu anda tidak boleh memandang enteng perkara ini kerana buli siber mempunyai kesan yang sangat serius.

Antara gejala buli siber ini adalah menerima e-mel berbaur ugutan, penghinaan menggunakan kata-kata atau gambar menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram dan lain-lain. Mangsa buli siber juga mungkin akan dibuli dengan penyebaran gambar mereka yang memalukan. Ini kemudiannya akan menjadi bahan tontonan dan ejekan daripada rakan-rakan media sosial mereka. Kesemua faktor ini akan mendorong mangsa buli siber berasa terasing sekaligus menyebabkan depresi.

Mengapa anak anda tidak mahu berterus terang dengan anda?

Anda mungkin sudah banyak kali bertanyakan kepada mereka sama ada mereka dibuli di alam siber atau tidak namun anak anda tidak pernah mengadukan apa-apa kepada anda. Ini kerana anak anda berkemungkinan tidak tahu bahawa mereka sendiri sedang menjadi mangsa buli siber. Lebih mengejutkan, rakan-rakan di alam maya mereka juga tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkan mangsa buli tersebut. Disebabkan buli siber tidak akan meninggalkan kesan seperti lebam atau kehilangan barang, ibu bapa dan guru sekolah juga tidak dapat mengesan mangsa buli siber. Ini membuatkan si pembuli lebih berani untuk melakukan perbuatan ini.

Kanak-kanak yang menjadi mangsa buli siber pula mungkin takut terhadap kesan yang bakal mereka hadapi sekiranya mereka mengadu kepada ibu bapa mereka. Lagipun, mereka takut sekiranya ibu bapa mereka mendapat tahu perkara ini, mereka tidak akan dibenarkan menggunakan media sosial lagi. Anda mungkin dapat melihat bahawa mangsa buli siber ini kebanyakannya merupakan kanak-kanak yang pintar dan unik tetapi selalu bersendirian. Ini menyebabkan mereka mudah menjadi sasaran mangsa buli siber. Namun begitu, kanak-kanak ini masih menjadikan media sosial untuk mereka berinteraksi bersama rakan-rakan mereka meskipun mendatangkan banyak mudarat kepada mereka. Oleh itu ibu bapa perlu lebih memberi perhatian terhadap penggunaan media sosial oleh anak anda.

Petanda anak anda mungkin menjadi mangsa buli siber

Walaupun anak anda tidak memberitahu anda perkara sebenar, anda boleh memerhatikan mereka melalui beberapa petanda yang disenaraikan berikut.

  • Mereka selalu kelihatan tertekan setiap kali menggunakan komputer riba atau telefon pintar dan cenderung mengasingkan diri daripada bergaul dengan rakan-rakan atau saudara-mara mereka di kehidupan normal.
  • Mereka cenderung menyorokkan diri daripada setiap aktiviti dalam talian mereka setiap kali anda berada berdekatan mereka dan tidak mahu menambah anda sebagai kenalan rakan Facebook mereka.
  • Mereka kelihatan gelisah dan bersalah setiap kali menerima mesej, SMS atau notifikasi Facebook.
  • Mereka selalu mengelak dari anda. Anda boleh mengesahkan petanda ini sekiranya mereka selalu menggunakan perkataan yang ringkas seperti ‘okay’ setiap kali anda bertanya perihal mereka di sekolah. Ataupun mereka mengatakan sesuatu yang mempunyai makna tersirat seperti “saya sudah bosan untuk bersekolah”.
  • Mereka cenderung untuk ponteng kelas dan mendapat markah peperiksaan yang rendah.
  • Mereka mempunyai masalah makan dan tidur atau mereka berubah berat badan dengan mendadak

Tuntasnya, buli siber merupakan gejala yang sangat serius kerana mangsa buli siber akan memperoleh kesan negatif yang berpanjangan dan kekal selama hidup mereka. Gejala yang membimbangkan ini juga mampu membawa kepada masalah mental dan kesihatan mereka. Paling bahaya, gejala ini mungkin mengakibatkan mereka mencederakan diri sendiri atau lebih teruk, membunuh diri. Oleh itu sebagai ibu bapa yang prihatin, anda perlu mengambil langkah intervensi untuk menghalang perkara ini daripada menjadi lebih serius dengan berbincang secara hati ke hati dengan anak anda. Selain itu, anda juga perlu sentiasa berhubung dengan guru atau staf di sekolah anak anda serta pihak berkuasa yang berkenaan bagi menghentikan gejala buli siber ini.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

[embed-health-tool-child-growth-chart]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Bullying and cyberbullying. https://www.nspcc.org.uk/preventing-abuse/child-abuse-and-neglect/bullying-and-cyberbullying/signs-symptoms-effects/. Accessed March 16, 2017.

10 Signs Your Child is a Cyberbullying Victim. http://resources.uknowkids.com/blog/bid/173713/10-Signs-Your-Child-is-a-Cyberbullying-Victim. Accessed March 16, 2017.

How to Tell If You Child is Being Bullied Online. https://www.understood.org/en/friends-feelings/child-social-situations/online-activities-social-media/how-to-tell-if-your-child-is-being-bullied-online. Accessed March 16, 2017.

9 Signs That Your Kid Might Be a Victim of Cyber Bullying. https://safesmartsocial.com/signs-your-kid-cyber-bullying-victim/. Accessed March 16, 2017.

Versi Terbaru

12/07/2024

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

Ada Anak Lelaki Meningkat Remaja? Pupuk 18 Peranan Penting Anak Lelaki Dalam Keluarga

Anak Suka Menyendiri? Kenal Pasti 7 Tanda Anak Remaja Anda Alami Kemurungan


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 12/07/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan