Perubahan tingkah laku yang menjadi tanda masalah mental
Menurut kaunselor dari Unit Perkembangan Diri IMU (Malaysia International Medical University), ada beberapa simptom kemurungan pada pelajar yang perlu diperhatikan. Antaranya:
- Gangguan tidur. Ini termasuklah kesukaran untuk tidur dan bangun, sering terjaga pada waktu tengah malam atau tidur berlebihan.
- Ledakan emosi seperti terlalu sensitif, mudah jengkel/sakit hati atau mudah marah
- Kelesuan yang berterusan atau selalu penat
- Sukar untuk fokus, termasuklah mudah terganggu ketika bersembang
- Perubahan ketara dalam tabiat pemakanan dan/atau perubahan berat badan yang tiada kaitan dengan isu kesihatan fizikal
- Menjauhkan diri daripada kawan-kawan. Seseorang itu mungkin mengelak atau menarik diri daripada aktiviti sosial, kurang aktif, lebih banyak berdiam diri atau tidak ikut serta dalam kumpulan sosial. Mereka juga mungkin mengelak daripada bertentang mata dengan orang lain
- Corak tingkah laku yang diterangkan di atas muncul secara berterusan dan bukannya pada satu-satu masa sahaja atau dalam waktu yang singkat.
Benar, ada banyak cara mengatasi kemurungan. Namun, mengenal pasti simptom kemurungan merupakan langkah pertama.
Langkah seterusnya adalah dengan menawarkan bantuan kepada individu yang menghidap penyakit mental.
Tambah kaunselor di Unit Pembangunan Diri IMU lagi, jangan abaikan kata hati sekiranya anda runsing mengenai kesihatan mental diri sendiri. Sebenarnya, kebanyakan pelajar sudah nampak tanda-tanda depresi dalam diri sendiri, tapi mereka pilih untuk mengabaikannya.
Baca juga:
Cara mengatasi kemurungan dengan model NEC

Menurut model NEC, ada beberapa cara mengatasi kemurungan sekiranya ia berlaku kepada rakan anda:
- Notice (sedar): Pastikan individu tersebut tahu anda sedar dengan perubahan sikap mereka. “Saya perasan yang awak kurang makan/tidur sejak akhir-akhir ini.”
- Express concern (Nyatakan kebimbangan): Beritahu yang anda rasa bimbang dan cuba dengar masalah mereka. “Saya risaukan kamu. Apa yang berlaku? Saya di sini jika kamu ingin berbual.”
- Connect them to someone who can help (Hubungkan mereka dengan orang yang boleh membantu) – cadangkan seseorang atau sumber di mana mereka boleh mendapatkan bantuan atau tawarkan diri anda untuk menemani mereka. Contohnya, ‘Saya mungkin tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini sekarang, tetapi saya ada seorang kawan yang mendapatkan bantuan daripada XYZ; mungkin kita boleh ke sana bersama-sama?”

Sokongan daripada orang sekeliling amat penting untuk mengatasi masalah kesihatan mental.
Walau bagaimanapun, hanya 20% sahaja rakyat Malaysia yang menderita dengan masalah mental bertindak mendapatkan rawatan serta penjagaan profesional.
Sebagai panduan, ada beberapa pilihan yang tersedia untuk individu yang menghidap penyakit mental:
- Organisasi Bukan Kerajaan (NGO). Banyak organisasi yang menawarkan sokongan kesihatan mental dengan bayaran yang berpatutan seperti khidmat kaunseling AGAPE, SOLS 24/7 dan Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM)
- Hospital-hospital kerajaan. Surat rujukan yang diperlukan boleh didapati daripada doktor
- Unit-unit kaunseling di pusat-pusat pengajian tinggi
- Pengamal kesihatan mental swasta (termasuklah pakar psikiatri swasta, pakar psikologi klinikal dan kaunselor)
- Program-program praktikal/latihan amali di universiti-universiti tertentu.
Kesimpulannya, bertindaklah segera mendapatkan bantuan jika anda mahupun orang yang anda kenali dikhuatiri mengalami tanda-tanda masalah mental.
Artikel ini diolah daripada artikel – KESEPIAN, TEKANAN DAN KEMURUNGAN – PARA PELAJAR ZAMAN INI AMAT MEMERLUKAN SOKONGAN KESIHATAN MENTAL oleh Kaunselor IMU Self-Development Unit
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen